Lewat sehari sahaja bot sepanjang 85 kaki sudah ditempah pemancing lain. Bot tersebut adalah di antara bot yang paling selesa di Kota Kinabalu, Sabah. Nasib baik bot ketiga milik Jack, pengusaha bot terbabit masih lagi kosong pada tarikh yang kami hajati.
Ketika sampai di jeti pada hari yang dirancang, hanya bot kami sahaja yang belum berlepas kerana kebanyakan bot bergerak seawal pagi. Saya bersama 9 lagi pemancing terdiri dari 7 orang geng Lembah Klang dan 3 orang wakil dari Johor dalam trip ini.
Selesai urusan mendapatkan bekalan umpan dan makanan baru kami memberi isyarat kepada tekong untuk berlepas dari jeti. Selama 5 jam masa yang bakal ditempuh menuju ke lubuk pertama memberi ruang untuk kami merehatkan badan dan ‘qadha’ waktu tidur.
Sesi Memanas badan
Entah apa nama lubuk saya sudah lupa apabila disebut tekong ketika melabuhkan sauh buat kali pertama. Air sedalam 80 meter berpandukan kepada bacaan pada kekili elektrik. Sesi pemanas badan menurut kata tekong. Hanya Hidayyad dan Muslim sahaja menggunakan kekili elektrik selebihnya kekili manual dalam ekspedisi kali ini.
Kebanyakan kaki pancing yang menyertai saya kali ini menggunakan tali tangsi sebagai tali utama terpaksa memasang ladung yang lebih berat untuk menampung tolakan arus. Getuan joran yang menggunakan tangsi kelihatan lemah kerana tangsi mengganjal dan memerlukan masa untuk hantar isyarat dari ragutan ikan ke hujung joran.
Setelah diberi tunjuk ajar cara untuk membuat sentapan berpandukan gegaran pada joran, barulah ikan mengena ’hook up’ pada mata kail.
Kedatangan kami ke sini pula memang berhajat untuk memancing ikan ruby snapper kerana ramai di kalangan ahli trip belum pernah menaikkan spesies ini. Sebaik sahaja tiba ke destinasi kedua, hujan mencurah sehingga lewat malam.
Ini memaksa aktiviti memancing dihentikan seketika. Hujan reda sedikit menjelang jam 2 pagi namun angin belum berhenti sepenuhnya. Hanya Wak Jo, Hidayyad dan Amin yang sanggup menghadapi deruan angin malam sambil menunggu joran disentap ikan. Ketabahan mereka membuahkan hasil walaupun tidak untuk ikan ruby snapper, tapi tenggiri dan cermin membuatkan usaha mereka berbaloi.
Hari kedua bot kemudian menuju ke kawasan yang lebih dalam lagi. Kali ini kedalaman melebihi 170 meter untuk mencari ikan idaman ramai. Bila dah terlalu dalam, kesian pula yang menggunakan kekili manual dengan tali tangsi. Dua kekili elektrik tersenyum sahaja menjunam ke air dalam mencari sasaran.
Jigging berseorangan ketika itu masih lagi mencari-cari ke mana perginya ikan pemangsa. Tangan terasa sengal kerana tiada sentapan, gantung joran lagi. Pemancing yang guna manual nak periksa umpan pun terpaksa menunggu bila getuan terhenti.
Umpan silih berganti walaupun air dalam demi memburu yang dihajati. Basung, isi tongkol dan sotong semuanya digunakan untuk menarik minat ikan pujaan meragut umpan. Kebetulan Jupri yang menggunakan sotong cumit terlihat jorannya Gator HandCrafted 50Ib-130 lb melentur seketika, kemudian tiada gerakan lagi pada joran beliau.
Masa yang sama 3 lagi joran melentur serentak dengan joran Jupri. Masing-masing mula mengarau kekili manual dan seperti yang dijangkakan terasa tarikan besar berlaku.
Di pertengahan air hanya tinggal joran Jupri yang mengena, joran yang lain tiba- tiba sahaja kosong. Tumpuan kemudiannya terarah kepada ikan aji-aji muncul di permukaan sebagai ikan bersisik terbesar hari itu. Saat aji-aji muncul di permukaan, ia membangkitkan semangat buat pemancing lain. Saya terus mencapai jig dan mula mengayakan pelbagai rentak.
Spesies lain yang sudi menyambar gewang dan perambut sekali gus lenyap membuatkan sekali lagi jigging di berhentikan. Tidak lama selepas itu saya terpancing seekor jerung kecil dalam 2 kaki panjang, badan menipis dan bermata hijau terang. Ia berada pada kedalaman lebih dari 180 meter.
Nikmat ikan fresh
Kemudian tekong beralih ke lokasi lebih cetek memandangkan banyak peralatan yang tidak setanding dengan kedalaman air. Bagi peluang kekili manual yang sederhana pula beraksi setelah hanya melihat big mama sahaja yang mampu berlabuh di air dalam.
Sekali lagi hujan turun mencurah supaya kami jadi penonton pula. Kali ini angin turut sepi sebaik sahaja hujan berhenti. Laut tenang dan aktiviti memancing disambung kembali. Hanya saya dan Din yang demamnya belum reda sahaja yang berehat. Walaupun tiada lagi kelibat ikan besar dari aji-aji Jupri, suasana memancing tetap ceria dalam keadaan laut cukup tenang.
Sesekali joran melentur ketika ahli trip silih sibuk melantak ikan stim yang dilumur dengan rempah kari dan dibungkus dalam aluminium foil untuk pusingan kedua. Hasil bukanlah untuk dibawa balik ke semenanjung sepenuhnya, yang sedap dan fresh ‘elok bebenor’ dijuadahkan ketika dalam bot.
Dengan rasa yang masih melekat, isi ikan yang melekit, bau aroma menusuk ke lubang hidung menjadikan ramai memilih untuk mencubit isi ikan berbanding duduk menghadap joran. Inilah yang terbaik dalam satu-satu trip, terus menikmati keenakan ikan tanpa diperam dalam ais. Puas melantak pelbagai jenis ikan perairan Sabah!