6 Penawar Bisa Disengat Ikan!!

Share

 

Ada tak pemancing yang suka terkena sengat ikan? Rasanya takde siapa pun yang nak kena sengat. Malah, kalau boleh tak nak langsung memancing ikan yang bersengat.

 

Tetapi, pemancing-pemancing terdahulu ada berkata… selagi belum terkena sengat apa-apa ikan, maka selagi itulah kita belum layak bergelar seorang pemancing.

Ia ibarat mempelajari sesuatu ilmu juga, kena hadapi ujian dulu barulah lulus bergelar pendekar atau sebagainya.

 

Oleh kerana kita sudah menceritakan jenis-jenis ikan yang bersengat serta tahap bisa sengat ikan-ikan tersebut, untuk perkongsian kali ini kami sediakan pula petua atau penawar bisa sengat.

 

Sebagai panduan, kalau terkena sengat ketika berada di daratan, segeralah pergi ke klinik atau hospital yang berdekatan untuk rawatan.

Tak perlulah cari apa-apa petua untuk mengurangkan bisa sengat tersebut.

 

Dikatakan juga, sengat ikan yang paling kuat bisanya ialah ketika air gerak pasang. Jika terkena sengat pada waktu ini bisanya seperti berganda kuatnya.

Ia mungkin disebabkan ketika air bergerak pasang ini adalah waktu ikan asgresif mencari makanan. Jadi, berhati-hatilah ketika memancing ikan bersengat pada waktu ini.

 

CARA 1 – GUNA AIS

Buang atau cabut sengat (sekiranya masih tercucuk pada anggota tubuh). Kemudian picit atau tekan kawasan yang terkena sengat supaya bisanya keluar bersama darah.

Selepas itu ambil ais dan tuam pada tempat yang terkena sengat. Tuam sehingga tempat tersebut terasa kebas atau hilang rasa denyutannya.

Cara ini bolehlah dikatakan paling mudah untuk dilakukan.

 

 

CARA 2 – GUNA BIJI ASAM JAWA

Jika bercadang untuk memancing ikan bersengat seperti sembilang atau baung, sebaiknya bawalah biji asam jawab beberapa biji di dalam bekas pancing.

Caranya ialah, hancurkan biji asam tersebut tempelkan pada bahagian badan yang terkena sengat.

 

CARA 3 – GUNA DAUN JEMUJU

Penawar ini hanya mujarab sekiranya kita mengenali pokoknya. Rasanya ramai yang tidak mengenali pokok herba ini.

Caranya ialah dengan mengunyah pucuk daun jemuju dan tekap atau tempel pada tempat yang terkena sengat (jangan telan air kunyahan daun ini kerana rasanya sangat pahit).

 

 

CARA 4 – GUNA AIR KENCING

Petua yang paling mudah untuk dilakukan kerana semua orang memilikinya. Caranya ialah dengan menjiruskan air kencing pada tempat yang terkena sengat.

Jika tak mampu untuk mengeluarkan air kencing sendiri, boleh saja guna air kencing rakan. Dikatakan, air kencing seorang kaki kencing amat mujarab merawat bisa.

 

CARA 5 – GUNA DAKWAT SOTONG

Sesetengah bisa seperti sengat ikan kitang dikatakan boleh ditawarkan dengan melumur dakwat sotong dan dibiarkan sampai kering.

Dakwat sotong saja tau. Dakwat pen rasanya tak boleh digunakan.

 

 

CARA 6 – GUNA CUKA MAKANAN

Jirus cuka makan pada tempat yang terkena sengat. Dikatakan asid cuka dapat meneutralkan bisa sengat tersebut.

Cara terbaik ialah kita membawa cuka makanan di dalam botol kecil ke mana saja trip memancing yang kita pergi.

 

 

 

Published by
Amang