Kegagalan untuk menyertai sesuatu komplot atau trip memancing pada saat-saat akhir sememangnya lumrah dalam dunia memancing. Ada di antaranya disebabkan oleh hal kecemasan yang tidak dapat dielakkan dan ada juga yang sengaja berdalih. Untuk berdalih maka banyaklah alasan yang direkacipta. Antara alasan yang biasa digunakan ialah…
Terpaksa kerja
Kena kerja pada saat-saat akhir merupakan alasan yang paling banyak digunapakai. Terutamanya jika dalam trip tersebut tiada rakan setempat kerja yang turut serta. Kalau ada rakan sekerja yang turut serta sudah tentu alasan tersebut tak boleh diguna pakai.
Majlis Kenduri
Tak kiralah sama ada ahli keluarga, rakan atau jiran tetangga yang mengadakan kenduri kahwin ia merupakan antara alasan yang kerap digunakan. Lazimnya ia akan disusuli dengan ayat penyata… `kalau aku tak pergi kenduri tu apa pulak orang kata’. Biasanyalah.
Silap Haribulan
Ads
Alasan tersilap tarikh trip hampir menyamai alasan lupa juga. Lazimnya ia digunapakai oleh pemancing yang berkeyakinan tinggi dalam temberang. Kalau tak cukup ilmu lakonan dan sandiwara sememangnya sukar untuk meyakinkan pemancing lain bahawa dia betul-betul tersilap tarikh.
Positif Sakit
Alasan jatuh sakit pada hari kejadian (trip) ini biasanya tidak dinyatakan sebaliknya ahli trip yang lain akan tahu sendiri apabila menghubunginya. Biasa juga dia mereka ni akan batuk dulu sebelum jawab salam. Suara pun macam keluar tak keluar. Secara otomatik jugak orang yang menghubungi akan faham dan takkan bertanya panjang lebar lagi. Sekarang ni positif Covid menjadi alasan popular.
Kematian
Ia merupakan alasan yang agak ekstrem tetapi tetap digunapakai terutamanya kepada pemancing yang sudah kehabisan alasan untuk diberikan. Malah ada sesetengahnya yang ingin menguatkan hujah sanggup menyatakan neneknya yang sudah meninggal, meninggal lagi buat kesekian kalinya.
Ads
Hilang Ingatan
Alasan lupa mungkin agak jarang kedengaran kerana sememangnya hampir mustahil bakal pengantin lupa untuk ke majlis perkahwinan. Namun ia masih digunapakai terutamanya kepada pemancing yang sudah kehabisan idea untuk mencipta alasan lain.
Masalah Transport
Kenderaan rosak pada hari kejadian juga merupakan alasan yang popular. Namun untuk menggunakan alasan ini lazimnya mereka akan menyatakan hal tersebut pada waktu yang tepat. Tidak boleh beritahu kawan-kawan trip terlalu awal dan tidak juga terlalu lewat.
Ads
Handphone Rosak
Biasanya dia akan matikan handphone pada hari kejadian atau sehari lebih awal. Sehari dua selepas hari kejadian pun beliau tidak dapat dihubungi lagi. Beberapa kemudian barulah dia muncul dengan menyatakan alasan ini.
Ramalan cuaca
Dia akan beritahu sama ada cuaca buruk di kawasan kediaman atau mendapat berita lokasi yang akan dikunjungi bakal berlaku ribut atau sebagainya. Jadi, dia akan berpura-pura menyangkakan trip tersebut dah dibatalkan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
PB adalah ikan lakustrin (hidup di air tenang) manakala asal usul ikan tempatan kita sebenarnya adalah ikan sungai walaupun ada sesetengah mampu menyesuaikan diri dalam habitat berair tenang.
Ikan seperti kelah dan sebarau tidak begitu gemarkan kehidupan seperti yang disukai PB.
Mereka tidak berkongsi habitat yang sama. Saya pernah menangkap ribuan anak sebarau di dengan tangguk di Empangan Klang Gate dalam tahun 70-an semata-mata untuk
dipindahkan ke dalam lombong-lombong di sekitar Petaling Jaya mengharapkan mereka memberi persembahan terbaik buat kaki pancing seperti saya pada suatu hari nanti.
Walau bagaimana pun saya dapati spesies sebarau tidak mampu membesar dan membiak dalam habitat lombong yang dikelilingi kesibukan tamadun manusia.
Ini berbeza dengan PB yang menjamin persembahan terbaik dalam habitat lombong yang sama.
Kita harus menyelidik apa yang sedang dan telah berlaku di dalam lombong-lombong sekitaran kita sebelum menyuarakan sebarang pendapat.
Di mana sahaja anda pergi, anda mudah menemui banyak spesies luaran seperti tilapia dan lebih ditakuti, kerapu lombong (Parachromis managuensis) mengambil alih keseluruhan ekosistem.
Ikan kerapu lombong adalah spesies pepijat yang sangat mudah membiak malah pemangsa yang merbahaya tetapi mempunyai sedikit atau tiada langsung nilai dalam pancingan.
Ikan toman yang disebarkan ke dalam lombong pun tidak mampu mengawal pepijat ini jadi kenapa tidak PB yang melakukan tugas ini untuk kita?
Akhirnya kita akan mempunyai pengawal biologi yang sangat bagus untuk kerapu lombong dan pada masa yang sama menjadi gamefish kelas dunia untuk tarikan pelancong!
Namun begitu terdapat satu masalah kecil, PB adalah ikan yang sedap dimakan. Jadi siapa yang mampu mengawal para pemancing?
Ada juga yang mengatakan PB tidak memberi tentangan yang menarik tetapi sebenar PB sepanjang 12 hingga 13 inci adalah berumur kurang dari setahun.
Bagaimana anda boleh menjangkakan ikan juvenil akan memberikan tentangan sebaik ikan dewasa?
(Sumber: Ronald Looi)
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini. Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan aku daripada forum memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang.
Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah. Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu. Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya.
Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali. Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Ijal supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada Adnan. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di setup tersebut. Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang.
Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur. Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama. Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Adnan untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi. Adnan bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang-simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul. Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul.
Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Adnan mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan ‘exit’ ke ‘highway’ telah terlalu jauh. Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan Maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut. Tetapi kini suara azan Isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami.
Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh.
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”. Adnan yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya.
Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut. Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati. Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?”
Pak cik itu kehairanan dan menjawab “Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Adnan hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Adnan hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Nan!” Tetapi tidak diendahkan oleh Adnan sebaliknya Adnan terus memecut laju pulang ke rumah. Malam itu sebelum tidur, aku terima SMS dari Adnan, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan “pasar malam” tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Adnan sahaja yang berada di dalam kereta. Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Pada hari Sabtu itu, Haziq mencadangkan tempat yang menarik untuk kami memancing. Tidak pernah mengatakan tidak, kami berlima terus bersetuju dengan cadangan Haziq. Tempat yang dicadangkan olehnya di puncak Bukit Polo Iskandar, Ipoh.
Kami sampai di situ kira-kira jam 5.30 petang. Sampai sahaja di situ kami mencari lokasi yang terbaik untuk memulakan memancing. Kelihatan kocakan air memang banyak. Tidak hairanlah banyak ikan di situ kerana dahulunya merupakan tapak bekas kolam ikan yang dibela.
Setelah itu kami menunaikan solat fardu asar secara berjemaah. Berbekalkan roti kosong di cicah bersama sardin yang dibekalkan oleh ibu Afiq tadi, kami bersama menikmatinya sambil berborak kosong. Lebih kurang 15 minit menunggu, joran Mirza disambar. Naik seekor toman lebih kurang 3 kg beratnya.
Hari semakin beransur gelap. Mirza dan Iddin sibuk memasang unggun api. Nak bagi kawasan terang dan juga menghalau agas kata mereka. Aku pula duduk berborak dengan Afiq dan Haziq. Sedang asyik berborak tiba-tiba aku terdengar bunyi sesuatu yang mencurigakan. Uuuiiii….uuiiii..uiiii. Afiq dan Haziq mungkin tidak terdengar bunyi itu kerana asyik membebel sahaja pasal ikan yang tak makan umpan.
Aku cuba mengamati bunyi tu betul-betul. Aku cuba mencari dari manakah arah bunyi tersebut. Hati aku sudah mula rasa tidak sedap. Tetapi untuk tidak melayan perasaan takut itu aku buat tak tahu sahaja. Akan tetapi bunyi itu semakin berlanjutan. Aku tak pandang joran ketika itu. Dalam keadaan bunyi yang mencurigakan tiba-tiba ada tambahan bunyi pula, aku terdengar bunyi budak menangis.
Bunyi itu semakin berlarutan. Tiba-tiba datang Mirza. Mukanya agak pucat. Dia duduk sebelah aku. Ada benda yang ingin disampaikannya. Tetapi agar sukar untuk Mirza berkata-kata. Kawan-kawanku yang lain juga perasan akan perubahan Mirza dan segera datang ke arah aku dan Mirza. “Kau kenapa ni Mir,”? soal Haziq cemas. “Ceritalah,” sambung Afiq.
“Aku perasan ada orang memancing tadi di sebelah sana, aku pun tergur dia, tapi tak sampai 5 saat orang itu hilang betul-betul depan mata aku,” cerita Mirza dalam nada ketakutan.
Ketika Mirza menceritakan kejadian itu, kedengaran uuuuuiiii…uuuuiii….uiii bunyi tangisan budak itu berselang-seli dan semakin kuat. Kini bukan sahaja aku seorang yang dengar malah yang lain juga turut terdengar bunyi yang sama.
Tanpa berlengah masa, aku terus mengajak kawan-kawanku pulang. Tetapi Afiq dan Iddin enggan pulang. Katanya baru sampai takkan mahu pulang. Akhirnya mereka semua akur dengan keputusan aku yang mahu pulang. Kami semua berkemas dan berjalan keluar dari kawasan itu.
Bila sudah hampir dengan tempat meletak motosikal kami, baru aku sedar bunyi itu datang pokok yang paling hampir dengan tempat aku meletak motosikal. Hendak tak hendak aku harus melalui pokok itu untuk mengambil motor.
Tapi apa nak buat mesti lalu pokok itu dulu takkan nak terus berdiri di situ. Bertemankan cahaya lampu suluh kami melalui pokok itu. Itu pun lampu suluh meragam. Kejap menyala, kejap tidak. Masa lalu pokok tu hanya Allah yang tahu.
Bulu romaku meremang sakan. Masa nak sampai ke motosikal, kami terdengar orang ketawa mengilai panjang. Apa lagi kami semua hidupkan enjin tekan gear dan jalan. Mujurlah enjin senang dihidupkan ketika itu.
Aku menjadi orang yang paling belakang. Tak tengok belakang aku terus menunggang dengan tenang. Ingatkan gangguan itu sudah habis, tapi masa turun puncak bukit itu ada berlaku kejadian aneh. Ketika turun dari bukit itu keadaannya memang gelap.
Tiba-tiba ada sebuah motosikal yang datang dari arah belakang memotong aku dan rakan-rakan. Lagi pelik motosikal itu tidak berlampu dan dinaiki seorang pakcik tua. Sedangkan kawasan itu gelap. Jika tiada lampu mustahil akan nampak dengan keadaan jalan yang berbukit pula, lagi bahaya.
Aku lihat kawan-kawanku juga tidak peduli dengan keadaan itu. Kami terus memandu dengan berhati-hati. Bukit di situ agak curam. Jadi aku menggunakan gear 1 sahaja. Dalam keadaan gelap begitu, kami diuji lagi. Ada sebuah kereta berwarna merah bertembung dengan kami. Kereta itu menuju ke puncak bukit.
Masa berselisih dengan kereta itu, aku menjeling untuk melihat apa yang ada dalam kereta itu. Alangkah terkejutnya aku kereta itu tiada pemandu dan di belakangnya ada seorang penumpang yang berambut panjang dengan paras rupa yang menyeramkan. Aku cuba kawal perasaan aku ketika itu. Mulutku tidak berhenti membaca ayat kursi dan 3 qul. Bulu romaku semakin menegak.
Kelihatan kawa-kawanku memecut motor laju masing-masing. Aku cuba fokus untuk menunggang dan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Tanpa melihat kiri dan kanan aku terus memecut laju. Oleh kerana sudah jalan landai, agar lancar perjalanan. Fikiranku hanya mahu sampai ke rumah dengan segera tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Dalam hatiku masih lagi tertanya-tanya siapakah penunggang motosikal tadi? Dan tujuan apakah perempuan itu menuju ke bukit. Mujurlah hanya aku sahaja yang menjeling wanita itu, namun wanita itu tidak menjeling aku kalau tidak, mahu 120km/j aku turun dari cerun bukit itu.
Setelah memakan masa hampir 45 minit untuk keluar daripada kawasan itu, akhirnya kami semua sampai di jalan besar. Kami terus mengambil keputusan untuk singgah ke rumah nenek Iddin yang terletak tidak jauh dari situ. Oleh kerana hari sudah larut malam, kami bersetuju untuk tumpang di situ sementara menunggu hari siang.
Kebetulan pula,rumah nenek Iddin bersebelahan dengan jirannya berbangsa Cina. Rumah jirannya itu ada anjing. Semasa kami semua mahu masuk ke rumah nenek Iddin itu, anjing tidak duduk diam dan menyalak dengan kuat sambil memandang ke arah kami semua. Mungkin anjing itu tahu akan kehadiran entiti asing di situ.
Semenjak kejadian itu, kami berlima tidak lagi memancing di lokasi itu. Kami lebih selesa memilih pot yang ada orang ramai dan mudah meminta bantuan andainya berlaku kejadian yang tidak diingini. Kejadian yang berlaku itu kini menjadi satu memori misteri yang hingga kini sukar untuk dirungkaikan!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...