Sebagai panduan, kalau terkena sengat ketika berada di daratan, segeralah pergi ke klinik atau hospital yang berdekatan untuk rawatan. Tak perlulah cari apa-apa petua untuk mengurangkan bisa sengat tersebut.
Dikatakan juga, sengat ikan yang paling kuat bisanya ialah ketika air gerak pasang. Jika terkena sengat pada waktu ini bisanya seperti berganda kuatnya. Ia mungkin disebabkan ketika air bergerak pasang ini adalah waktu ikan asgresif mencari makanan. Jadi, berhati-hatilah ketika memancing ikan bersengat pada waktu ini.
Ais
Buang atau cabut sengat (sekiranya masih tercucuk pada anggota tubuh). Kemudian picit atau tekan kawasan yang terkena sengat supaya bisanya keluar bersama darah. Selepas itu ambil ais dan tuam pada tempat yang terkena sengat. Tuam sehingga tempat tersebut terasa kebas atau hilang rasa denyutannya. Cara ini bolehlah dikatakan paling mudah untuk dilakukan.
Biji Asam Jawa
Ads
Jika bercadang untuk memancing ikan bersengat seperti sembilang atau baung, sebaiknya bawalah biji asam jawab beberapa biji di dalam bekas pancing. Caranya ialah, hancurkan biji asam tersebut tempelkan pada bahagian badan yang terkena sengat.
Daun Jemuju
Penawar ini hanya mujarab sekiranya kita mengenali pokoknya. Rasanya ramai yang tidak mengenali pokok herba ini. Caranya ialah dengan mengunyah pucuk daun jemuju dan tekap atau tempel pada tempat yang terkena sengat (jangan telan air kunyahan daun ini kerana rasanya sangat pahit).
Ads
Air Kencing
Petua yang paling mudah untuk dilakukan kerana semua orang memilikinya. Caranya ialah dengan menjiruskan air kencing pada tempat yang terkena sengat. Jika tak mampu untuk mengeluarkan air kencing sendiri, boleh saja guna air kencing rakan. Dikatakan, air kencing seorang kaki kencing amat mujarab merawat bisa.
Ads
Dakwat Sotong
Sesetengah bisa seperti sengat ikan kitang dikatakan boleh ditawarkan dengan melumur dakwat sotong dan dibiarkan sampai kering. Dakwat sotong saja tau. Dakwat pen rasanya tak boleh digunakan. Cuma nak dapatkan dakwat sotong ni kenalah memancing sotong dulu.
Cuka Makan
Jirus cuka makan pada tempat yang terkena sengat. Dikatakan asid cuka dapat meneutralkan bisa sengat tersebut. Cara terbaik ialah kita membawa cuka makanan di dalam botol kecil ke mana saja trip memancing yang kita pergi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Dulu-dulu orang memancing dapat ikan. Sekarang kalau tersilap lubuk, memancing bukan dapat ikan tetapi dapat orang. Ini bukan lawak, tetapi kisah benar seperti yang terjadi suatu ketika di Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang.
Seorang nelayan turun ke laut jam 6.30 petang untuk mencari ikan. Sebelum memulakan rutin harian, dia menemui mayat seorang kanak-kanak yang seminggu sebelumnya dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya.
Tidak dapat dipastikan angkara siapa menyebabkan mayat kanak-kanak 6 tahun, yang telah reput terdampar di situ. Apa yang pasti kanak-kanak malang itu bukan yang pertama terapung di situ. Seperti yang dilaporkan media, banyak lagi mayat telah ditemui terapung di kawasan perairan tersebut.
Ini membuktikan bahawa manusia sudah hilang nilai-nilai kemanusiaan dan menjadi lebih ganas daripada binatang buas. Mereka sanggup membunuh, dan mencampakkan mayat mangsa ke dalam sungai atau laut.
Sekiranya sungai dan laut boleh bercakap, pasti mereka menyatakan keluhan dan sesalan di atas perbuatan biadab manusia. Rupanya semakin tinggi peradaban, dan semakin canggih kehidupan, manusia menjadi semakin singkat fikiran. Semakin bodoh dan zalim.
Sungai dan laut yang sejak azali menjadi sumber utama kehidupan, sudah semacam tidak dihargai. Banyak sungai kita diletakkan pada status tidak selamat sebab airnya telah dicemari oleh pelbagai bahan toksik. Usahkan hendak digunakan untuk minuman, untuk dibuat mandi pun sudah tidak selamat.
Sungai dijadikan tempat buangan sisa industri. Kekotoran kilang dan pembangunan di hulu sungai, akan mencemarkan air. Sebab itu air sungai yang dulunya jernih dan dingin, kini sudah bertukar warna. Ada warna teh tarik, malah ada warna kopi-O. Tidak ada siapa yang berani mandi manda, apa lagi untuk minum air seperti itu.
Tidak sahaja sisa industri, sungai kita juga dicemari seribu satu sampah saraf. Orang kita tidak sedikit pun menghargai sungai. Semua yang tidak dikehendaki akan didamparkan dalam sungai – dari tisu pengelap peluh, kulit pisang, kulit durian, lampin bayi, tuala wanita, coli buruk, seluar dalam buruk, pendek kata apa sahaja dibuang ke dalam sungai.
Malah, akhir-akhir ini sungai juga menjadi tempat membuang bayi! Selalu kita membaca berita mengenai penemuan mayat bayi di dalam sungai. Insan tidak berdosa yang masih bertali pusat itu terapung-apung di dalam sungai. Alangkah zalimnya manusia.
Sebab itu memancing di kawasan yang dulu terkenal dengan pelbagai jenis ikan, kini mungkin tidak banyak ikan seperti dulu. Sepanjang hari memancing, ikan tidak menyambar umpan. Puas dan lenguh – malah ada yang terlena – memegang joran, tidak ada ikan yang sudi menghidu mata kail.
Kalau nasib baik, ada yang menyentap mata kail setelah menunggu sekian lama. Bukan main bersemangat melayan ikan di hujung joran. Terasa seperti menarik ikan besar, mungkin bapak haruan, atau paling tidak pun anak toman.
Rupa-rupanya nasib baik menjadi tidak baik, apabila yang ditarik dan melekat pada mata kail bukan anak toman, jauh sekali bapak haruan, sebaliknya seluar dalam yang koyak dan usang. Ku sangka ikan, rupanya seluar dalam saiz XXL. Kalau seluar dalam wanita boleh juga rendam dan airnya boleh buat ubat jerawat!
Bukan sahaja seluar dalam, ada juga benda-benda lain yang tersangkut pada mata kail, termasuk coli wanita, tuala wanita, lampin bayi. Kulit durian dan baldi buruk pun tersangkut pada mata kail. Puas dan bersemangat menarik joran rupa-rupanya yang melekat pada mata kail hanyalah selipar jepun putus tali. Begitulah kotornya sungai kita sekarang!
Maka teringat saya pada Sungai Ring di kampung saya di hulu Muar. Zaman kanak-kanak dulu sungai ini adalah sumber utama kehidupan seluruh penduduk kampung. Setengah abad dulu kampung saya – juga kampung-kampung lain sejiran – tidak ada bekalan air paip. Sungai inilah sumber air utama.
Air sungai ini digunakan untuk minuman, masakan segala makanan. Air sungai ini juga untuk cucian dan mandian harian. Di sini jugalah saya dan kawan-kawan sekolah menjadi ‘Tarzan’.
Setiap kali pulang dari sekolah, kami berhenti di permandian. Lempar beg sekolah di tebing, tanggal baju, tanggal seluar, berbogel kami terjun ke sungai, mandi dan berendam hingga semuanya kecut.
Kalau nasib tidak baik, apabila terlajak menjadi Tarzan dan tiba di rumah lewat, emak akan berleter. Lebih teruk lagi sekiranya abah tahu, saya akan di sesak dengan tali pinggang atau rotan. Ada amaran dari abah:
“Kalau engkau mandi lagi di sungai tu, aku repot rumah pasung, biar polis tangkap engkau!”
Amaran demi amaran, tetapi saya tidak ambil pot. Pertama, saya tahu mana ada polis yang hendak menangkap budak mandi sungai. Kedua, kalau betul polis tangkap dan dimasukkan dalam lokap rumah pasung (balai polis) mesti tidak cukup lokap sebab ramai budak-budak mandi sungai.
Jadi, walaupun kena rotan, saya tidak pernah serik untuk menjadi Tarzan di Sungai Ring. Airnya yang jernih lagi dingin itu terasa segar betul meresap ke seluruh tubuh. Kalau rasa dahaga ketika mandi, teguk terus air sungai itu, walaupun ada teman-teman berkata:
“Ahhh, engkau minum air kentut aku!”
Di sungai itu juga penduduk mendapat sumber protein. Abah memasang lukah sebelah petang – umpannya biji getah yang direbus – dan sebelah pagi sebelum ke sekolah saya mengangkat lukah, gembira sekali melihat haruan, puyu, terbul menggelepar di dalam lukah. Sekali sekala masuk juga ketam air tawar, di tempat saya dipanggil ‘kertah’.
Ada juga yang menjala. Mula-mula taburkan umpan kepala parut yang ditumbuk dan digaul dengan ubi rebus. Campakkan umpan dalam air, sepuluh minit kemudian tebar jala, dan akan tersangkut terbul, tonjeng, anak baung atau sebarau.
Bagi pemancing pula, umpannya cacing atau telur kerengga, pasti tidak akan kecewa. Tidak sampai setengah hari menghulur joran, pasti pulang dengan toman, baung, malah kalau nasib baik dapat pula udang galah sebesar lengan budak.
Sekali turun memancing, cukup makan sekeluarga. Musim air besar, atau bah, ada ikan-ikan besar seperti tapah, ketutu. Tetapi, silap-silap gaya buaya pun ada!
Pendek kata Sungai Ring adalah sumber rezeki untuk penduduk setempat. Itu setengah abad dulu! Hari ini orang gila pun tidak sanggup menjadi Tarzan di situ. Sungai itu telah diluruskan. Pembangunan telah mencemarkan air sungai tersebut. Tidak lagi jernih, airnya kita keruh sepanjang masa, bertoksik dan tidak boleh diminum.
Pelbagai spesies ikan sudah pupus. Jangankan seluang dan kertah, buaya tembaga pun tidak sanggup hidup di sungai tersebut. Kalau ada haruan dan puyu pun warnanya sudah hitam legam seperti besi. Orang tidak berani memakan ikan di situ sebab mengetahui ikan di situ makan sekian banyak toksik.
Saya percaya kalau pasang lukah sekarang tidak ada haruan atau terbul yang masuk. Kemungkinan besar lukah akan dipenuhi lampin bayi, tuala wanita atau coli buruk.
Manusia tidak menghargai sungai, maka sungai pun tidak lagi memberi rezeki. Bayangkan sekiranya satu hari nanti semua sungai dicemari, di mana kita hendak memancing? Fikirkan dengan serius!
Ikan tongkol hidup di laut lepas yang airnya turut tercemar dengan logam-logam berbahaya dan bersifat racun. Jika memakan ikan tongkol yang telah menyerap merkuri, ia boleh menyebabkan risiko terhadap perkembangan janin pada ibu hamil.
Selain itu, logam yang beracun boleh mengakibatkan risiko kecacatan otak pada bayi baru lahir. Untuk mengurangi risiko, buang bahagian kepala ikan tongkol ketika dibersihkan, sebelum diolah untuk dijadikan juadah, kerana bahagian kepala adalah yang paling terdedah menyerap merkuri.
Di sebalik itu, daging ikan tongkol memiliki banyak khasiat yang baik untuk kesihatan seperti:
Ikan tongkol bersifat rendah kolesterol juga mengandungi asid lemak omega-3 yang berfungsi untuk meminimumkan penyakit jantung koroner dan menurunkan kadar kolesterol di pembuluh darah.
Kandungan asid lemak omega-3 serta potassium yang terdapat dalam ikan tongkol membantu menurunkan tekanan darah tinggi dan tentunya mengurangi risiko serangan jantung mahupun stroke.
Ikan tongkol mengandung anti inflamasi, jadi ia berperanan akan mencegah peradangan pada tubuh seperti penyakit gout.
Bagi korang yang kekurangan sel darah merah, pengambilan ikan tongkol dengan rutin dapat membantu menyembuhkan sehingga badan tidak terasa lemah lagi. Kandungan zat besi juga vitamin B pada tongkol membantu pembentukan sel darah merah dalam tubuh.
Walau kaya dengan nutrisi, ikan tongkol ternyata rendah kalori. Selain itu ia mengandungi hormon leptin yang dapat membantu pembakaran kalori di dalam tubuh. Jadi, berat badan terjaga dan terhindar dari obesiti. Pilihan lebih baik ialah mengolah tongkol dengan cara direbus atau panggang.
Kandungan air dan lemak tidak tepu yang ada dalam tongkol akan membersihkan kotoran dalam pembuluh darah jika korang memakannya secara rutin.
Pada ikan tongkol terdapat protein yang fungsinya untuk membantu meningkatkan massa otot dan memperbaiki sel-sel dalam tubuh.
Untuk memilih ikan tongkol yang segar dan bagus maka pilihlah yang bersih, utuh, dan tidak berlendir. Pastikan memilih ikan tongkol dengan aroma yang khas dengan daging yang teksturnya masih padat juga kesat.
Hari yang dijanjikan sudah tiba. Semua ahli komplot sudah bersedia dengan senjata masing-masing. Trip kali ini dirancang oleh tiga orang sahabat iaitu Syed, Sabri dan Nadz .
Lubuk yang airnya dalam sentiasa keruh ini memang diketahui dihuni oleh ikan yang bagak-bagak saiznya. Boleh dikatakan pada siang hari lubuk ini sentiasa sahaja dikunjungi kaki pancing termasuk orang luar. Cuma pada waktu malam sahaja lubuk ini kurang dikunjungi.
Dengan bot fiber 12 kaki dan enjin 15 kuda, Syed memacu bot dengan laju menuju ke lubuk. Perjalanan yang mengambil masa 30 minit. Walaupun menaiki bot pada waktu malam, Syed amat arif dengan selok belok sungai ini.
Sauh terus sahaja dijatuhkan sebaik sahaja sampai di llubuk. Jam menunjukkan 10.00 malam dan masing-masing tidak sabar mencampak umpan. Hanya mereka sahaja yang memancing di situ.
Tidak menunggu lama untuk umpan diragut ikan. Nadz orang pertama yang beraksi. Setelah beberapa minit bertarung seekor baung dalam skala 1 kilogram berjaya dinaikkan. Tidak lama selepas itu, joran Syed pula ditarik dengan kuat. Dia mengambil masa yang agak lama untuk menaikkan ikan itu. Sabri dan Nadz berteriak memberi semangat.
Akhirnya seekor belida yang agak besar saiznya berjaya ditumpaskan. Begitulah mereka begitu asyik melayan ragutan ikan sehingga bekalan yang dibawa masih belum dijamah lagi. Banyak betul ikan malam tu. Naik lenguh tangan mereka dibuatnya. Ada baung, patin, tapah dan bermacam lagi.
Jam menunjukkan tepat pukul 12.00 malam. Ragutan ikan yang galak tadi tiba-tiba terhenti. Ikan seperti tidak lagi berminat dengan umpan mereka.
“Mana pulak perginya ikan ni. Nak kena tuba kot lubuk ni” kata Sabri geram.
“Aku rasa elok kita balik. Lagipun dah banyak ikan kita dapat ni,” cadang Syed. Dia dari tadi tidak sedap hati. Dirasakan olehnya telinganya seolah-olah ditiup sesuatu. Macam bunyi nafas yang mendengus kuat. Ingin diberitahu takut kalau dikatakan pengecut pula. Baru sebentar tadi dia terlihat kelibat putih atas pokok ara yang memayungi lubuk itu.
Namun dia hanya mendiamkan diri. Sabri dan Nadz terus berbual. Sesekali terdengar tawa mereka yang agak kuat dan terbahak-bahak memecah kesunyian malam. Entah apa yang dibualkan.
Tiba-tiba bot yang mereka naik seakan bergoyang. Mulanya agak perlahan tapi semakin lama semakin kuat goyangnya. Terkejut tiga sahabat itu. Mereka berpegang dengan kuat pada bot takut terjatuh.
“Kenapa pulak ni?” tanya Nadz dengan suara yang terketar-ketar. Dalam pada itu, Sabri terlihat sesuatu muncul di permukaan sungai dengan jelas apabila lampu kepalanya dihalakan kepadanya.
Hanya kepalanya sahaja yang jelas kelihatan. Itu pun setakat mulut sahaja. Dengan mata yang merah, rambutnya panjang dan mata merenung tajam ke arah mereka bertiga. Syed dan Nadz juga sedar dengan kehadiran makhluk itu yang kira-kira 10 meter dari bot mereka.
Dalam suasana kaget tersebut, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara perempuan mengilai nyaring diselang seli dengan tangisan bayi. Seram dan naik bulu roma mereka. Tanpa membuang masa tali sauh terus dipotong dan bot terus dihidupkan dan dipacu dengan laju meninggalkan lubuk itu.
Mujur enjin bot dapat dihidupkan dengan mudah. Pucat lesi wajah tiga sahabat itu. Dari jauh jelas kelihatan sekujur tubuh seorang perempuan sedang memandang mereka sambil mendukung sesuatu seperti bayi.
Sampai sahaja di jeti, ketiga orang sahabat tadi senyap membisu tanpa suara. Mereka bagaikan tidak percaya, kejadian mistik yang sering didengar dari orang lain benar-benar berlaku kepada mereka bertiga. Terketar tangan Sabri ketika menambat tali bot.
Kejadian itu telah menggemparkan penduduk kampung. Kebanyakan penduduk tidak berani menghampiri kawasan lubuk itu lagi. Rupanya terdapat kisah lama tentang lubuk itu.
Menurut orang lama di kampung itu beberapa tahun dahulu, seorang gadis pernah membunuh diri bersama bayinya di situ. Ini kerana dia melahirkan anak luar nikah dan teman lelakinya tidak mahu bertanggungjawab. Disebabkan malu dan tertekan dia mengambil jalan mudah dengan menamatkan hayatnya di situ.
Akibat kejadian itu juga Nadz demam hampir seminggu dan sejak dari itu juga, tiga orang sahabat itu mengambil keputusan untuk tidak sesekali turun memancing di lubuk berkenaan dan mereka juga serik untuk keluar memancing pada waktu malam.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...