Memancing je pun… takkan memancing pun kena ada tatasusila jugak? Ya betul… memang memancing je pun, tapi perlulah ada adab, sopan dan berhemah. Kalau pengumpul setem pun ada etika tersendiri, takkan hobi yang diikuti oleh berjuta orang tak ada etika tersendiri?
Hak Privasi
Hormatilah pemancing lain. Setiap pemancing memerlukan kawasan memancing peribadi mereka. Jangan ‘menceroboh’ ke dalam kawasan ini. Kawasan ini pastinya berbeza, terpulang kepada keadaan. Namun, anda perlulah menggunakan logik, supaya tidak mengganggu pemancing lain.
Sikap Berhemah
Bersopan-santunlah terhadap pemancing lain. Minta izin jika hendak memancing berdekatan dengan mereka. Jangan buat bising. Ini mungkin menakutkan ikan, dan mungkin juga membuat pemancing lain marah.
Jangan mengacau permukaan air tanpa sebab, umpamanya meranduk air, membasuh. Jika anda mengguna bot dan berdekatan dengan pemancing lain, perlahankan bot anda supaya tidak mengganggu mereka. Cuba elakkan kawasan pancingan mereka, jika boleh.
Keselamatan Ketika Memancing
Sentiasa fikirkan keselamatan bagi diri anda dan juga orang lain.
Jangan tinggalkan benda tajam seperti pisau atau mata kail di atas tanah atau lantai bot.
Pakailah alat pelampung (personal floatation device) setiap masa, bila anda berada di dalam bot atau dalam air.
Buat tinjauan keselamatan dulu, sebelum anda meranduk sungai atau menggunakan bot. Cari nasihat tentang sungai atau tasik atau laut yang ingin anda jelajahi.