Kebelakangan ini kerap pula berlaku kejadian kepala air. Apa dia kepala air? Merujuk kepada Kamus Dewan, fenomena kepala air membawa maksud permulaan atau penghabisan air bah. Atau dalam kata lain ialah limpahan air yang besar yang membanjiri sungai dan berlaku secara tiba-tiba. Ia turut dikenali sebagai ibu air atau lidah air.
Fenomena kepala air ini berpunca dari aliran air dalam kuantiti yang besar. Ia mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama. Lazimnya ia berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai. Fenomena ini berlaku di seluruh dunia dan kadangkala meragut nyawa.
Punca kejadian Punca atau sumber kepala air:
Hujan di hulu sungai dengan kadar luar biasa, akibat daripada itu akar pokok tidak dapat memainkan peranan menahan air untuk diserap ke dalam tanah. Begitu juga dengan kawasan takungan atau tadahan di hulu menjadi penuh maka ia terus melimpah dan masuk ke sungai dengan banyak.
Berlaku tanah runtuh akibat pembalakan atau semulajadi. Pokok-pokok yang dipotong dibiarkan atau runtuhan semulajadi menumbangkan pokok dan ini akan menghasilkan empangan-empangan kecil yang menakung air.
Kesannya, jika ia tidak dapat menahan tekanan untuk menakung air ia akan pecah dan berlakulah limpahan air yang besar.
Hujan di kawasan tanah tinggi pegunungan lebih dari kebiasaan. Walaupun akar pokok memperlahan proses air mengalir ke sungai namun jika hujan berlaku lebat dan lama, maka air akan melimpah masuk ke sungai dengan kadar yang banyak dan laju.
Jika empangan pecah dan berlakunya gempa bumi. Namun kedua-dua kejadian amat jarang dan hampir tidak berlaku di negara kita.
Dan tentu saja kefahaman tentang kepala air ini perlu diambil berat oleh pemancing terutamanya pemancing yang menggemari aktiviti memancing di sungai pegunungan. Di kawasan sungai pegunungan inilah lazimnya berlaku kejadian kepala air.