Apa beza ikan sembilang dan gemang?*

Share

 

Selain nama sembilang atau semilang, terdapat juga sesetengah orang memanggil spesies ini dengan nama gemang atau sembilang gemang. Namun terdapat juga pendapat atau pertikaian tentang nama ikan ini.

 

Ada yang mengatakan sembilang dan gemang merupakan dua spesies ikan yang berbeza sementara, satu pendapat lagi mengatakan kedua-dua nama tersebut merupakan spesies yang sama di mana gelaran gemang lebih merujuk kepada spesies sembilang yang besar.

 

Secara peribadi, penulis lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan sembilang dan gemang merupakan spesies ikan yang sama dan nama gemang merujuk kepada ikan yang bersaiz besar. Sebagaimana spesies sebarau atau Hampala macrolepidota, rata-rata kaki pancing menggelar ikan ini sebarau namun jika spesimen bersaiz besar, gelarannya berubah menjadi badong.

 

 

Begitu pun, penulis tidak pula mengatakan pandangan yang mengatakan sembilang dan gemang ialah dua spesies berbeza adalah salah sama sekali. Sebenarnya, pertikaian gelaran nama ikan seperti ini bukannya isu besar, malah bagi penulis tidak ada yang salah kerana gelaran nama biasa atau common name sesuatu spesies biasanya bergantung kepada demografi sesuatu kawasan. Malah, common name ini bukanlah antara langkah pengelasan saintifik dalam proses mengenal pasti spesies ikan (fish identification).

 

Kesimpulannya, nama gelaran boleh menjadi lebih daripada satu tapi merujuk spesies ikan yang sama atau sebaliknya nama yang sama tapi mahu merujuk spesies berlainan. Bagi penulis sendiri isu pertikaian nama gelaran ikan bukanlah hal besar dan terpulang kepada pemancing itu. Sebaiknya, jika anda mahu mengenal pasti sesuatu spesies ikan dengan tepat, anda boleh merujuk kepada kaedah pengelasan secara saintifik.

 

Published by
Amang