Mungkin korang pernah dengar istilah memancing seperti kumpau atau rentung. Istilah-istilah berkaitan dengan memancing ini ada macam-macam. Begitu juga dengan istilah yang berkaitan dengan ikan toman.
Toman Jalur
Istilah toman jalur bukanlah merujuk kepada spesies, sebaliknya julukan kepada toman juvenil atau toman kecil yang masih belum pecah belang atau jalur hitam pada badannya.
Ia bukanlah satu hasil tangkapan yang membanggakan malah dianggap sebagai hiburan atau pemanas badan untuk memburu saiz yang sebenar.
Toman Rempit
Toman rempit pula lebih merujuk atau menjurus kepada toman yang memiliki daya pecutan deras umpama sebarau.
Ia juga boleh merujuk kepada toman juvenil yang sudah melepasi peringkat toman jalur yang sudah pecah corak dengan berat saiz sekitar satu kilogram.
Berikutan masih remaja itulah ia memiliki daya renangan yang agak mengelirukan.
Toman Bujang
Ads
Skop toman bujang ini agak meluas kerana ia bukan sahaja meliputi saiz dan jantina. Toman bujang ada yang bergerak secara solo dan juga berkumpulan.
Namun ia lebih menjurus kepada toman yang tidak berpasangan atau bukan induk.
Mamato / Mama Toman
Mamato atau mama toman lebih menjurus kepada induk toman yang hadir bersama kumpulan anaknya dan merupakan toman yang menjadi buruan utama.
Walaupun mama toman tidak semestinya bersaiz besar namun induk yang bersaiz melebihi 5 kilogram senantiasa menjadi sasaran untuk kepuasan pertarungan.
Toman Negro
Ads
Toman negro merupakan istilah atau panggilan yang diwujudkan bagi merujuk kepada warna badan toman yang hampir seratus peratus hitam.
Untuk tempoh tertentu, tidak dapat dipastikan ia berlaku ketika musim mengawan, bertelur atau period menjaga anak, rona warna sebahagian toman bertukar ungu gelap atau hitam peka.
Toman Cendol
Toman cendol juga bukan merujuk kepada spesies tetapi lebih kepada situasi di mana kejayaan mendaratkan toman dengan jumlah yang banyak.
Lazimnya juga saiz-saiz toman yang banyak didaratkan itu juga kecil-kecil umpama toman rempit.
Banglo Toman
Ads
Banglo toman bukan merujuk kepada toman sebaliknya spot atau kediaman toman. Spot yang layak digelar banglo toman lazimnya sentiasa dihuni oleh toman walaupun sudah banyak kali toman berjaya didaratkan di spot tersebut.
Nursery Toman
Nursery toman tidak sama seperti santuari toman atau spesies lain yang mana aktiviti memancing tidak dibenarkan.
Nursery toman ini lebih merujuk kepada sesuatu lokasi yang sering terdapat toman jalur atau toman juvenil dalam jumlah yang banyak umpama sebuah pusat asuhan kanak-kanak.
Toman pendatang
Ada dakwaan terbaharu mengatakan ikan toman bukanlah ikan natif atau ikan asal, sebaliknya adalah ikan pendatang! Maka ramailah yang mengecam. Namun, satu perkara kita perlu ambil tahu ialah pengertian ikan pendatang.
Ikan pendatang bukan saja bermaksud ikan import, sebaliknya juga ikan penceroboh atau bukan habitat asal. Contohnya jika Tasik Beris bukanlah habitat asal ikan toman maka jika ada ditemui toman maka ia dianggap sebagai ikan pendatang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kenangan kisah seram sewaktu trip pancing dan memburu ini berlaku kira-kira tujuh tahun lalu. Lokasinya berhampiran sempadan Malaysia-Thailand. Waktu itu kami cuma berenam. Kami mula memancing pada waktu tengah hari hinggalah ke lewat petang. Hasil memancing dapatlah kelah berapa ekor. Apabila hari hampir senja, kami bergerak naik balik ke tapak perkhemahan.
Dalam perjalanan kami semua terasa macam ada orang yang sedang berjalan tidak jauh di hadapan kami seramai tiga empat orang. Saiz orang tu paras pinggang kami je! Tiba-tiba seorang demi seorang kawan kami ni menegur dan suluhkan lampu, terus makhluk tu lari sambil memekik. Kami pun lari terus ke arah kem. Sampai di kem hujan pun turun beserta angin kuat.
Rupanya dalam kelam-kabut itu salah seorang kawan hilang entah ke mana. Malam itu kami tak senang duduk memikirkan nasib kawan yang hilang. Namun kami tak dapat nak pada malam itu. Kami plan nak cari pada esok hari dan memohon pertolongan Allah yang tau nasib dia pada malam tu.
Pada keesokan pagi sekitar jam 5.40 kami laungkan azan dan berdoa agar kawan tu ditemukan dan kami pun bergerak untuk mencarinya. Setelah beberapa jam mencari, sekitar jam 9.00 pagi akhirnya bertemu juga. Kami terlihat kawan kami ini duduk di banir pokok ara yang sangat besar dan menyeramkan. Kawan kami tu langsung tak bersuara.
Kami lihat keadaan sekeliling pokok tu agak bersih. Aķar pokok sebelah belakang tu bentuknya seperti buaian. Memang seram gila. Kami terus papah dia ke kem dan kemas barang untuk balik. Sepanjang perjalanan dia langsung tak bersuara… mukanya pucat semacam je.
Setelah tiba di kawasan perkampungan, kami pun bawa kawan kami itu berjumpa dengan seorang ustaz untuk berubat. Pada malam itu barulah dia sedar dan boleh bercakap. Dia beritahu time kami jumpa orang yang saiz paras pinggang tu lalu dan lari, dia terlihat ada perempuan tua sedang duduk di atas dahan merenungnya.
Dia cuba untuk teriak panggil kami tapi suaranya tak dapat keluar dan badan jadi kaku. Kami terus lari dan dia rasa punyalah seram time tu. Perempuan terus turun dan berkata kau ikut aku. Dia pun dibawa ke tempat di mana kami menemuinya. Perempuan tu duduk di buaian sambil mengilai.
Rupanya tempat tu memang keras. Dah ada dua orang pekerja kem balak yang hilang sehingga kini. Orang kem balak yang beritahu kami selepas kejadian itu.
Asal je senja orang kem tak berani nak lalu kat situ biar pun guna kenderaan. Ada satu perempuan tua selalu kat pokok ara dekat sungai tu. Sana memang banyak kelah mega tapi orang tak berani nak pergi ke lubuk tersebut.
Si Daus yang baru sampai tiba-tiba menerpa bila aku sebut sahaja nak pergi memancing kat kolam tinggal dalam kebun Pak Ucop.
Sebenarnya aku dan rakan lain, Buden, Din, Abe dan Naim sedang duduk minum-minum di warung dalam kampung kami ni.
Seperti satu kezaliman, boleh dikatakan setiap hari minggu jika tiada aral melintang, kami berlima akan melepak, sembang sambil minum-minum pada hari Jumaat malam Sabtu.
Biasalah, sebab esoknya masing-masing cuti. Perbincangan selalunya berkisar mengenai dunia hanyir kami. Sebab hobi ini jugalah kami berlima menjadi sahabat baik sekarang.
Hasil dari ‘melepak’ inilah timbul idea dan perbincangan untuk menerjah mana-mana lubuk pada cuti Sabtu atau Ahad nanti.
Kadang-kadang tu dua-dua hari kami keluar memancing, tertakluk kepada ‘lesen’ dari isteri bagi mereka yang telah berkahwin. Naim yang dari tadi asyik gelak mula membuka kata,
“Eh kau ni Daus, cerita apa? Ni ha… Bell ajak diorang cari haruan kat kolam tinggal Pak Ucop tu. Kau nak ikut ke?”.
Kalau ikutkan hati, aku sendiri yang nak tanya soalan tu. Tapi dah Naim dulu yang buka mulut, aku pun cuma tunggu sahajalah cerita yang ingin disampaikan.
“Pakcik aku kena badi ular,” jawab Daus ringkas. Jawapan ringkas itu juga membuatkan semua jadi tak senang duduk, termasuk aku.
Mula-mula kami ingat Daus cuma nak melawak. Tapi sambungan ceritanya jadi makin serius.
Wajah masing-masing yang dari tadi berseringai sebab ketawa mula susut ke senyuman pudar dan diakhiri dengan muka serius.
Menurut Daus, seminggu lepas, Pakcik beliau ada masuk ke dalam kebun Pak Ucop tu untuk memancing. Pak Ucop jenis tak kisah.
Tapi orang kampung tetap akan minta izin terlebih dahulu darinya jika berniat ingin memancing di situ.
Bukan tak biasa Pakciknya ke situ, tapi kali ini begitu pula nasibnya. Kami yang lain hanya mendengar dengan teliti.
Sebelum menyambung cerita, Daus berhenti seketika untuk memesan minuman daripada anak tauke warung tersebut.
Orang lain dah tak sabar nak dengar cerita, dia boleh pula main-main kata dengan si Zafirah anak Pak Zam Kay tokey warung tersebut.
Maklumlah, jarang-jarang anak gadisnya balik ke kampung. Tengah belajar di UiTM katanya. Jurusan Pengurusan Sistem Maklumat.
Oh ya, berkenaan kolam tersebut. Sebenarnya, di dalam kawasan kebun Pak Ucop terdapat sebuah kolam tinggalyang dahulunya dibuat kolam ternakan ikan keli.
Disebabkan Pak Ucop pernah sakit teruk, kolam itu menjadi tidak terurus dan akhirnya langsung tak terjaga.
Malah apabila hujan lebat melanda pada akhir tahun lepas, paras air naik menyebabkan ikan-ikan di dalamnya terlepas ke luar.
Kolam tersebut sebenarnya ditakung dan dibesarkan dari pecahan aliran sungai kecil yang mengalir masuk ke dalam kawasan kebun tersebut.
Maka tidak hairanlah terdapat ikan-ikan lain yang menyinggah di situ ketika kolam tersebut sedang rancak dijaga.
Ikan-ikan lain datang untuk menumpang makanan keli yang diberi oleh Pak Ucop.
Kalau diikutkan cerita orang kampung, teruk juga sakit Pak Ucop tu. Orang kampung ingat dah tiada harapan. Tapi umurnya panjang.
Pak Ucop kini amat cergas malah seperti tidak pernah jatuh sakit. Sungguhpun begitu, dari cerita yang disampaikan, memang dia dah tak nak lagi usahakan kolamnya itu.
Kadang-kadang naik airnya dan ada kalanya surut sungguh tapi tidak pernah kering, masih berbaki air seperti lecah dan lumpur.
Orang kampung pula, jika terdesak nak dapatkan haruan untuk tujuan ubat ibu berpantang selepas bersalin, atau saja suka-suka untuk memancing, mungkin dah tiada hala tuju sangat untuk melepaskan gian seperti kami, kolam kebun Pak Ucop tu lah yang dituju.
Tapi kami tak pernah bawa balik ikan-ikan tersebut. Semuanya dilepaskan kembali. Masing-masing mengamalkan pancingan tangkap dan lepas. Atau memang dah muak agaknya makan ikan sungai.
Nak dijadikan cerita, seminggu selepas Pakcik si Daus ni ke kolam tersebut, badan beliau tiba-tiba ditumbuhi sisik seperti ular.
Semakin hari semakin teruk sehingga kini keadaannya hanya terlantar di katil.
Puas berubat sana sini. Hospital kerajaan dan swasta pun dah pergi. Semuanya tak berhasil.
Tetapi menurut Daus, ada seorang ustaz yang ditemui memberi tahu, pakciknya terkena badi ular.
Aku dalam dilema antara ingin percaya atau tidak. Tapi takkan benda-benda macam ni nak buat main pula.
Lagi-lagi yang diceritakan itu ialah pakciknya sendiri. Takkan nak buat main dengan nama ahli keluarga.
Tambahnya lagi, ustaz tu ada beritahu yang ketika sedang mengubat, ada seorang perempuan berambut panjang berbadan ular marah pada ustaz tu sebab cuba nak ubatkan pakciknya.
“Jin tu nak buat pakcik aku sampai mati!” Meremang bulu roma aku bila Daus habiskan ayatnya.
Naim bertanya, “Kenapa boleh jadi macam tu? Ada orang ‘buat’ ke?” Jawab Daus, “Masa dia mancing tu ada ular tedung besar lengan datang ke arahnya. Dia ketuk sekali je ular tu tumbang. Tak melawan langsung.”
Sambungnya lagi, “Lepas dia bunuh ular tu, baru dia fikir, betul ke ular yang dibunuh tu….” tambahnya, ketika itu sedang Maghrib.
Persoalannya, kenapa tak dihalau sahaja ular tersebut. Atau orang tua itu sahaja yang beralih. Mungkin ketika itu ada makhluk lain yang ingin pulang ke alamnya.
Maklumlah hari sedang Maghrib. Semua pertanyaan ini bermain di benak fikiranku sendiri. Tak pula aku ajukan pada Daus kerana mungkin tidak mahu membuat suasana menjadi semakin ralat.
Tambahan pula, sekarang ni, beliaulah yang perlu berikhtiar untuk merawat pakciknya itu.
Ah.. Mungkin sebab terlalu panik maka ular itu pun dibunuh. Biasalah tu ‘orang kita’ kalau terjumpa dengan binatang-binatang merbahaya ni.
Lagipun, jika kita tak bunuh… kita pula akan jadi mangsa. Aku cuba sedapkan hati sendiri.
Dalam tak sedar, Pak Zam Kay dah berkemas-kemas nak tutup warung. Kami pun angkat punggung masing-masing menuju ke kaunter.
Pak Zam Kay cakap hari ni tak payah bayar, sedekah. Nak tunggu kenduri lambat lagi katanya.
Mungkin beliau perli kami sebab kacau anak daranya tadi. Apa pun, kisah Badi Ular tersebut membuatkan bulu roma badanku meremang sepanjang perjalanan pulang.
Inchthyophobia merupakan satu perasaan takut atau fobia pada haiwan dari jenis. Memang pelik kalau ikan pun nak takut. Namun dalam memancing pun ada jenis takut atau fobia tersendiri. Di sini kami senaraikan pula jenis-jenis penyakit takut yang lain pula dalam hobi memancing ini.
Muntahphobia
Penyakit jenis ini juga merupakan penyakit yang agak meluas bilangannya. Ia jauh lebih serius dari inchthyophobia kerana ada yang sanggup tidak berhadapan dengannya meskipun belum pernah mencuba. Fobia yang dimaksudkan ialah takut mabuk laut atau bahasa saintifiknya `muntahphobia’.
Wifiphobia
Takut jenis ini merupakan penyakit yang paling kritikal dalam hobi memancing. Namun pemancing yang masih bujang terselamat daripada wabak penyakit ini kerana ia hanya dihidapi oleh pemancing yang sudah berumahtangga. Seriusnya tahap penyakit ini sehingga tertubuhnya kelab PTB iaitu Pemancing Takut Bini. Jika hendak diistilahkan, `wifiphobia’ mungkin paling tepat.
Shopeephobia
Satu-satunya penyakit yang boleh merosakkan mata (mata pencarian) dan boleh menyebabkan kekurusan melampau pada dompet. Penyakit yang dimaksudkan takut untuk masuk ke kedai pancing. Takut jenis tak boleh mengawal diri dari shopping berlebihan. Malah ada juga yang tidak berani untuk online sosmed kerana takut tak boleh control online shopping pulak.
Kumpauphobia
Ia merupakan sejenis penyakit atau fobia yang dihadapi oleh hampir semua pemancing. Bohong la kalau pemancing itu langsung tak takut dengan fobia jenis ini. Malah ada yang sanggup tidak pergi memancing semata-mata takutkan penyakit ini. Jika inchthyophobia ialah takut pada ikan, kumpauphobia pula ialah perasaan takut tak dapat ikan atau kumpau.
Kecamphobia
Penyakit jenis ini boleh menyebabkan penghidapnya takut nak memancing. Bukannya takut nak memancing kerana ada hantu atau kejadian jenayah, sebaliknya takut kena kecam oleh netizen. Nak pancing ikan tu takut netizen ni kecam, nak pancing ikan ni takut netizen lain pulak yang kecam. Sudahnya langsung tak memancing dan jadi macam netizen lain yang mengecam pemancing-pemancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...