5 Fadilat Besar Ramadan

Share

 

Puasa merupakan suatu ibadah amaliah dan badaniah yang mempunyai banyak keistimewaan dan pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan umat Islam sejagat.

 

Turunnya Al-Quran

Bulan Ramadan adalah bulan turunnya Al-Quran yang menjadi petunjuk dan pedoman hidup bagi umat manusia.

Malah Al-Quran juga adalah benteng antara perkara yang baik dan yang batil.

 

Firman Allah s.w.t. Ertinya: “Bulan Ramadan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan serta sebagai pembeza antara yang hak dan yang batil.” (Al-Baqarah:185)

Bulan Ramadan telah dipilih oleh Allah untuk berlakunya perang Badar. Dalam peperangan itu bermulanya keruntuhan jahiliah dan tertegaklah Islam melalui kalimah Allah dan pada

bulan ini juga umat Islam dapat menakluki Kota Makkah dari kaum Musyrikin sehingga dapat mengubah akidah Jahiliah kepada akidah Islam.

Inilah suatu keberkatan yang dikurniakan Allah dalam bulan Ramadan.

 

Menghapus dosa

Ibadah puasa dapat mendidik rohani dan jasmani sehingga dapat membersihkan hati dan jiwa daripada segala perkara yang tidak baik dan sia-sia.

Justeru disamping itu dapat membersihkan hati dan jiwa lantaran puasa yang dikerjakan kerana iman dan mengharapkan reda Allah, nescaya diampuni Allah segala dosa yang lalu.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Ertinya: “Siapa yang puasa pada bulan Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan keredaan Allah akan diampuni segala dosanya yang lalu.” (HR. Ahmad dan Ashabus Sunan)

Bulan Ramadan merupakan bulan latihan dan kesedaran manusia terhadap segala kesalahan dan dosa-dosa yang lalu agar diterima segala doa dan taubatnya oleh Allah SWT.

Jadi puasa dapat menjadi kaffarah bagi muslimin dan muslimat untuk menghapuskan segala kesalahan selagi tidak melakukan dosa besar.

 

Dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka

Sepanjang bulan Ramadan Allah SWT dengan PemurahNya memberi jaminan yang penuh keistimewaan kepada umat Islam iaitu dibukanya pintu-pintu syurga sebagai ganjaran dan balasan nikmat.

Dalam hadith lain Rasulullah s.a.w. bersabda: Ertinya: “Pada bulan itu ditutup pintu-pintu neraka, dibuka pintu-pintu syurga dan dibelenggu syaitan-syaitan.”

Sabdanya lagi, dan seorang malaikat berseru: “Hai pecinta kebaikan,bergembiralah. Hai pecinta kejahatan, nantilah sampai Ramadan berakhir.” (HR. Ahmad dan Nasa’i)

Pada bulan Ramadhan Allah SWT telah membuka semua pintu syurga sebagai rahmat dan ganjaran yang amat besar bagi umat Islam yang ikhlas berpuasa.

Allah SWT juga menutup segala pintu neraka sebagai jaminan dijauhkan atau tidak dikenakan azab neraka bagi orang puasa kerana mengharapkan keredhaan Allah.

Begitu juga dengan syaitan, Allah telah membelenggu mereka daripada menghasut dan menghalang umat Islam daripada mengerjakan puasa.

 

Perisai diri

Orang yang berpuasa kerana iman dan takwa sudah pasti dapat menjaga dan memelihara dirinya daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Malah puasa juga dapat mengawal lisan manusia dari mengeluarkan kata-kata kesat, lucah dan sia-sia yang dibenci oleh syarak.

 

Rasulullah s.a.w. bersabda: Ertinya: “Allah SWT berfirman: ’Semua amalan manusia untuk dirinya, kecuali puasa, maka itu adalah untukKu dan Aku akan memberinya ganjaran.

Dan puasa itu merupakan banteng (perisai),maka ketika datang saat berpuasa, janganlah seseorang kamu berkata keji, berteriak-teriak, mencaci maki.

’Seandainya dicaci oleh seseorang atau diajak berkelahi hendaklah dijawabnya ‘Aku ini berpuasa dua kali. ’Demi Tuhan yang nyawa Muhammad di tanganNya, bau mulut orang

yang berpuasa itu lebih harum dari kasturi did sisi Allah di hari kiamat. Dan orang yang berpuasa itu akan mendapat dua kegembiraan yang menyenangkan hati. Di kala berbuka

ia akan gembira dengan berbuka itu dan di saat ia menemui Tuhannya, ia akan bergembira kerana puasanya itu.” (HR.Ahmad,Muslim dan Nasa’i)

 

Mengendali nafsu

Islam sentiasa mengajar umatnya berhati-hati dengan mengawal diri dari dipengaruhi dan dibelenggu oleh desakan hawa nafsu yang boleh merosakkan martabat dan maruah diri.

Dengan melaksanakan ibadah puasa selain dapat menguatkan iman,dapat pula sesesorang itu menjaga dan memelihara pujukan dan rungutan hawa nafsu. Rasulullah SAW bersabda:

Ertinya: “Hai pemuda barangsiapa yang mempunyai kesanggupan hendaklah ia berkahwin, kerana itu lebih dapat mengendalikan pandangan mata dan lebih dapat membentengi kehormatan.

Dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa dapat mengendurkan syahwat.” (HR. Bukhari dan Muslim)

 

Sesungguhnya puasa dapat membebaskan roh manusia dari cengkaman hawa nafsu yang menguasai jasmaninya menuju sasaran penyucian diri dan kebahagian abadi.

 

Published by
Amang