Figura untuk segmen IKON UMPAN pada kali ini menampilkan pemunya nama Azmi Jamaludin.
Azmi Jamaludin atau lebih dikenali nama Azmi PT di kalangan pemancing merupakan seorang yang biasa-biasa sahaja jika dipandang sepintas lalu, namun bagi rakan-rakan
dalam dunia pancingan Malaysia, Azmi PT cukup dikenali sebagai seorang yang mempunyai pelbagai ilmu dan kemahiran berkaitan pancingan.
Senang cerita ‘Mr. Know It All’. Kerjaya utama sebagai pengusaha kedai pancing secara tidak langsung membolehkan dia terus melibatkan diri dalam lapangan pancing dengan lebih fokus.
Malah singkatan nama samarannya iaitu PT juga mengambil nama hasil daripada nama kedai pancingnya sendiri iaitu Pancing Tegar (kedai ini tidak lagi beroperasi).
CERITA SERVIS KEKILI ELEKTRIK
Azmi PT boleh dikatakan mempunyai banyak ilmu dan kemahiran dalam lapangan pancing. Antara salah satu kemahiran yang agak jarang dimiliki oleh pemancing lain ialah kemahiran servis dan membaiki kekili elektrik atau lebih sinonim dengan terma ‘mesin bangla’.
Ilmu dan kemahiran berkaitan kekili elektrik ini dipelajarinya dengan usaha sendiri berbekalkan semangat inkuiri yang tinggi.
Ceritanya bermula ketika dia membuat trip bersama rakan-rakannya dan rakan pemancing ada menyuarakan kesukaran untuk mencari tempat atau individu yang berkepakaran untuk melakukan servis atau membaiki kerosakan kekili elektrik.
Bermula dari situ, Azmi PT mula mempelajari selok belok mekanikal mesin bangla dan mula memberanikan diri untuk melakukan servis kekili elektrik.
Kini, setelah lebih setahun menyediakan khidmat servis kekili elektrik, dia tidak menang tangan apabila menerima lebih kurang 60 buah kekili setiap bulan untuk diservis dan dibaiki.
Selain itu, dia juga pernah menjadi tenaga pengajar untuk kelas khas servis kekili elektrik yang berlangsung di Kolej Komuniti setelah mendapat banyak permintaan rakan-rakan pancing untuk mempelajarinya.
Secara terbuka, dia menyambut baik program seperti ini, namun beberapa kekangan seperti masa dan modul yang dirasakannya belum lengkap sedikit sebanyak membataskan program ini untuk ke peringkat yang lebih tinggi.
baca juga pakar servis stella
CERITA LAPANGAN PANCING
Selain daripada hal kekili elektrik, Azmi PT turut mempunyai pelbagai kemahiran dalam lapangan pancing. Tidak hairanlah, figura yang berasal dari Perak ini lebih senang membuka perusahaan kedai pancingnya sendiri sebagai kerjaya utama.
Di kedai pancingnya sendiri iaitu Pancing Tegar Enterprise, dia juga mahir dan berkeupayaan untuk membina rod buatan tangan atau custom rod selain menyediakan khidmat ubahsuai bot untuk pemancing.
Malah, Azmi PT sendiri juga turut dikelaskan antara salah seorang tekong pancing di Pelabuhan Klang di mana dia mempunyai 2 buah bot untuk khidmat sewaan pancing di sana.
HARAPAN
Menurut Azmi yang terjun ke dunia pancing sedari kecil ini, dia mengharapkan agar lapangan pancing terus berkembang dengan cara yang tersusun agar terus mapan.
Memberi contoh perihal kekili elektrik, “ Apa equipment (peralatan) pancing pun; lebih-lebih lagi yang berharga mahal, seharusnya mempunyai pusat servis untuk menjamin
ketahanan kekili (elektrik), seperti kereta juga yang mempunyai pusat servis,” katanya merujuk kepada khidmat servis kekili elektrik.
Begitu pun, dia mengakui kekangan masa dan komitmen peribadi sedikit membataskan dirinya untuk turut serta dalam perkongsian bagi menambahkan bilangan kepakaran dalam khidmat sebegini.
Namun, berdasarkan pelan dan komitmennya, tidak mustahil usaha daripada Azmi Jamaludin akan memberi nilai tambah yang besar dalam survival lapangan pancing di Malaysia.
Biodata ringkas
- Nama : Azmi Jamaludin
- Asal : Perak
- Umur : 38 tahun
Apa pendapat anda? Jom komen & share. Terima kasih!
Jangan lupa like & see first Facebook Majalah Umpan.