Apa Perlu Buat Sebelum Sertai Trip Sewa Rumah Bot

Share

 

Trip memancing menggunakan boathouse atau rumah bot sememangnya popular di Tasik Kenyir dan Tasik Temenggor. Bagi yang belum pernah mencuba, eloklah ketahui serba sedikit tip sebelum menempah mana-mana boathouse.

 

Jumlah Ahli Trip

Pertama sekali perlu pastikan jumlah ahli trip biar sepadan dengan kapasiti boathouse yang ingin ditempah. Sebaiknya jumlah ahli trip sepadan dengan kapasiti maksimum boathouse tersebut. Setidak-tidaknya ia dapat mengurangkan kos setiap ahli trip.

 

 

Ketahui Pakej harga

Ketahui pakej harga yang ditawarkan oleh pengusaha boathouse. Lazimnya sekitar RM 1500 – RM 2000 per malam. Bukan dalam kiraan hari. Jika pakej harga tidak sepadan dengan kapasiti pemancing bagi sesebuah boathouse, tentu ada sesuatu yang tidak kena.

 

Tawaran Pakej servis

Sebaiknya tanya pakej servis atau kemudahan yang disediakan dalam pakej tersebut. Jika ada menyatakan jumlah tandas, katil atau bot fiber dan umpan disediakan, pastikan ia sememangnya ada dan boleh digunakan.

 

 

Spot Memancing

Tetapkan lokasi memancing yang ingin ditujui kerana tidak semua sungai di dalam kawasan tasik boleh dimasuki secara percuma. Dan pastikan tekong boathouse tersebut membawa anda ke lokasi tersebut, bukannya lokasi pilihan beliau.

 

Bayaran Sewa

Bagi memastikan trip berjalan dengan sempurna sebagaimana yang dirancang, bayaran penuh sewa boathouse elok diselesaikan setelah tamat trip, bukannya sebelum memulakan trip. Ini bagi memastikan servis terbaik dari pengusaha.

 

 

Perihal Makan Minum

Walaupun setiap boathouse menyediakan dapur dan kelengkapan memasak namun makan dan minum tidak termasuk dalam pakej tersebut. Jadi, anda wajib bawa barang-barang makan dan masak sendiri jika tidak mahu kebuluran.

 

Published by
Amang