Blue striped Fangblenny
Ikan blue striped Fangblenny merupakan ikan kecil dengan kebolehan mengubah warna ke warna ikan lain seperti oren, kuning, hitam atau biru lantas berasimilasi dengan warna organisma atau ikan sasarannya. Helah penyamarannya cukup sempurna malah ia juga mampu menjadi pemangsa dengan menjadikan ikan yang diasimilasikan tadi sebagai mangsa.
Ghost Pipefish
Ghost pipefish ini dikatakan mempunyai pertalian dengan kuda laut dan bentuknya pula menyerupai rumput laut. Panjang, halus dan seakan bentuk paip, ikan ini selalu berlegar di dasar laut. Ikan ini hanya menyedut organisma kecil sebagai dietnya. Reka bentuk badannya seakan rumput laut ini sudah cukup untuk proses penyamaran. Ketika musim mengawan, Ghost Pipefish akan berenang ke kawasan terumbu karang dan akan mengubah warna badannya mengikut warna terumbu.
Cockatoo waspfish
Antara hidupan laut, cockatoo waspfish ini merupakan antara yang paling malas di lautan. Ketika hidupan lain selesa mencari celahan dan rekahan untuk bersembunyi. Cockatoo waspfish ini pula hanya sekadar berlegar mengikut arus. Namun begitu, ia jarang sekali dikesan oleh pemangsa yang berpotensi berikutan bentuk badannya yang seakan-akan dedaun mati yang hanyut di dasar laut.
Swordtail characin
Bagi swordtail characin, tujuan penyamarannya pula agak unik. Helah penyamarannya bukan untuk mengelakkan pemangsa tetapi bertujuan untuk mendapatkan pasangan. Bagi swordtail characin jantan, ia mempunyai tangkai yang memanjang keluar dari badannya dan ia mampu memberikan bentuk seakan makanan. Jika terdapat Swordtail Characin betina yang memakannya, secara tidak langsung ia akan berada dalam posisi sesuai untuk mengawan.
Pearlfish
Pearlfish mempunyai helah yang begitu unik untuk terus hidup. Ia melindungi dirinya dengan menjadikan timun laut sebagai perumahnya dengan memasuki bahagian anus timun laut tersebut! Ada ketikanya, hanya bahagian kepalanya kelihatan keluar dan ada masanya ia masuk sepenuhnya ke dalam anus timun laut bagi melindungi dirinya daripada pemangsa berhampiran. Pearlfish akan memakan organ dalaman timun laut ketika berada di dalamnya. Timun laut berupaya tumbuh semula, jadi mungkin sebab itu ia tak kisah jika Pearlfish menumpang dan memakan organnya.
Black Marble Jawfish
Spesies ikan black marble jawfish ini pula tampil dengan kebolehan untuk menyerupai mimic octopus! Jika mimic octopus sibuk mengubah bentuk menyerupai ikan, muslihat ikan ini ialah datang menghampiri dan berpura-pura menjadi salah satu daripada sesungut sotong itu. Ini bukan sahaja membolehkan ia mendapat akses kepada makanan sotong itu, malah menggunakannya sebagai ‘raksasa bertangan lapan’ untuk menghadapi musuh.