Selain nama sembilang atau semilang, terdapat juga sesetengah orang memanggil spesies ini dengan nama gemang atau sembilang gemang. Namun terdapat juga pendapat atau pertikaian tentang nama ikan ini.
Ada yang mengatakan sembilang dan gemang merupakan dua spesies ikan yang berbeza sementara, satu pendapat lagi mengatakan kedua-dua nama tersebut merupakan spesies yang sama di mana gelaran gemang lebih merujuk kepada spesies sembilang yang besar.
Ads
Secara peribadi, penulis lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan sembilang dan gemang merupakan spesies ikan yang sama dan nama gemang merujuk kepada ikan yang bersaiz besar. Sebagaimana spesies sebarau atau Hampala macrolepidota, rata-rata kaki pancing menggelar ikan ini sebarau namun jika spesimen bersaiz besar, gelarannya berubah menjadi badong.
Ads
Begitu pun, penulis tidak pula mengatakan pandangan yang mengatakan sembilang dan gemang ialah dua spesies berbeza adalah salah sama sekali. Sebenarnya, pertikaian gelaran nama ikan seperti ini bukannya isu besar, malah bagi penulis tidak ada yang salah kerana gelaran nama biasa atau common name sesuatu spesies biasanya bergantung kepada demografi sesuatu kawasan. Malah, common name ini bukanlah antara langkah pengelasan saintifik dalam proses mengenal pasti spesies ikan (fish identification).
Ads
Kesimpulannya, nama gelaran boleh menjadi lebih daripada satu tapi merujuk spesies ikan yang sama atau sebaliknya nama yang sama tapi mahu merujuk spesies berlainan. Bagi penulis sendiri isu pertikaian nama gelaran ikan bukanlah hal besar dan terpulang kepada pemancing itu. Sebaiknya, jika anda mahu mengenal pasti sesuatu spesies ikan dengan tepat, anda boleh merujuk kepada kaedah pengelasan secara saintifik.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Memancing boleh menjadi antara aktiviti sukan yang paling mengujakan, namun boleh juga menjadi aktiviti yang paling mengecewakan kalau tak dapat walau seekor anak labi-labi! Antara sebab tak dapat ikan adalah kerana kesilapan yang dilakukan sebelum atau semasa memancing.
Mari tengok kesilapan dan cuba elakkan dari melakukan kesilapan-kesilapan yang boleh dielak ketika anda menyertai trip pancing.
Tali Pancing Mereput
Ramai yang tidak mengambil serius keadaan tali utama. Tali yang telah lama kebanyakan akan luka atau berbulu. Mungkin keadaan tali tidak mempengaruhi peratus strike, namun menjadi faktor utama kegagalan anda untuk mendaratkan ikan terutama bersaiz besar.
Mata Kail Tak Sesuai
Mata kail tidak diciptakan untuk semua keadaan pancingan. Terdapat mata kail yang berbeza bentuk, mata tunggal atau mata tiga dan saiz. Pastikan anda tahu spesies target anda dan pilih mata kail yang bersesuaian.
Set Pancing Tak Sepadan
Seperti mata kail, penggunaan padanan rod dan kekili juga haruslah bersesuaian. Setiap spesies pasti mempunyai set yang sesuai untuk memancing. Anda tentu tidak menggunakan set bangla untuk memancing puyu bukan?
Kapasiti Tali Tak Cukup
Kuantiti tali utama perlulah bersesuaian dengan keadaan pancing dan juga kekili. Setiap kekili biasanya mempunyai anggaran kiraan kuantiti tali yang sesuai untuk dimasukkan ke dalamnya. Selain itu, tali utama yang pendek atau tidak mencukupi juga sering kali membuatkan anda menepuk dahi setelah ikan terlepas.
Tali Tak Seimbang Dalam Spool
Pastikan susunan tali di dalam spool tidak bersilang atau bertindih dalam aturan yang tidak betul. Keadaan ini sering kali membuatkan anda berputih mata. Jika anda merasakan ada yang tidak kena ketika balingan, periksa kembali tali utama anda terutama bagi kaki casting.
Tali Terbenam Dalam Spool
Ramai yang masih tak menyedari pentingnya memasukkan tali ke dalam spool dengan betul-betul kemas dan ketat. Terutamanya pada reel BC, tali yang tidak padat ini akan menyebabkan ia akan terbenam dan bersilang sekaligus tersangkut apabila menarik beban yang besar.
Cara Pengendalian Tangkapan
Ikan yang tewas selepas pertarungan mungkin kelihatan lemah, namun ia masih mempunyai tenaga akhir untuk membuat pecutan ketika anda mahu membuang mata kail. Pengendalian tanpa sarung tangan bukan sahaja mampu membuat anda berputih mata, namun meninggalkan anda dengan kecederaan akibat sirip atau gigi yang tajam sebagai salam perkenalan.
Tak Percaya Pada Tekong
Ketika trip memancing, amat penting untuk mendengar saranan dan nasihat daripada tekong atau guide. Ini kerana, mereka lebih tahu dan berpengalaman dengan spot yang dibawa. Jangan terlalu ego dan nak tunjuk terer seolah-olah anda tahu segalanya atau seolah-olah anda telah memancing di situ setiap hari.
Banyak Buang Masa
Memancing memang aktiviti untuk baik untuk mengisi masa lapang. Namun jika anda pergi memancing sekadar untuk berborak, makan dan minum, itu membuang masa namanya. Walaupun bersantai, pastikan anda tahu objektif utama anda.
Asyik Tukar Gewang
Ya, anda mempunyai banyak koleksi gewang di dalam kotak gewang anda. Namun, ketika memancing, menukar gewang anda sepantas kilat dan terlalu kerap merupakan kerja sia-sia. Secara tidak langsung, terlalu sekejap gewang anda berada di dalam air dan membuatkan ikan target anda hilang minat.
Penyakit albino atau albinism tidak hanya terjadi pada manusia, tetapi terjadi dan mempengaruhi haiwan termasuk ikan. Mungkin anda pernah tengok ikan albino dan ikan tilapia merah asalnya adalah albinism. Albinism terjadi kerana kekurangan pigmen melanin yang bertanggung jawab untuk warna kulit, mata, dan rambut.
Dalam kes albino, enzim yang terlibat dalam produksi melanin tidak ada atau rosak. Situasi ini sebahagian besar diturunkan oleh kedua ibu bapa atau induk, namun dalam beberapa kasus dapat diwariskan dari genetik tunggal.
Namun ibu bapa yang normal tetap berpeluang melahirkan anak albino. Hal ini terjadi kerana ibu bapa adalah pembawa gen yang menyebabkan kondisi ini.
Albinism Pada Haiwan
Seperti pada manusia, albinism pada haiwan juga merupakan kelainan genetik yang menyebabkan kelainan atau ketiadaan pigmen melanin. Pelbagai mutasi gen bertanggung jawab atas terjadinya albinism.
Albinism boleh terjadi di hampir semua spesies haiwan yang memiliki melanin dalam tubuh mereka seperti reptilia, amfibia, moluska, burung, dan mamalia. Oleh kerana itu, albinisme terjadi pada pelbagai spesies haiwan seperti ular, ikan yu, paus, lumba-lumba, siakap, patin, tongsan dan lain-lain lagi.
Cara Mengenal Albisnism Pada Haiwan
Tidak semua haiwan yang berwarna putih atau pucat mengalami albinism. Anda dapat mengenal pasti haiwan albino dengan melihat warna matanya. Mata haiwan albino akan berwarna merah muda atau merah. Kurangnya melanin membuat pembuluh darah mata menjadi terlihat sehingga mata nampak berwarna merah.
Haiwan albino juga akan memiliki kuku, kulit, dan sisik yang berwarna kemerahan. Ada beberapa kondisi pada haiwan yang berhubungan dengan albinism. Sementara axanthic albino (axanthism) terjadi kerana kekurangan warna kuning pada tubuh, anerythristic albino terjadi kerana kekurangan warna merah.
Albinism juga sering tertukar dengan leucisme. Pada leucisme, haiwan memiliki warna yang sangat pucat atau putih, namun memiliki mata gelap. Haiwan leucisme tidak kekurangan melanin dan dapat dikenalpasti dengan warna mata mereka yang tetap gelap atau normal.
Masalah Pada Haiwan Albino
Melanin merupakan pigmen yang berfungsi melindungi kulit dari radiasi ultraviolet. Atas sebab itu haiwan albino sensitif terhadap cahaya terik matahari dan berisiko tinggi barah kulit. Haiwan albino tidak mampu melakukan penyamaran berbandingkan rakan mereka yang normal sehingga lebih terdedah terhadap predator.
Albinism juga menyebabkan masalah penglihatan. Haiwan albino umumnya akan kesulitan mencari pasangan kerana tidak memiliki warna normal.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...