Apa Yang Pemancing Buat Bila Balik Kampung

Share

 

Tidak dinafikan pemancing di kotaraya adalah jauh lebih ramai berbanding pemancing di luar bandar. Namun kebanyakan pemancing di bandar ini berasal dari kampung. Jadi, bila hari raya ramai pemancing akan pulang ke kampung. Agak-agaknya, apa pemancing ini suka buat bila pulang bercuti di kampung?

 

Tinjau lubuk

 

Kalau tidak berhenti pun, sekurang-kurangnya mereka akan panjangkan leher meninjau lubuk-lubuk yang pernah jadi padang pancing, di sepanjang perjalanan pulang ke kampung. Dalam kepala mula berkira-kira untuk turun beraksi berbekalkan ilmu dan skil memancing yang telah dinaik taraf.

 

 

Padang pancing baharu

 

Mana-mana pemancing pasti teruja tak terkira bila secara tiba-tiba ternampak ada kolam memancing yang baru beroperasi tidak jauh dari kampung halaman. Bila dah terlajak pun sanggup patah semula untuk meninjau situasi. Dan tak mustahil ada yang terus keluarkan set dan memancing.

 

 

Jenguk lubuk berdekatan rumah

 

Bagi yang betul-betul kaki pancing, masuk jumpa mak ayah sekejap kemudian terus menjenguk lubuk-lubuk memancing berdekatan dengan rumah. Bukan nak memancing pun cuma nak tinjau potensi semasa berbanding masa lalu. Tapi kalau nampak sangat berpotensi, balik ambil joran la jawabnya.

 

 

Pergi pasar

 

Percaya atau tidak ramai kaki pancing jadi rajin untuk ke pasar basah atau pasar tani. Sebenarnya bukan nak ayam daging sangat. Tapi nak tengok hasil sungai dan laut yang dipasarkan. Kalau banyak ikan gred A yang makan umpan pancing, boleh usyar tekong-tekong bot yang buat trip memancing.

 

 

Jumpa kawan

 

Sudah semestinya akan jumpa yang sama hobi terlebih dulu. Selain dengar cerita perkembangan trip memancing mereka, inilah masanya untuk kongsikan pengalaman sendiri memancing di ibu kota dan lain-lain padang pancing. Sekelip mata maka dapatlah gelaran sifu atau masta dari rakan-rakan.

 

 

Tayang set pancing

 

Bila dah jumpa kawan-kawan kaki pancing tak lengkap kalau sekadar sembang berapi saja. Rugilah kalau tak tayang set pancing terkini yang diguna pakai. Nama pun dah jadi pemancing bandar, takkan nak pakai set pancing level pemancing kampung lagi. Ye dak?

 

 

Ronda kedai pancing

 

Memang tak sah kalau tak pergi meronda ke semua kedai pancing yang ada dalam kawasan berdekatan. Inilah masanya nak cari barang rare yang dah habis stok di kedai-kedai pancing utama di kotaraya. Tapi yang pasti akan buat perbandingan dan komen macam-macam pasal harga.

 

Published by
Amang