Goliath Tigerfish
Spesies goliath tigerfish merupakan salah satu spesies yang dahsyat dan mengerikan. Spesies ini membuatkan spesies pemangsa rakus seperti Piranha seakan-akan ikan kecil untuk hiasan. Spesies ini mampu mencapai berat sehingga 70lb dan lebih 6kaki panjang. Spesies ganas ini berlegar di perairan Afrika berkumpulan dan mampu mencarik-carik daging mangsa yang lebih besar dalam beberapa saat. Mulut gergasi bermata kuning ini tersemat gigi taring seakan pisau yang lebih daripada dua inci. Pemancing terkenal, Jeremy Wade percaya spesies ini bertanggungjawab terhadap beberapa siri kematian manusia di Sungai Congo yang sebelum itu dikatakan berpunca daripada semangat ghaib menurut kepercayaan masyarakat tempatan.
Ikan Muskellunge
Muskellunge merupakan seekor spesies ikan air tawar dan sebenarnya masih belum ada catatan rasmi serangan ke atas manusia. Namun berdasarkan kepada keupayaannya, banyak spekulasi terhadap spesies ini dalam potensinya menyerang manusia. Muskellunge mampu membesar sehingga 7 kaki dan mempunyai barisan gigi yang tajam dan boleh dikatakan sebagai jelmaan barracuda air tawar. Spekulasi mengatakan terdapat serangan ke atas seorang kanak-kanak dan nelayan oleh spesies ini namun mangsa selamat walaupun terdapat kesan yang agak teruk.
Keli Wels
Keadaan perairan di Eropah seperti Tasik Berlin dan Sungai Volga sepanjang masa seakan tenang dan selamat sehinggalah kemunculan pemangsa raksasa ini. Keli Wels ini mampu mencapai 13 kaki panjang dan seberat mencecah 400lb dan itu sudah cukup menjadikannya sebagai raksasa yang menggerunkan. Keli wels merupakan pemangsa agresif dan menurut catatan sejarah ikan ini mampu membesar sehingga 20 kaki panjang. Seekor keli wels yang ditangkap di Russia mempunyai sisa manusia di perutnya sementara serangan terhadap manusia dilaporkan di Jerman.
Pari Air Tawar Gergasi
Raksasa ini sering menyembunyikan dirinya di perairan air tawar yang keruh, berpasir dan berselut di Asia Tenggara. Ikan pari air tawar ini mungkin merupakan spesies ikan air tawar yang terbesar dengan panjang mencecah 16 kaki dan seberat hampir 2000lb. Sengat sepanjang 8 inci pada pangkal ekornya mampu menyerang seperti seekor kala jengking dan sengatannya diakui amat berbisa dan mampu membunuh. Jadi berhati-hati jika tiba-tiba anda merasa dasar sungai yang anda pijak bergerak!
Goonch Catfish
Sungai Kali di antara Nepal dan India telah dihantui oleh siri kematian dan insiden lemas yang misteri. Misteri ini berlarutan sehinggalah raksasa perang sepanjang 7 kaki dengan gigi yang tajam ini ditangkap. Ia seekor ikan kenerak gergasi seberat 300lb. Ikan ini dikatakan menarik mangsa dan melemaskannya sebelum ditelan. Spekulasi juga mengatakan selera ikan goonch terhadap manusia mungkin disebabkan pembuangan abu mayat ke Sungai Kali yang diamalkan di sana.
Belut Elektrik
Belut elektrik merupakan pemangsa terkenal di Amazon dan menggunakan renjatan elektrik sebagai sistem pertahanan dirinya. Aliran elektrik sekuat 600 volt yang dihasilkan oleh spesies ini mampu membunuh seekor kuda dan tidak terkecuali manusia yang boleh mati akibat serangan ini. Belut elektrik mampu membesar sepanjang 8 kaki dan seberat 50lbs. Biasanya penggunaan peralatan berunsur getah bagi mengelakkan serangan belut elektrik. Terdapat rekod menunjukkan kematian akibat serangan renjatan elektrik oleh spesies ini.
Bull Shark
Senarai ikan terakhir untuk kali ini, secara teknikalnya merupakan seekor jerung iaitu bull shark. Spesies ini mempunyai keupayaan yang luar biasa dan dikatakan lebih ganas berbanding jerung lain. Dengan saiznya yang mampu mencapai panjang sehingga 12 kaki dan seberat 600lb, spesies ini mampu berenang ke perairan air tawar seperti tasik dan sungai di Missouri, Illinois dan Kentucky. Rekod menunjukkan banyak serangan oleh spesies ini terhadap manusia di perairan air tawar. Selain merupakan spesies yang paling agresif antara jerung, bull shark juga mempunyai kuasa gigitan yang paling kuat berbanding semua spesies ikan di dunia.