Apa Jadi Jika Tangkapan Berlebihan Ini Berterusan

Share

 

Selalu kita dengar terma overfishing atau tangkapan berlebihan. Sedar atau tidak, tangkapan berlebihan merupakan salah satu ancaman utama terhadap sumber perikanan, yang juga merupakan sumber paling penting bagi kaki pancing.

 

Sebagai pemancing yang beretika dan berilmu anda perlu tahu 9 fakta yang membimbangkan tentang ‘overfishing’ ini.

 

Lanun Lautan

 

Kapal dan bot-bot besar yang moden dengan kelengkapan teknologi sonar hari ini mampu mengesan lokasi kawanan ikan dengan tepat. Setelah ikan ditangkap, kapal ini akan dijadikan pula sebagai ‘kilang terapung’, dengan kelengkapan memproses hasil tangkapan dan sistem pengawetan. Ini dilakukan selepas mendapat hasil dari menunda pukat dan menggunakan enjin yang sama.

 

 

Populasi pemangsa merosot

 

Dalam tempoh masa 55 tahun, 90 % pemangsa utama lautan hilang akibat kerakusan aktiviti manusia. Populasi ini termasuk jerung, marlin, tuna sirip biru, swordfish dan king mackerel. Kehilangan populasi spesies pemangsa ini boleh mengubah keseluruhan ekosistem laut di mana secara komersialnya ikan bernilai tinggi berganti dengan ikan pemakan plankton. Tidak mustahil obor-obor akan menggantikan ikan seperti yang kita makan hari ini.

 

 

Piramid makanan terganggu

 

Jika pengurangan ikan besar bernilai tinggi yang juga pemangsa utama seperti tuna atau marlin, tumpuan akan teralih kepada tingkat bawah pemangsa utama dalam sistem piramid makanan. Ini bermaksud, penangkapan ikan akan terarah kepada spesies yang semakin kecil dan kurang bernilai di serata ceruk lautan.

 

 

Sudah lama berlarutan

 

Penangkapan berlebihan atau overfishing telah didokumentasikan sejak awal 1800-an ketika manusia menangkap populasi paus untuk mendapatkan lapisan lemaknya (whale blubber) untuk dijadikan bahan api lampu. Pertengahan 1900-an, spesies Atlantic cod, herring dan sardine California ditangkap sehingga ke tahap hampir pupus. Risiko kepupusan spesies lautan dianggap malapetaka ketika lewat abad ke-20.

 

 

Memukat berlebihan

 

Spesies yang ditangkap namun bukan spesies buruan dipanggil tangkapan sampingan (bycatch). Banyak spesies laut yang menjadi mangsa tangkapan sampingan seperti penyu, ikan lumba-lumba, jerung dan sebagainya tertangkap oleh pukat atau alat tangkapan lain. Spesies ini kebanyakannya akan mati walaupun dilepaskan semula.

 

 

Punggah sumber laut berlebihan

 

Tahun 1989, waktu itu jumlah tangkapan tahunan daripada hasil laut sahaja mencecah angka 90 juta tan metrik. Waktu itu juga industri perikanan dikatakan telah mencapai tahap paling tinggi dari segi hasil tangkapan dan sejak itu graf hasil tangkapan industri terus menjunam.

 

 

Ancaman pukat tunda

 

Pukat tunda di lautan boleh diibaratkan sebagai menarah hutan untuk pembalakan. Kapal akan menarik pukat yang besar, berat sehingga beberapa tan sehingga ke dasar laut untuk menangkap apa yang ada di sepanjang laluannya.

Dalam proses tersebut, pukat tunda ini akan memusnahkan segala yang ada dalam laluannya termasuk organisma, struktur dasar laut dan pelbagai hidupan dasar laut yang sensitif.

 

 

Sektor akuakultur lembam

 

Dalam akuakultur, sesetengah makanan untuk ikan ternakan menggunakan ikan yang ditangkap. Untuk membesarkan 1lb ikan salmon ternakan, sekitar 4-11lb ikan baja perlu diberi. Ini menjurus kepada tangkapan berlebihan untuk mendapatkan ikan baja bagi kegunaan akuakultur.

 

Ancaman industri perikanan

 

Satu jurnal kajian ke atas data tangkapan yang diterbitkan pada tahun 2006 meramalkan bahawa, jika kadar tangkapan terus pesat seperti hari ini, industri perikanan akan lumpuh sepenuhnya pada tahun 2048. (Ref: National Geographic). Jika ini berlaku, bermakna sumber lautan telah diterokai dan dieksploitasi sepenuhnya sehingga ke tahap laut akan mati.

 

 

Sebagai komuniti pemancing, kehabisan sumber bermakna aktiviti memancing juga akan mati. Jadi, bersediakah kita ucapkan selamat tinggal kepada aktiviti memancing jika keadaan ini berlaku? Renung-renungkan dan katakan ‘TIDAK’ pada overfishing.

Published by
Amang