TENGGALAN
Nama saintifik: Puntius bulu
Nama umum: Carp, Barb
Nama tempatan: Tenggalan
Ikan tenggalan atau nama saintifiknya iaitu Puntius bulu merupakan salah satu spesies ikan air tawar yang terkenal yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi. Isinya yang lembut, padat dan lazat membuatkan nialinya melambung tinggi.
Tenggalan juga dikenali sebagai spesies yang mempunyai daya renangan yang laju dan tinggal di kawasan sungai-sungai yang besar di Malaysia. Bentuknya sedikit lebar menyerupai ikan lampam. Tenggalan bersifat omnivor dan diet utamanya terdiri daripada tumbuhan kecil serta krustasea kecil.
SEBARAU
Nama saintifik: Hampala macrolepidota
Nama umum: Hampala barb, Jungle perch
Nama tempatan: Sebarau, Badong (saiz besar)
Spesies ini mendapat jolokan ‘serigala’ bagi sesetengah kaki pancing mengilat akibat pecutannya yang laju, lincah dan agresif malah mampu meluruskan mata kail.
Sebarau (Hampala macrolepidota) merupakan spesies sasaran paling utama bagi mana-mana kaki pancing terutama pengilat di Malaysia.
Sebarau biasanya memilih kawasan berarus deras dan berbatu atau di celah-celah tunggul atau kayu sebagai tempat bersembunyi dan mencari makanan.
Ia mudah dikenali dengan melihat jalur hitam menegak di badannya yang berkilau. Jalur ini akan hilang apabila sebarau membesar sekitar 3 kg, dan tatkala inilah ia digelar badong.
Sebarau akan naik ke hulu untuk senyawakan telur apabila tiba musimnya. Di Malaysia, Tasik Kenyir dan Royal Belum antara lokasi terbaik memburu sebarau pada setiap hujung tahun. Dalam keseronokkan memburunya, perlu sematkan konsep bag limit.
TEMOLEH
Nama saintifik: Probarbus jullieni
Nama umum: Jullien’s Golden Barb, Seven-stripes Barb
Nama tempatan: Temoleh, Temelian
Temoleh (Probarbus jullieni) merupakan antara spesies yang semakin jarang ditemui. Ciri utama ikan ini ialah ia mempunyai tujuh garisan hitam di badannya.
Mulutnya pula menghala ke bawah dan ini sesuai dengan tabiat makannya iaitu pemakan dasar dengan memakan tumbuhan akuatik, krustasia dan serangga.
Temoleh bersaiz dewasa berwarna kekuningan dan lebih terang berbanding temoleh kecil. Selain itu temoleh mampu mencapai berat sehingga 70kg ketika dewasa.