Apa Yang Perlu Korang Buat Sebelum Beli Mata Kail

Share

 

Perkakasan terminal merupakan alatan pancing yang berada di bahagian paling hujung dan terkecil dalam kelengkapan set memancing. Mata kail merupakan salah alatan memancing yang tergolong dalam perkakasan terminal. Walaupun bukan peralatan utama memancing, tetapi adalah mustahil untuk memperoleh hasil melalui memancing kalau tak ada mata kail.

 

Mencari dan membeli mata kail bukanlah hal yang susah tetapi pemilihan mata kail dengan konsep pancingan dan ikan sasaran itulah yang terpenting. Jadi, sebelum beli sebarang mata kail, korang perhatikan dulu panduan yang kami sediakan ini.

 

 

Sebelum beli sebarang jenis mata kail, ambil dulu sedikit masa untuk berfikir. Bentuk dan saiz mata kail perlu disesuaikan dengan saiz dan bentuk mulut ikan yang akan dipancing. Selain itu perlu diambil kira juga tentang tekstur dan kepelbagaian saiz umpan yang akan digunakan.

 

Jangan terpengaruh dengan satu reka bentuk mata kail saja kerana pernah melihat mata kail jenis itu pernah mendaratkan ikan. Jangan takut untuk bereksperimen sendiri. Malah dengan cara tersebut anda boleh menentukan sendiri reka bentuk mata kail yang sebagaimana lebih sesuai untuk spesies ikan.

 

 

Ciri Mata Kail

 

Sifat ketajaman mata kail adalah satu perkara yang tidak boleh bertolak ansur. Menggunakan mata kail yang tumpul, samalah seperti melakukan kerja yang sia-sia. Jadi, periksalah dengan teliti ketajaman setiap mata kail yang dibeli. Dan periksalah sekali lagi sebelum menyambungkannya pada tali perambut ataupun gewang.

 

Ibarat kata pepatah, dalam setandan kelapa bukan semuanya busuk walaupun jarang bertemu sebiji yang rosak. Begitu jugalah dalam pembungkusan mata kail. Memang jarang terjumpa mata kail yang rosak atau terdapat sedikit cela.

 

 

Tapi kemungkinan itu tetap ada seperti lubang mata kail yang tertutup penuh atau separuh, berteras lembut, bengkuk pelik atau kesat. Sekiranya tidak diperiksa dengan baik, ia boleh mengundang kekumpauan berlaku sebelum memancing.

 

Teknik asahan kimia atau chemically sharpened, merupakan salah satu proses pembuatan mata kail agar tahap ketajamannya berkualiti dan tahan lama. Namun tidak bermakna mata kail tersebut berkualiti dan mahal harganya. Proses tersebut bukan lagi hanya mampu dilakukan oleh pengeluar mata kail berjenama sahaja.

 

 

Jadi jangan berfikiran mata kail asahan kimia ini berkualiti tinggi. Kekadang ia hanya hiasan pembungkusan sahaja.

 

Sekarang ini terlalu banyak jenama mata kail dan reka bentuknya. Harganya juga berbeza-beza walaupun kualiti hampir sama. Apa yang penting, pilihlah mata kail berdasarkan fungsi dan kegunaannya. Bukan kerana harga atau pembungkusannya yang cantik.

 

Published by
Amang