Memang seronok dan teruja bila melihat geng kaki pancing menaikkan ikan tenggiri, jenahak, merah, atau kerapu di laut dalam.
Tambah pula bila mendengar cerita diorang bergasak dan bertarung dengan ikan. Rasanya memang rugi sangat sebab tak join diorang.
Tetapi bila mana mengenangkan bakal berhadapan dengan MABUK LAUT hingga ke tahap muntah hijau, terpaksalah lupakan semua keseronokan dan keterujaan itu.
Sekiranya anda berhadapan dengan masalah ini, mungkin beberapa petua di bawah boleh diamalkan bagi berhadapan dengan situasi bakal mabuk laut.
AMBIL PIL CEGAH MABUK
Walaupun sesetengah orang berpendapat jangan biasakan diri memakan ubat, tetapi daripada mabuk hingga tak boleh nak memancing, lebih baik makan ubat.
Dan pastikan ubat dimakan sekurang-kurangnya satu jam sebelum menaiki bot, bukannya rasa nak mabuk baru cari ubat.
PILIH POSISI TERBAIK
Semasa bot bertolak, ada baiknya anda berada di posisi menghadap laut sambil menghirup udara segar.
Jangan duduk secara mengiring atau banyak berbual, kerana ia membuatkan fikiran anda tidak fokus. Paling penting jangan duduk di bahagian belakang bot yang menyebabkan anda terpaksa menghidu asap dan bau minyak diesel.
JANGAN LAKUKAN KERJA TEKNIKAL
Ini khusus untuk mereka yang belum biasa berada di laut.
Jangan lakukan kerja memasang mata kail, membuat perambut di atas bot atau membuat sambungan tali.
Kerja-kerja teknikal ini ada baiknya anda sediakan sebelum bertolak.
JANGAN MAKAN BANYAK SEBELUM BERTOLAK
Perut yang terlalu kenyang sebelum menaiki bot akan menyebabkan proses penghadaman tidak berlaku dengan betul.
Akibatnya memang akan cepat mual dan boleh muntah serta-merta sebaik sahaja berlepas dari jeti. Sebaiknya alas perut sahaja sudah mencukupi.
CUBA DAN BIASAKAN IKUT TRIP PENDEK
Jika berhasrat pergi memancing ke laut dalam (trip 2-3 hari) cuba dahulu trip pendek seperti mencandat sotong atau memancing di perairan yang tidak jauh dari pantai.
Cara ini mampu membiasakan diri anda berhadapan dengan alun dan ombak.
SEDIAKAN UBAT-UBATAN RINGKAS
Untuk mengelak rasa loya, air liur terasa pahit, ada baiknya anda membawa air yang masam seperti jus oren, gula-gula berangin atau makanan jenis asam.
Jangan dilupakan minyak angin atau balm yang boleh anda sapukan pada bahagian tengkuk, leher, dahi atau sekitar lubang hidung.
JANGAN MEMANDANG OMBAK SECARA FOKUS
Bila berada di atas bot, elakkan mata tertumpu pada alunan ombak. Sebaiknya biarkan mata anda memandang jauh ke hadapan.
Dalam erti kata lain, elakkan memandang sesuatu dengan tumpuan penuh. Sebaiknya rehatkanlah mata.
REHAT DENGAN CUKUP
Pastikan anda cukup tidur! Inilah sebenarnya punca utama mabuk laut. Pastikan waktu tidur anda mencukupi sebagaimana malam-malam sebelumnya.
Sekiranya anda biasa tidur 6 jam, pastikan ia cukup 6 jam. Lakukanlah apa cara sekali pun untuk dapatkan waktu tidur yang sempurna.