Mangrove jack (MJ) atau kakap merah mendiami estuari sebelum migrasi ke laut lepas setelah mencapai usia matang. Namun peluang untuk memperoleh kakap merah dewasa juga ada apabila ia kembali ke estuari untuk membiak. Malah ada juga kakap merah yang kekal di estuari.
Walaupun bersaiz juvenil, perlawanan yang diberikan oleh kakap merah jauh lebih mendebarkan berbanding spesies penghuni muara lain. Justeru ia menjadi buruan utama di muara khususnya bagi penggemar teknik mengilat gewang atau lure casting.
Kakap merah muara boleh dipancing dengan tiga kaedah memancing iaitu teknik pancingan dasar menggunakan umpan, mengilat gewang, menunda gewang (trolling) dan juga mengunjun jig (jigging).
Melalui kaedah pancingan dasar, kakap merah boleh dipancing dengan menggunakan umpan hidup ataupun mati. Umpan hidup yang paling sesuai adalah udang hidup atau ikan-ikan yang menjadi diet kakap merah di habitatnya.
Sementara umpan mati bolehlah juga menggunakan udang segar ataupun potongan ikan segar seperti belanak, tamban atau hirisan selayang.
Bagi pancingan dasar ini, kecepatan membalas sentapan kasar kakap merah adalah penting. Sekiranya lewat membalas sentapan, ia akan memberi ruang kepada kakap merah untuk menyelinap ke kawasan reba atau berstruktur sekaligus melepaskan diri.
Penggunaan peralatan memancing yang sepadan adalah penting dan sentiasa bersedia untuk bertindak balas terhadap sentapan ikan.
Teknik mengilat menggunakan gewang atau umpan tiruan (casting) merupakan kaedah pancingan paling popular dan digemari pemancing. Secara kasarnya kebanyakan gewang yang dipersembahkan kepada kakap merah dengan betul pasti akan dibahamnya.
Pilih gewang yang bersaiz lebih kecil daripada sasaran atau pun saiz diet ikan itu. Selain gewang, soft plastic boleh digunakan sebagai alternatif untuk gewang. Penggunaan umpan tiruan lebih berkesan jika dimainkan di kawasan berstruktur yang berpotensi.
Selain mengilat, gewang tiruan juga boleh digunakan menerusi teknik menunda atau trolling. Kaedah trolling dapat merentasi kawasan yang lebih luas berbanding mengilat dan gewang yang melalui betul-betul di atas struktur badan air ketika trolling paling berpotensi untuk menaikkan kakap merah.
Sementara teknik mengunjun jig atau jigging pula merupakan kaedah terbaharu dalam disiplin pancingan kakap merah. Teknik micro jigging (menggunakan jig mikro 5 gm hingga 20 gm) ini dikatakan paling berkesan untuk memperdaya kakap merah.
Berbanding teknik mengilat, gaya persembahannya sedikit berbeza begitu juga dengan spot untuk menggayakannya. Teknik micro jigging ini dilakukan secara unjunan menegak dan perlu dilakukan berhampiran spot berpotensi atau di alur sungai.