Ikan pari seberat 20.310 kilogram menjulang Awie Nurfarish dari Pekan, Pahang sebagai juara Shimano Surfcasting Challenge 2017 di Pantai Puteri, Melaka yang berlangsung Ahad lalu.
Awie menaikkan ikan berkenaan pada jam 8.44 pagi sekali gus Zamri Saiman, dari Selangor yang menduduki tempat kedua dengan ikan sembilang seberat 1.360 kilogram. Tempat ketiga disandang Zaidi Warmo dari Klang, Selangor yang menjinakkan sembilang seberat 1.310 pada jam 11.13 pagi. Dengan kemenangan itu Awie membawa pulang wang tunai RM45,000.00 serta peralatan memancing Shimano. Zamri berpuas hati dengan wang tunai RM10,000.00 manakala Zaidi membawa pulang RM5,000.00.
Awie yang hadir ke Pantai Puteri bersama ahli keluarga dan rakan-rakan dari kelab memancing GTB amat bersyukur dengan kemenangan tersebut berikutan rintangan yang dihadapi sebelum pertandingan termasuklah bekalan udang hidup yang dibawa semuanya mati. Hasil balingan kedua beliau berjaya mendaratkan pari tersebut setelah melayan lebih 40 minit.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Penyelaras DUN Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan. Turut hadir Penghulu Pantai Kundor, Ali Muhammad, Eksekutif Kanan Jabatan Pemasaran dan Khidmat Pelanggan Shimano Asia Tenggara, Kelvin Yiu Keen Yip dan Pemilik Mee Fah Fishing Tackle, Lai Lee Kwong.
Shimano Surfcasting Challenge yang mula diperkenalkan tahun lalu, mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada pemancing seluruh negara serta negara jiran, Singapura. Pertandingan itu menawarkan hadiah iringan jenama Shimano yang antara barangan peralatan memancing paling banyak digunakan kaki pancing di Malaysia.
Malah menurut Kelvin yang membuat pemantauan sepanjang kawasan memancing sepanjang 2.5 kilometer, beliau mendapati 70 peratus pemancing menggunakan kekili Shimano manakala 50 peratus menggunakan joran jenama Shimano.
Justeru, beliau berpandangan bahawa acara yang mendapat sambutan seperti itu wajar dikembangkan lagi. Malah beliau turut membayangkan Shimano Surfcasting mungkin dijalankan sebanyak empat kali pada tahun hadapan membabitkan empat wilayah – utara (Kedah/Pulau Pinang), tengah (Kuala Lumpur/Selangor), selatan (Melaka) dan Pantai Timur (Terengganu/Pahang).
Carta top 10
AWIE NURFARISH – Pari 20.310 kg (RM45,000 + PA Fligen TD Thick, Speedcast 450BXG dan baju T Shimano)
ZAMRI SAIMAN – Sembilang 1.369 kg (RM10,000 + PA Prosurf Thick, Forcemaster Surf 450BXG dan baju-T Shimano)
ZAIDI WARMO – Sembilang 1.310 kg (RM5,000.00 + Speedcast 14000XSB, Vengeance Surf S425CXI dan baju-T Shimano)
ISKANDAR – Sembilang 1.205 kg (RM1,500 + Forcemaster Surf 450BXG dan baju T Shimano)
AZIZAM – Yu cicak 1.095 kg (RM1,000 + Vengeance Surf 425AXI dan baju T Shimano)
1234 – Tebal pipi 0.945 kg (RM800 + Vengeance Surf 425AXI dan baju T Shimano)
JUHARI NAZRI – Gerut-gerut 0.930 kg (RM800 + Vengeance Surf 425AXI dan baju T Shimano)
MAZNI – Gemang 0.890 kg (RM600 + Vengeance Surf 425CXI dan baju T Shimano)
PUTERI – Pari 0.760 kg (RM600 + Vengeance Surf 425CXI dan baju T Shimano)
MAN LEGO – Daun baru 0.675 kg (RM600 + Vengeance Surf 425CXI dan baju T Shimano)