Apa Yang Best Sangat Ada Kelab Mancing

Share

 

Setiap kaki pancing ada bermacam-macam gelagat dan tabiat yang tersendiri untuk keluar memancing Boleh kita lihat ada yang dari jenis ‘lone ranger’ dan ada juga yang mempunyai grup atau  kumpulan/kelab memancing sendiri dan gemar melakukan aktiviti bersama geng-geng komplot.

 

Lambakan grup atau kelab memancing di Malaysia semakin merancakkan lagi dunia hanyir ini. Acap kali melihat di media sosial gambar komplot memancing dengan memakai baju rasmi kumpulan mereka seolah-olah menggambarkan aktiviti memancing sebagai satu aktiviti yang mampu mengukuhkan ikatan silaturahim sesama yang lain.

 

 

Seperti yang kita tahu, kelab memancing ini biasanya diuruskan oleh seorang ketua atau di laman sosial ia akan diuruskan oleh seorang atau lebih admin yang mana kebiasaannya admin yang akan menggerakkan dan menyusun aktiviti untuk ahli. Setiap komplot yang ingin disusun juga biasanya pihak admin akan mendapatkan pandangan ahli sebelum merancang trip.

 

Selain merangka aktiviti, ada juga di kalangan admin terutama yang bergiat aktif di media sosial mahupun di grup whatsapp yang seperti berkongsi gambar pancingan, video, teknik-teknik memancing dan sebagainya kepada ahli kumpulan. Jadi dengan ini, ia dapat merancakkan lagi interaksi sesama ahli.

 

 

Bila ditanya tentang apa kelebihannya bergerak memancing di dalam satu grup ini, pada pandangan peribadi penulis sebab utama yang menjadikan grup ataupun kelab memancing ini sangat baik kepada kaki pancing ialah jalinan silaturahim.

 

Tidak hanya terhad kepada aktiviti memancing, tetapi ia juga aktiviti lain seperti konvoi kereta, jamuan bersama keluarga dan sebagainya. Sudah tentunya ikatan silaturahim menjadi kelebihan utama menyertai kelab memancing ini kerana kita boleh lihat sesebuah kelab memancing ini biasanya menganggap semua ahli bagaikan Ada juga kelab memancing yang mempunyai baju rasmi mereka sendiri.

 

Selain itu, dengan kewujudan kelab memancing juga memberi potensi untuk berkenalan dengan kaki pancing yang datang dari lain daerah dan negeri dengan anda sekali gus ini dapat memberi peluang untuk meneroka lubuk pancing baru yang mungkin belum pernah dapat anda jejaki.

 

 

Justeru, ini dapat membuka mata anda tentang lubuk-lubuk baru dan juga pada masa yang sama dapat mempelajari teknik yang sudah tentu berbeza di setiap tempat.

 

Ini antara kelebihan kelab atau grup memancing yang dapat penulis kongsikan. Apa pula kata kaki pancing yang lain? Pastinya ada sebab tersendiri kenapa perlu adanya kelab memancing dan apa pula kelebihannya kepada kaki pancing.

 

“Kelebihan kelab pancing kepada kaki pancing ialah ilmu dunia memancing dapat dikongsi bersama kalangan ahli kelab dengan mengadakan bengkel atau klinik teknik memancing. Di samping itu, ia juga dapat mengeratkan ukhuwah sesama kaki pancing. – Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita rapatkan, yang rapat kita erat, yang erat kita teguhkan. Itulah motto Penang Anglers Club (PAC).”

– Khairul Cheng (PAC)

 

 

“Bagi saya, bila ada kelab atau grup memancing ni ialah bila kita dapat berkongsi segala ilmu tentang aktiviti memancing sesama ahli. Oleh itu, saya ambil pendekatan untuk menyatukan semua pemancing di bawah 1 bumbung.

Maka tertubuh KPMBDR ini. Kelab yang ditubuhkan ni bukan hanya untuk berbincang, malah kita cuba terap dan didik nilai disiplin di kalangan pemancing seperti isu kebersihan, CNR, dan macam-macam lagi.

Pelbagai aktiviti telah kami buat seperti majlis berbuka puasa, hari keluarga, bantuan mangsa banjir, dan pelbagai aktiviti amal yang lain. KPMBDR dengan slogan 3F – Fishing… Friendship… Forever memang menyokong untuk semua kaki pancing bernaung di bawah 1 bumbung, tidak kira dari kelab atau grup mana sekalipun.”

– Safari Jabar (Kaki Pancing Muar Bandar DiRaja – KPMBDR)

 

 

“Pada pandangan saya, kelab memancing ni patut di tubuhkan kerana ia dapat mengeratkan tali silaturahim sesama pemancing selain dapat berkongsi pengalaman dunia memancing kita. Kalau kita gerak dalam satu grup lagi seronok.

Saya sendiri lebih suka bergerak secara grup kerana ia dapat mengurangkan bahaya kepada kita dan keselamatan kita terjamin.

Kesimpulannya, saya memang sarankan agar lebih banyak grup memancing ditubuhkan. Kepada pemancing, diharap dapatlah sertai mana-mana grup memancing yang ada sekarang ini. Ingat, bangau akan lebih indah seandainya berjemaah…”

– Aarol Cool (Malacca Snakehead Hunter)

 

Published by
Amang