Bagi yang meminati dunia memancing, pastinya akan menganggap aktiviti ini sebagai satu aktiviti yang menenangkan minda dan emosi anda. Tapi kadangkala memancing juga mampu membuatkan anda kecewa, terutama bila anda kumpau atau pulang dengan tangan kosong setelah seharian memancing. Untuk mengelakkan masalah kumpau dari berterusan, kami ingin berkongsi beberapa kesilapan yang patut anda elakkan sewaktu keluar memancing.
Peralatan Tak Sesuai
Biasa terjadi bila memancing dapat sambaran tetapi ikan susah nak mengena. Adakah anda kaji semula mengapa perkara itu terjadi? Besar kemungkinan ia datang daripada pemilihan peralatan yang salah. Jadi sebagai pemancing, anda harus tahu apa spesies ikan sasaran anda. Jadi dari sini anda boleh menentukan peralatan apa yang sesuai untuk anda gunakan. Sebagai contoh, janganlah nak pancing layaran guna mata kail udang pulak nanti.
Ads
Bodoh Sombong
Biarpun berapa puluh tahun anda memancing dan seberapa banyak pengalaman yang anda, janganlah jadi pemancing yang bodoh sombong atau berlagak pandai! Ini amat penting terutama bila anda meneroka lubuk baru. Sentiasalah bertanyakan mereka yang arif dengan kawasan tersebut dan kaji dahulu lokasi memancing anda untuk mengelakkan kes membangau sehari suntuk!
Ads
Kelam-Kabut
Ads
Kalau kot ye pun teruja nak memancing elakkan dari menjadi seorang yang kelam-kabut. Bukannya apa, bila terjadinya kes-kes kelam-kabut ni pasti ada saja masalah yang akan terjadi. Tertinggal set pancinglah, ikan rabutlah dan yang paling teruk berpotensi untuk ditimpa kecederaan sewaktu memancing. Jadilah seorang pemancing yang sentiasa bertenang dan rancanglah sebaik mungkin perjalanan sebelum anda keluar memancing.
Cemburu Tak Tentu Pasal
Kes kaki pancing cemburu ni mesti banyak kali terjadi di kalangan kita. Pantang je tengok orang tarik ikan mesti ada 1 atau 2 orang yang jenis tak senang duduk bila tengok orang strike. Time tu jugaklah dia nak pindah duduk kat kawasan orang yang dapat ikan tu. Haihh, kalau boleh, jadilah pemancing yang sentiasa percaya pada rezeki sendiri. Janganlah dek kerana sikap tamak dan cemburu tu anda dibenci pemancing lain.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Berdasarkan pengalaman, ikan cupak jarang menyambar gewang ketika proses trolling atau menunda gewang. Tetapi lebih berkesan jika jigging atau casting. Waktu siang aktiviti casting biasanya tertumpu di sekitar tepi pulau atau batu karang terutama ketika air besar.
Gewang selaman dalam untuk casting amat sesuai untuk spesies bermata besar ini. Gewang bersaiz 14 ke bawah dan berwarna garang menjadi pilihan bagi pengemar casting di kawasan batu ini. Selain itu, sesudu, metal jig dan popper juga boleh digunakan di kawasan yang sama.
Waktu malam metal jig yang boleh menyimpan cahaya (luminous) banyak digunakan secara meluas selain jig yang berkilat dengan kilauan chrome. Jig yang bercahaya pada malam hari mempunyai daya tarikan yang kuat kerana ia mudah dikesan oleh kumpulan cupak.
Pemancing mempunyai pilihan sendiri merujuk kepada kuasa membeli dan keberkesanan ia digunakan dalam satu-satu keadaan. Lebih tepat lagi tidak semua produk sesuai pada satu-satu masa. Pelbagai jenama dan jenis diperlukan setiap kali pemancing pergi melakukan aktiviti casting dan jigging.
Bagi yang mengunakan umpan pula, ikan terbang adalah yang terbaik memburu cupak. Hanyutkan ia di belakang bot keluar sedikit dari kawasan cahaya lampu di mana kawanan cupak dikenal pasti bermain dan menangkap ikan liar.
Umpan ikan terbang hidup ini sukar diperolehi kecuali yang berjaya disauk apabila datang menghampiri bot pada waktu malam.
Selain itu sotong cumit (sama ada seekor hidup atau hirisan), udang (anda boleh cuba udang lipan) hidup) boleh digunakan sekiranya tiada pilihan umpan. Labuhkan sama ada hanyut, pertengahan air ataupun dasar kerana cupak meronda di semua kolum air.
Cupak adalah jenis ikan yang suka menyambar secara tiba-tiba. Peralatan yang digunakan perlu ada kemampuan memberi, menahan dan mengepam ikan terutama saiz yang melebihi 5kg.
Ini kerana tabiat cupak (kalau yang merembat di atas air) akan melarikan tali pancing, jadi anda perlu `beri tali’, kemudian ia menjunam di pertengahan air, ‘bertahan’ dan berlegar di bawah permukaan air, kemudian ia adalah masa untuk mengarau tali.
Untuk aktiviti popping dan casting, kekili jenis spinning lebih mudah dikendalikan, jigging dan teknik umpan alami lebih sesuai mengunakan kekili multiplier. Ramai pengemar casting dan jigging mengunakan tali sulam atau braided kerana mudah dan cepat membalas.
Jika mengunakan mono sambungkan tali sulam 10 hingga 30 kaki di hadapan sebagai penanda ketika jigging kerana jika leka kemungkinan jig akan singgah ke muka anda!
Joran yang sesuai adalah jenis grafit dengan kekuatan 15lb hingga 30lb. Pakai joran halus dan ringan tetapi kuat memberi kelebihan dari segi lontaran serta tidak lenguh memegang dalam tempoh yang lama.
Tali utama berkekuatan 20lb hingga 40lb cukup memadai kerana ia memberi peluang ikan untuk fight dengan kita. Itu sebenarnya yang kita mahu!
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Jika anda ingin menguji kecekapan mengendalikan peralatan sederhana (aksi ringan dan sederhana) dengan kekuatan maksimun 15 Ib, cubalah memancing ikan berkuasa torpedo ini.
Henjutan dan rembatan yang dibuat ke atas set pancing membuatkan otot-otot lengan ‘kejang’ seketika menahan asakan ikan yang cukup padu .
Bertarung dengan spesies pelagik berlainan dengan bukan demersal kerana spesies pelagik mampu memberi tentangan di permukaan.
Kadang-kadang ia turut melakukan aksi akrobatik ke udara. Bertarung dengan ikan berbadan tegap dan sasa, anda perlu sabar melayan kehendak dan arah renangan ikan.
Berikan sedikit tekanan dan henjut pada kekuatan satu pertiga daripada kekuatan tali yang digunakan.
Ikan tongkol cepat letih walaupun kuat pada permulaan dan biasanya kurang dari 10 minit ia mula mengikut arah tali masuk ke gelendung kekili.
Masa itu anda tidak perlu gopoh memujuknya ke arah bot, layan dengan sabar sehingga ia benar-benar keletihan ke sisi bot.
Perambut sepanjang pangkal lengan (2-3 kaki) dengan kekuatan 30Ib hingga 50lb disyorkan.
Jangan terlalu panjang perambut kerana ia menyukarkan anda membuat balingan kekawasan ikan bermain.
Tidak perlu dawai, tanduk, ladung maupun pemberat. Ikat mata kail bersaing 1/0, 2/0, 3/0, 4/0 hingga 5/0 samada jenis mata kail octopus (untuk umpan hidup) dan mata kail o’shounessey (umpan mati).
Umpan mengikut susunan bilis segar, anak tamban, selar , kembung, selayang dan tamban baru. Saiz ikan umpan itu jangan terlalu besar, paling baik 1 hingga 2 jari dewasa.
Tidak kisah sama ada umpan hidup mahu pun mati dengan syarat ia segar.
Teknik Pancingan Bot berlabuh
Cucukkan mata kail pada umpan anak ikan di bawah perut, atas lateral line, pangkal ekor atau mulut sekiranya menggunakan umpan hidup.
Jika menggunakan umpan ikan segar, cangkukkandalam mulut, mata dan dekat insang.
Jika menggunakan bilis, masukkan mata kail melalui mata bilis sama ada seekor atau berangkai.
Bilis juga digunakan sebagai bahan ‘rasuah’ untuk mengundang kehadiran tongkol dekat dengan lokasi bot.
Labuhkan umpan mengikut arus tanpa pemberat. Biarkan ia hanyut ke arah unjam atau kawasan yang dikenal pasti adanya kumpulan tongkol sedang bermain.
Untuk hasil yang lebih efektif, umpan yang dilabuhkan (hanyut) hendaklah sesekali dihenjut perlahanuntuk menarik perhatian mangsa.
Jika mampu membuat balingan (bait casting), pastikan lontaran tidak mencederakan ikan hidup yang digunakan.
Sentiasa memeriksa keadaan umpan jika anda memancing berdekatan dengan unjam (umpan sering dikacau sotong dan anak ikan).
Hanyutkan umpan pada kedalaman 10 meter bawah permukaan hingga ke permukaan air. Lihat kesannya samada umpan dirembat di bawah permukaan atau di pertengahan air.
Teknik pancingan bot bergerak
Teknik ini lebih mudah dan berkesan. Ia lebih produktif di mana hasil melebihi seekor setiap kali dinaikkan. Ia dipanggil menunda atau mengolok aya istilah Pantai Timur.
Mata apollo berangkai biasanya 20-100 mata dilabuhkan di belakang bot yang sedang bergerak merentasi kawasan yang dikenal pasti adanya tongkol.
Aya juga boleh dipancing dengan teknik moden iaitu mengilat dan jigging. Untuk mengetahui gewang atau jig yang sesuai bolehlah bertanya secara terus kepada tekong kerana tekong lebih mengetahui dan berpengalaman berbanding pemancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...