Pertandingan memancing Cabaran Memancing November 2017 Seri Bayu Tekala yang berlangsung di kolam memancing Seri Bayu Tekala, Semenyih yang berlangsung Ahad lalu sekali lagi menerima sambutan hangat dari para pemancing serata tempat.
Pertandingan yang bermula dalam cuaca mendung menyaksikan ikan-ikan yang mampu menduduki podium (spesimen berat 13 kg ke atas) agak perlahan `membuka mulut’ untuk memakan kepelbagaian umpan yang ditaburkan. Sehinggalah jam 9.15 pagi atau kira-kira 45 minit selepas pertandingan bermula barulah suasana bertukar hangat apabila pemancing dari Banting, Selangor yang mendaftarkan nama sebagai BTG 1 mendaratkan seekor ikan patin seberat 14.085 kg.
Untuk tempoh kurang dari satu jam peserta dari Banting ini menduduki puncak podium. Apabila matahari mula membahang dan suasana mula hangat, peserta dari Seremban yang mendaftarkan nama sebagai ALEX yang memancing di Kolam 4 muncul di kaunter urus setia bersama spesies patin yang agak lumayan saiznya. Spesimen seberat 16.665 kg tersebut secara automatik meletakkan ALEX di puncak podium mengatasi BTG 1 dengan tempoh pertandingan berbaki kira-kira tiga setengah jam.
Setengah jam kemudian carta tiga ranking teratas berubah lagi apabila pemancing yang mendaftarkan nama sebagai RAYDON dari Kolam 5 berjaya memintas kedudukan BTG 1 namun gagal memintas ALEX dengan tangkapan seekor patin seberat 14.805 kg.
Tamat pertandingan menyaksikan ALEX kekal di puncak podium dan membawa pulang ganjaran tunai RM52,000. Sementara RAYDON meraih RM12,000 dan BTG 1 berpuas hati di kedudukan ketiga dengan membawa pulang RM6,000.
Menurut Ariff Johari selaku pengurus bersama kolam memancing Seri Bayu Tekala selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang, pihak kolam akan menganjurkan pertandingan penutup tirai 2017 dengan menawarkan RM80,000 bagi pemenang utama dan bakal berlangsung pada 10 Disember nanti.
Carta Top 10