Tidak semua ikan memiliki saiz besar dan kepantasan berenang untuk menyelamatkan diri dari pemangsa. Sesetengahnya dibekalkan dengan baji (duri tajam) sirip tajam untuk mempertahankan diri. Ada sesetengahnya pula dilengkapkan dengan bisa. Jom kita kenali ikan-ikan tersebut.
IKAN DEBAM / DEBAM JALUR
Nama saintifik : Acanthurus lineatus
Nama umum : Lined Surgeonfish
Debam jalur merupakan ikan yang bersifat kewilayahan dan menghuni kawasan berbatu karang. Spesies ini biasanya berassa dalam kumpulan yang banyak. Debam jalur juga merupakan spesies yang sentiasa berenang dan sering dijadikan sebagai ikan hiasan. Pada bahagian kaudal atau ekornya, terdapat duri yang agak berbisa dan mampu mendatangkan kecederaan jika terkena pada anggota badan.
LOLONG BARA / SEBEKAH KARANG
Nama saintifik : Sargocentron cornutum
Nama umum : Threespot squirrelfish
Ikan lolong bara hidup di kawasan yang kaya dengan terumbu karang sehingga kepada kedalaman sedalam 40 meter. Selalunya spesies ini bersembunyi di kawasan berbatu dan terlindung. Spesies ini biasanya menjadikan waktu malam sebagai masa memburu makanannya seperti udang dan ketam bentik. Pada bahagian operkulumnya, terdapat duri yang berbisa dan mampu mencederakan jika terkena sengatannya.
DENGKIS
Nama saintifik : Siganus vermiculatus, S. javus
Nama umum : Sspinefoot fish, Rabbitfish
Ikan dengkis hampir menyamai rupa ikan kitang namun dari segi nilai, ikan dengkis sememangnya jauh lebih bernilai dari kitang. Begitu juga dengan bisa dari sengat berduri ikan kitang. Ia mampu menyebabkan bahagian yang terkena sengat terasa kejang untuk beberapa jam lamanya.
KITANG
Nama saintifik : Scatophagus argus
Nama umum : Spotted scat
Ikan kitang berbentuk pipih dan biasanya mempunyai corak berbintik hitam di badannya. Ikan ini mempunyai duri yang berbisa di sepanjang barisan sirip dorsal serta sirip pelviknya. Duri yang berbisa pada ikan ini mampu mendatangkan kecederaan teruk yang menyebabkan rasa kebas dan kesakitan berlarutan jika tidak dirawat.
DURI
Nama saintifik : Arius sp
Nama umum : Sea catfish
Spesies daripada genus Arius ini merupakan antara spesies yang sering dinaikkan. Ikan duri mempunyai tiga duri yang tajam dan keras. Duri yang digunakan untuk mempertahankan dirinya ini terletak pada sepasang sirip pektoralnya serta sebatang duri yang mampu menegak pada bahagian sirip dorsal di atas badannya.
USAT-USAT
Nama saintifik : Plotosus lineatus
Nama umum : Striped eel catfish
Usat atau ikan sembilang karang juga mendiami kawasan yang mempunyai karang. Warna badannya berbeza berbanding sembilang biasa. Ikan sembilang karang mempunyai warna yang lebih cerah dan mempunyai jalur pada badannya. Seperti ikan sembilang, ikan sembilang karang juga mempunyai duri yang berbisa dan mendatangkan kesan buruk jika disengat.
IKAN LEMBU / IKAN HELIKOPTER
Nama saintifik : Tripodichthys blochii (Bleeker, 1852)
Nama umum : Long-tail Tripodfish
Walaupun dinamakan ikan lembu (tidak dapat dipastikan dari mana datangnya nama lembu), saiz ikan ini tidaklah sebagaimana saiz lembu itu sendiri. Ikan ini mampu membesar panjang sehingga 15cm sahaja. Objek seperti tanduk di atas kepalanya (mungkin dapat nama sempena tanduk lembu) ini merupakan senjata utama ikan ini mempertahankan diri. Tidak pasti sama ada ia berbisa atau tidak tetapi tetap menyakitkan juga kalau terkena.