4 Spesies Pelahap Gewang Di Berau!!

Share

 

Hampala bimaculata

 

Tidak disangkal lagi bahawa spesies sebarau merupakan ikan yang banyak dan mudah untuk diperoleh di sini.

Namun, beberapa hari lamanya kami keliru dengan identiti sebenar sebarau di sini. Ini berikutan majoriti sebarau yang kami daratkan bersaiz besar di mana trademark

popularnya, belang hitamnya tidak lagi terpalit dengan ketara pada badannya. Jika ada tanda hitam pun ia berkeadaan berselerak dan pudar.

 

Justeru kami beranggapan ia adalah sebarau belang tunggal (Hampala macrolepidota) yang biasa kami pancing di Semenanjung.

Hanya setelah sebarau bersaiz kecil yang diperoleh, barulah kami dapat mengesahkan spesies sebenar sebarau tersebut. Rupanya ia adalah sebarau dua belang atau H. Bimaculata.

 

Sedikit info tentang spesies ini, H. bimaculata ia dikenali sebagai sebarau dua belang, dungan, arungan dan barb hampala.

Ia dikatakan hanya boleh ditemui di Borneo dan perairan Indonesia.

 

Ikan sebarau dua belang adalah spesies endimik di Borneo. Ia dicirikan oleh dua barisan tompok menegak pada sisi badannya.

Kedudukan dua belang hitamnya itu terletak di bawah sirip dan dorsal dan satu pada caudal peduncle (sudut bahagian yang menyambung badan dan ekor ikan).

Ikan buruan pengilat ini sangat sensitif terhadap kualiti. Justeru ia lebih mudah ditemui terutamanya di sungai pengunungan atau sungai yang bebas dari sumber pencemaran.

 

 

Tor tambra

 

 

Kelah merah atau sapan mengikut bahasa tempatan merupakan ikan sasaran utama dalam trip ke Berau ini.

Apa yang paling menarik ialah kelah merah di sini masih boleh dipujuk dengan gewang dan bukannya melalui pancingan dasar menggunakan umpan semulajadi.

 

Sedikit info tentang kelah merah, dalam kajian terbaru (Walton et al 2015) common mahseer of Malaysia iaitu kelah merah yang selama ini dikelasifikasikan sebagai Tor tambroides telah diganti dengan Tom tambra.

Kajian ini sekaligus merubah nama saintifik kelah merah (semenanjung), empurau (Sarawak), dan sapan (Indonesia) yang sekian lama telah diguna pakai.

 

Luciosoma setigerum

 

Ikan nyenyuar atau scissor tail bukanlah spesies sasaran sebaliknya ia merupakan tangkapan bonus.

Bukan senang untuk melihat ikan nyenyuar di perairan kita apatah lagi dengan saiz sedemikian. Ia adalah spesies yang sama seperti kelah yang memerlukan sistem perairan yang betul-betul bersih untuk hidup.

 

Menurut guide kami, ikan nyenyuar ini lebih sedap isinya berbanding ikan kelah. Namun kami tidak berpeluang untuk merasainya kerana semua nyenyuar tersebut dilepaskan kembali. Kalau tau sedap, memang kami simpan buat lauk!

 

Hemibagrus nemurus

Sebagaimana di negara kita, ikan baung kerap kali juga berjaya dipujuk menggunakan gewang. Walaupun ia bukanlah ikan sasaran, namun memperolehinya dianggap satu bonus juga.

Setidak-tidaknya dapat juga merasa bagaimana keenakan baung yang dipanggil sebagai patin oleh penduduk tempatan ini.

 

Disebalik empat spesies pelahap gewang ini, kami hanya kekurangan satu spesies saja. Ia turut berkongsi sistem sungai yang sama namun kehadiran kami pada waktu itu bukanlah

masa yang terbaik untuk merasai gigilan sebenar bertarung dengan blackbass atau kanai air tawar.

 

 

Published by
Amang