Team BTR kali ini mensasarkan padang pancing di sekitar pelantar minyak Ang-C, Terengganu. Menurut tekong terdapat lebih 60 pelantar di sekitar kawasan tersebut.
Dengan peruntukan masa selama 4 hari 3 malam hanya beberapa pelantar dan sekitarnya sahaja yang dapat digempur.
Perjalanan dari jeti bermula pukul 10 pagi. Ketika melalui unjam laut, awak-awak menurunkan peralatan ngolok aya.
Berbakul-bakul ikan aya atau tongkol saiz sehingga 1 kg setiap ekor diperoleh. Lebih dari cukup untuk dibuat umpan nanti.
Perjalanan mengambil masa 12 jam untuk sampai ke destinasi pancing. Apa lagi, sebelum bertarung inilah masa untuk tidur mengumpul tenaga.
Saya tersedar dari lena apabila terdengar bunyi bising berdesing lantas bergegas keluar dari dek bot. Rupa-rupanya bot telah pun parking berhampiran pelantar minyak Ang-C. Jam tangan menunjukkan angka 10.15 malam.
Selepas pekena roti dengan kopi panas sesi pertama kami bermula. Kaki bottom tercatuk di depan bangla masing-masing manakala jigger mula mengocak joran.
Jig Eupro Zebra pendar cahaya 80 gram yang diunjun Rizal direntap ganas. Pertarungan yang memercikkan peluh menghasilkan cupak dalam anggaran berat lebih 4 kg.
Mangsa hasil umpan besi pertama nyata telah membakar semangat kami semua.
TUAH BANGLA BARU
Hirisan tongkol segar selebar tiga jari yang dihulur oleh Omar ke dasar terus bersambut. Tersenyum Omar sambil menunggu tali sulam Ichiban 80lb digulung kekili elektrik Command X4 NP.
Mesin baru katakan, tentunya teruja untuk melihat apakah gerangan ikan yang bakal muncul di permukaan. Wah… seronok betul dia, ikan merah yang merasmikan bangla barunya.
Arus pada malam pertama nampaknya tidak memihak kepada kami. Tali yang tegak umpama tiang bendera memberi isyarat tiada arus dan penghuni dasar sudah pasti tidak bergerak aktif.
Lantas Roy mencapai set jigging elektrik kecilnya dan menurunkan jig Madai 60 gram.
Dengan setting karauan laju, joran dihenjut-henjut dan beberapa saat kemudian joran menunduk tanda ada pemangsa yang membaham jig. Seekor cupak rempit berjaya didaratkan ke lantai bot.
Malam itu Roy hanya menumpukan kepada jigging menggunakan bangla dengan hasil 15 ekor cupak berjaya dipindahkan dari perairan Ang-C ke tong Coleman.
Roy memberhentikan acara jiggingnya setelah dia merasakan kekilinya sudah panas.
“Tangkap pinggang woo..” ujar Roy sambil menggosok-gosok pinggangnya. Tahu tak apa!
LOPAK SANG MERAH
Pagi hari pertama Tekong Pok Lan memecut laju ke spot ikan merah. Sebaik sampai hon dibunyikan sebagai isyarat pemancing sudah boleh melabuhkan umpan.
Pantang jatuh sahaja hirisan kepingan sotong atau hirisan tongkol pasti ada merah yang melahap umpan.
Apabila batu ladung mencecah dasar, jari telunjuk mesti terus standby di sisi butang manual (batang sentap) kekili elektrik.
Sentap balas mesti dilakukan secepat mungkin. Kalau lambat sedikit alamatnya melepaslah.
Suasana riuh-rendah di sebelah kiri dan kanan bot dengan suara pemancing yang bersorak keseronokan melayan strike. Air di sini tidak lah begitu dalam.
Paparan skrin kekili menunjukkan angka 50-60 meter sahaja namun habuan yang naik boleh tahan saiznya.
Arus pula sederhana laju dengan saiz ladung 720 di hujung perambut menyaksikan tali utama kami dalam keadaan ‘condong lemang’.
Sudah dikira cantiklah tu. Kalau arus laju sangat jawabnya ladung besar penumbuk kena beraksi.
PERAMBUT DUA MATA
Tanduk stainless steel panjang setengah depa yang saya bawa hanya tersimpan dalam beg joran. Penggunaan perambut apollo dua mata berkekuatan 60lb-80lb nampaknya cukup menjadi.
Bukan merah sahaja yang terjerat. Kerapu, tambak, ibu kerisi, kerapu bara, tetanda, kaci dan jemuduk berjaya didaratkan. Bekerja keras nampaknya kekili Command X5 HS saya melayan asakkan penghuni dasaran Ang-C.
Apa yang menarik adalah kemunculan spesies ikan target yang menjadi sasaran saya secara peribadi iaitu ibu kerisi.
Spesimen ini mendiami lautan dalam antara 50-200 meter dan ia tergolong dalam keluarga Lutjanidae bersama siakap merah, jenahak, delah dan ikan merah. Ikan ini lebih aktif memagut umpan disiang hari berbanding malam.
Ibu kerisi tiada kaitan dengan ikan kerisi biasa yang boleh dipancing di laut pesisir pantai kerana kerisi kecil tersebut termasuk di dalam keluarga Nemiptiredae.
Di Pantai Timur Semenanjung, ibu kerisi lebih ‘glamour’ berbanding ikan merah mahu pun jenahak.
Ikan bertaraf AA+ ini dengan isi yang halus lembut serta kesukaran mendapatkannya dalam jumlah yang banyak menyebabkan harganya amat tinggi di pasaran.
Ikan ini biasanya akan disimpan oleh nelayan laut dalam untuk ditolak kepada peraih yang menjualkannya ke pasaran Singapura.
Jika ditakdirkan panjang umur, ibu kerisi boleh mencapai skala berat melebihi 20kg. Pada kunjungan ini saiz 2-3 kg yang berjaya didaratkan sudah dikira cukup bagus.
Ia menggemari dasar keras serta kawasan karang dan berbatu. Di sebelah Pantai Timur lopak-lopak serta karang di sekitar kawasan cari gali minyak menjadi kediaman spesies ini.
Menurut Pok Lan, 3-4 bulan akan datang barulah dia akan kembali semula ke spot yang telah dikunjungi. Eloklah tu. Barulah ikan tidak culas memagut umpan.
Mana yang rabut serta mengalami kecederaan di bibir sempat sembuh dan lupa ‘kisah seram’ yang dilalui.
Lagipun kalau tidak beribu, pastinya beratus-ratus lagi lopak keramat yang disimpan oleh Pok Lan dalam GPS miliknya.
CUACA YANG CANTIK
Syukur kerana sepanjang kami berada di lautan tiada hujan yang mencurah serta tiada angin kencang yang menerjah.
Awak-awak bot Pok Lan juga ‘ringan tulang’ sentiasa sedia membantu menguraikan kekusutan apabila tali pancing tersangkut sesama sendiri, membantu melekatkan tanda pada ikan-ikan yang diperolehi (ikan tak kongsi) dan tidak ketinggalan masakan chef Ganu yang umppph!
Dari apa yang saya dengar, Team BTR akan mengadakan trip susulan. Cuma tarikhnya belum pasti. Itu lah pemancing, bila dapat ikan nak ulang balik.
Bila kumpau pulak nak repeat semula sebab tak puas hati, nak balas dendam katanya!
Pengkalan Gawi, Pulau Mahathir / Pulau Gong dan Pulau Petang di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu
PENGANJURAN
Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu
KERJASAMA
Tourism Malaysia Wilayah Timur
Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)
PENGURUS ACARA
Sekretariat ASEAN Monsoon Casting Tournament
LATAR BELAKANG
Penganjuran memasuki kali ke 11 yang bermula pada tahun 2009. Penganjuran acara ini lebih menumpukan kepada sukan memancing dengan berkonsepkan ‘TANGKAP DAN LEPAS’ bagi menjaga kelestarian ekosistem marin dan konservasi di Tasik Kenyir.
Bagi promosi Tasik Kenyir pada luar negara, Sekretariat MCT bersama Supratechnic Mercury Marine, Korea Sportfishing Association (KSA) dan dengan sokongan Kerajaan Negeri juga terlibat dengan Anglers Exchange Program di mana pemancing Korea dan Malaysia dapat menyertai pertandingan di antara kedua-dua Negara.
Program ini juga melibatkan pemancing dari negara Jepun, Australia, USA, China dan Scotland. Sekretariat juga berkunjung ke Empangan Banglang, Thailand untuk mini sirkit Lake Tour pada Januari 2019 yang Turut mempromosi AMCT dan Tasik Kenyir pada pemancing Thailand.
KEISTIMEWAAN PROGRAM
Peluang untuk pemancing baru dan lama mengeratkan silaturrahim di dalam acara tahunan yang besar dan meriah serta mempertemukan para pemancing dari berbagai kaedah memancing seperti menggewang (lure-casting), pancing layang (fly-fishing) dan juga termasuk penggiat konservasi, penyelidik dan lain-lain.
Untuk kesinambungan acara-acara Sukan Rekreasi Memancing yang berkualiti, yang semakin berkurangan di Malaysia, khususnya pertandingan memancing Air Tawar (fresh water fishing game/competition).
AMCT semakin di kenali di pelusuk Asia Tenggara sebagai satu acara wajib hadir tahunan negeri dan peringkat kebangsaan dengan kehadiran peserta dari luar Negara.
Selain itu acara memancing yang mengamalkan konsep tangkap dan lepas (Catch and Release), terdapat juga program melepaskan benih anak ikan “Conservation & Preservation” (Pemeliharaan & Pemuliharaan), sebagai usaha untuk meningkatkan jumlah ikan di Tasik Kenyir.
Penglibatan beberapa buah houseboat dengan lebih 100 buah speedboat, bassboat dan kayak yang bergabung menjadi satu perkampungan air di Tasik Kenyir menghidangkan suasana yang unik dan menarik bagi kaki-kaki pancing dalam dan luar negara.
PENYERTAAN DAN PENAJAAN
Seramai 255 peserta telah mengesahkan penyertaan termasuk dari Korea, Thailand, Brunei, Singapura, China, Scotland, USA, Jepun dan Australia .
Sebanyak 15 buah houseboat dan 120 buah bot fiber akan digunakan sepanjang kejohanan berlangsung, termasuk penggunaan 8 bassboat dan 10 kayak.
Majlis Pelepasan Peserta di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir pada 30 November 2019, jam 9.00 pagi.
Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah pada 2 disember 2019 jam 1.30 petang di Tasik Kenyir (atas houseboat).
PENAJA – PENAJA UTAMA
Supratechnic M Sdn Bhd – Mercury Marine
Daiwa Malaysia
Khairol Fiber Sdn Bhd
Gigamate
PENAJA-PENAJA RASMI
Ikanz Clothing / Damiki Malaysia / Din Labatta / Kail Apparel / Seven Trick Adventure / Lipakz Creation / Monster Craft Fishing / BoatYard My / Gomo Kayak / Poktam Caster / SA Fishing / Amy Foggy / MhMh Tackle / Bekeng Apparel / Awood Workshop / Ima Sportfishing / Sakana Gia / Guan Lim Tackle / Mym Tackle / Tackle Control Trading / East Borneo Sport Fishing / EBSF / Epol Craft / TKs & Friends / Titan Fishing / KK Fishing Mart / KB Anglers & Aquatics / Syarier GPS / Syida Collection / NCR Handmade Lure / Quinara Houseboat / Team 4×4 Qatar / Jenoba Outdoor / LureFix
MAKLUMAT PENGANJURAN DAN HADIAH
Kategori yang di pertandingkan :
Kategori Kumpulan
King of AMCT 2019
Best of Sponsorship Team
Kategori Individu Bot, Kayak dan International :
King of Sebarau
King of Toman
King of Special
Best of Barramundi (Siakap)
Best of Boatman/Guide
Best of International Angler
Best of Kayak Fishing
Best of Sponsorship Team
Hadiah keseluruhan berjumlah RM70,000.00 berupa enjin bot,bot fiber, motor elektrik, produk dan aksesori memancing sumbangan penaja-penaja.
ATURCARA PROGRAM
Hari Pertama 29hb November 2019 (Jumaat)
(Houseboat di Pengkalan Gawi)
3.30 ptg: Pendaftaran peserta dan daftar masuk ke houseboat masing-masing / Pembahagian minyak 2T dan 4S oleh Supratechnic Sdn Bhd (Mercury Marine)
Program-Program sampingan :
Bersama Mr Ray Kim dari Korea pereka gewang Damiki.
Bersama Daiwa Malaysia Ambassador Encik Mohd Zamri.dan Pro Staff Daiwa Malaysia
Bersama Mr Kris Hickson Daiwa Australia Pro Staff Yang Juga Merupakan Raking No 1 ABT (Australia Bream Tournament).
Fly Fishing Demo & Tying dari TFFC (Terengganu Fly Fishing Club) Mr Christopher, Mr Johar dan Pak Amin (Jemputan Khas dari Singapura).
Program bersama Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir (PPTK)
Pasar Karat Jualan produk-produk Mancing tempatan baru,terpakai dan HandMade.
7.00 malam: Solat Magrib dan Isyak
Majlis tahlil dan doa selamat (Surau Pengkalan Gawi)
8.30 malam: Makan Malam & BBQ
Taklimat Pertandingan dan Keselamatan
Pembahagian goodies dan sesi pengenalan peserta dan urusetia.
Hari Kedua – 30hb Disember 2019 (Sabtu)
(Houseboat di area Pulau Mahathir)
7.00 pagi: Sarapan pagi
8.00 pagi: Taklimat ringkas pertandingan
9.00 pagi: Majlis Pelepasan Peserta
9.30 pagi: Program Pelepasan Anak Ikan (Sg Leban Terengganu) Conservation & Preservation
12.30 tengah hari: Makan Tengahari
7.00 malam: Pertandingan hari pertama tamat / Penyerahan gambar dan video hasil tangkapan peserta
8.30 malam: Makan malam dan acara-acara sampingan termasuk cabutan bertuah dan penyampaian hadiah harian
Hari Ketiga – 01hb Disember 2019 (Ahad)
(Houseboat di Pulau Petang)
7.00 pagi: Sarapan pagi
Pertandingan diteruskan.
12.00 tengah hari: Makan tengah hari
7.00 malam: Pertandingan hari kedua tamat / Penyerahan gambar & video hasil tangkapan peserta.
8.30 malam: Makan Malam, acara-acara sampingan termasuk cabutan bertuah dan Penyampaian Hadiah Harian
.
Hari Keempat – 02hb Disember 2019 (Isnin)
7.00 pagi: Sarapan pagi
Pertandingan acara sampingan bermula (Daiwa Casting Battle)
11.30 pagi: Pertandingan acara sampingan tamat
12.00 tengah hari: Makan Tengahari
Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah pemenang-pemenang AMCT 2019 (Disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat,
YB Ariffin bin Deraman), Cabutan Bertuah Utama, Sesi bergambar, Bersurai.
Malam semakin pekat cuma pelantar boreng sahaja yang setia memuntahkan api tanpa henti. Masa yang ditunggu-tunggu telah tiba. Kelihatan anak-anak ikan bermain-main kilauan cahaya di atas permukaan air. Tekong merapati tiang pelantar yang dilimpahi cahaya itu. Tanpa membuang masa, masing-masing berjigging dan membuat lontaran popper ke sasaran.
GEREPOH BEKOK
Tiba giliran Asri menyambung aksi apabila jig Runaway kegemarannya disambar penghuni dasar. Selang beberapa ketika, Wahab pula menjerit gembira setelah strike nya mengena. Selepas itu silih berganti aksi antara saya, Azman dan Wahab. Saya sendiri mendapat 3 kali strike selepas itu namun cuma seekor berjaya ditewaskan.
Selepas berusaha tanpa jemu, akhirnya popper milik Azman disambar rakus berhampiran dengan tiang pelantar. Nampak kelibat pun dah tahu tentu gerepoh yang menyambarnya. Kuat betul asakan dan lariannya tapi masih tidak mampu menandingi kekuatan Daiwa Saltiga milik Azman. Dengan pengalaman yang ada, advantage masih memihak kepadanya setelah bot dikeluarkan jauh dari pelantar minyak. Setelah hampir dengan bot barulah kelihatan seekor gerepoh lingkungan 25 kg tewas dengan popper Yo-Zuri.
Sesi malam diteruskan dengan acara jigging dan popping. Kehadiran cupak bagaikan pesta kerana banyak menyambar jig hingga ke lewat malam. Galak betul gerombolan cupak ini menyerang tanpa memilih jenis atau warna jig sekali pun. Malah jig yang bukan luminous pun pasti ada cupak yang menyambar. Tekong dan awak-awak yang silih berganti mengemudikan bot memang cekap dan profesional.
Mereka sanggup tak tidur semata-mata hendak melayan kerenah para pemancing. Lagipun dilarang sama sekali sauh diturunkan di kawasan larangan tersebut. Apabila ada sahaja sambaran maka tekong akan segera mengalihkan botnya keluar daripada ’zon bahaya’ agar pertarungan lebih adil. Sang gerepoh tidak berpeluang lagi menyelinap ke tiang pelantar yang menjadi senjata terakhirnya.
Suatu ketika, keadaan seperti tidak terkawal lagi apabila sambaran demi sambaran berlaku hinggalah ke tengah malam. Tidak kira jigging mahupun popping, semuanya membuahkan hasil. Beberapa jig telah lebur dilarikan gerepoh bagak. Begitu juga dengan popper turut menjadi mangsanya.
Cuma Wahab sahaja berjaya melayan kedegilan gerepoh menggunakan set popping miliknya yang baru dibeli. Apa yang penting, semua peserta ekspedisi ini dapat merasakan sendiri henjutan rakus sang gerepoh ini melarikan besi jig dan popper.
Kami berhenti jigging hampir jam 1 pagi. Lagi pun sudah tiada kelibat gerepoh bagak yang mencabar kami. Kami faham tekong juga keletihan mengawal bot sepanjang hari. Tekong segera beralih arah untuk memancing dasar pula. Bolehlah tekong berehat dan tidur sekejap kerana keesokan harinya masih ada tugas besar yang perlu dilaksanakan.
Acara malam menjadi acara merendam umpan untuk mencari ‘lauk’ spesies bersisik pula. Biasanya kami meletakkan acara ini sebagai penyeri bagi setiap trip. Lagi pun masa inilah nak berehat dan bersembang sambil berbincang apa strategi untuk esok harinya.
GEREPOH MEGA GT TRIANGLE
Keesokan paginya tekong segera menghala botnya ke pelantar spot yang kami gelar GT Triangle yang menempatkan tiga pelantar minyak tersohor iaitu Pulai, Seligi dan Tinggi. Bagi yang gagal semalam, inilah masanya melunaskan dendam kerana keesokan harinya kami perlu bertolak pulang mengikut yang telah ditetapkan.
Azman yang masih setia dengan teknik jigging memulakan pertarungan. Gerepoh pagi ini nampaknya lebih ganas. Namun otai berpengalaman sepertinya tidak timbul masalah kerana persediaan yang cukup rapi. Berbekalkan Shimano Stella miliknya dan rod Jigging Master mudah menjinakkan mangsa. Biasanya beliau akan melayan gerepoh sehingga lembik barulah pelan-pelan ditarik naik.
Di tengah-tengah kemeriahan tarikan gerepoh, Si Wahab pula banyak menaikkan ikan mayong yang entah dari mana sesat pun tak tahu. Mayong pun mayonglah, bagi pemancing Johor, mayong cukup bererti bagi mereka lebih daripada tenggiri lagi.
Sekurang-kurangnya jelajah api boreng ini menyaksikan gabungan ‘orang lama’ dengan pemancing baru berganding bahu merealisasikan objektif yang ingin dicapai. Otai-otai laut dalam seperti Wahab, Azman dan Asri serta awak-awak berpengalaman senantiasa memberi tunjuk ajar kepada mereka. Pesanan penaja untuk mereka yang mula mengenal pelantar minyak haruslah membuat persiapan yang lebih rapi terutamanya kekuatan mental dan fizikal.
Masing-masing baru merasai dan menyaksikan kekuatan tarikan ganas gerepoh mega di sini. Nampak gayanya lain kali perlu lebih persediaan peralatan yang lebih baik termasuklah teknik ikatan pada popper dan shock leader yang lebih kemas. Lain kali sebelum datang, masuk gym dulu bro, angkat besi lima enam kilo barulah ada power! Apa yang pasti, sambaran gerepoh di semua pelantar di sini sukar untuk dilupakan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...