Jika seseorang itu merupakan seorang pengilat tegar atau caster, khususnya menetap di utara semenanjung namun tidak kenal figura dengan nama ATOK LURE… maka beliau belum layak bergelar seorang caster. Nama Atok Lure sememangnya gah dalam industri memancing tanah air. Berikut merupakan berita mengenai beliau yang disiarkan di akhbar Sinar Harian.
Seorang kaki pancing dari Taman Tunku Maheran di sini, tidak menyangka minatnya mencipta umpan tiruan suatu masa dahulu berjaya membawa namanya terkenal dalam kalangan pemancing dalam dan luar negara termasuk Amerika Syarikat.
Azizul Azmi, 40, berkata, pembabitannya dalam bidang ini bermula pada 2009, yang mana ketika itu umpan dihasilkan adalah untuk kegunaan sendiri.
Katanya, umpan pertama yang diciptanya adalah jenis ‘Snailpeak’ yang digunakan untuk memikat ikan toman dan haruan.
“Maklumlah umpan di kedai agak mahal, saya pula suka teknik ‘casting’ kadang-kadang umpan ada yang hilang, sangkut dan putus, jadi saya mula terdetik untuk buat sendiri umpan ni,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Menurutnya, proses menghasilkan umpan bukanlah mudah seperti yang disangka, malah dia mengambil masa berhari-hari untuk menyiapkan umpan pertamanya.
“Saya tak belajar kat mana-mana pun nak buat umpan ni, saya cuma teliti dan ambil contoh umpan yang beli kat kedai saja.
“Masa awal-awal tu memang pernah rasa putus asa, biasalah benda baru nak belajar buat, bukan nak jadi terus kan.
“Apa yang penting, kena sabar dan fokus betul-betul, sebab bila dah mula buat, tak boleh nak fikir benda lain dah,” katanya yang kini menghasilkan pelbagai jenis umpan seperti Buzz Peak, Spinnner Bait, Pencil, Jump Frog dan lain-lain.
Azizul yang turut dikenali sebagai Atok Lure dalam kalangan pemancing berkata, banyak peringkat perlu dilalui bermula dari pemilihan kayu untuk menghasilkan umpan yang berkualiti.
“Bagi produk saya, saya guna kayu betuh atau jeliti yang mana ia perlu dibentuk terlebih dahulu supaya jadi rupa umpan yang kita nak.
“Kemudian, saya akan cuba pula umpan ini untuk tengok kesesuaian dan aksinya di air.
“Bila saya sendiri dah puas hati, baru saya akan cat umpan tu. Warna umpan pun kena warna yang terang-terang dan menarik, baru ikan berminat,” katanya lagi.
Menurutnya, dia menghasilkan kira-kira 150 umpan dalam sebulan, bergantung kepada permintaan.
Azizul berkata, sejak mengeluarkan produk atas nama Atok Lure pada 2014, pelanggannya juga sudah meliputi pemancing di luar negara.
“Alhamdulillah, setakat ini produk saya mendapat tempat di negara luar seperti Amerika Syarikat, Australia, China dan Singapura atas permintaan pemancing di sana.
“Sebelum ini saya ada hantar produk saya ke kedai memancing, tetapi atas sebab kekangan kerja hakiki saya, jadi saya lebih kepada ambil tempahan secara atas talian melalui Facebook saya, Atok Lure,” katanya.
Azizul turut berterima kasih kepada rakan-rakan pemancing yang banyak memberikan sokongan kepada produk anak tempatan sepertinya.
GALERI