3 Ikan Terhandal Malaya Kategori Rare!!

Share

 

BEGAHAK

Nama saintifik: Belodontichthys dinema

Nama umum: Sheatfishes

Nama tempatan: Begahak, Gohok, Gerahak

 

 

Tidak banyak yang diketahui tentang spesies ini. Begahak (Belodontichthys dinema) mempunyai bentuk badan yang unik seperti tapah dan lais. Ia terkenal sebagai hidangan bagi kaum Cina dan sentiasa mendapat permintaan yang tinggi.

 

Taburan lokasi spesies ini sering dikaitkan dengan di sepanjang Sungai Pahang di semenanjung selain di Sabah dan Sarawak serta Borneo. Tidak ada maklumat konsisten mengatakan wujudnya begahak di sungai-sungai lain di semenanjung.

 

Ia mendiami habitat sungai yang sederhana luas dan luas serta tinggal di kawasan yang berkedalaman tinggi serta pertengahan. Ia diketahui gemar memakan ikan-ikan kecil di permukaan sebagai diet utama.

 

 

TAPAH

Nama saintifik: Wallago attu

Nama umum: Giant River Catfish, Wallgo, Lanchi

Nama tempatan: Tapah

 

 

Tapah merupakan antara spesies ikan air tawar gergasi. Ikan ini hidup di kawasan dasar sungai besar serta berlumpur. Spesies tapah juga terkenal dengan sifat pelahapnya dengan memakan ikan yang lebih kecil, krustesia dan moluska sebagai diet utama.

 

Ini menyebabkan ia mampu membesar mencecah sehingga 8 kaki panjang. Terdapat juga mitos yang terkenal ialah spesies ini mampu menyambar monyet atau kera yang bergayut dari permukaan air.

 

Selain itu, bandar Tapah di Perak juga mengambil nama sempena spesies ganas ini memandangkan ia sering muncul di kawasan sungai-sungai di Perak.

 

 

BELIDA

Nama saintifik: Notopterus notopterus, Chitala chitala

Nama umum: Feather back, Knifefishes

Nama tempatan: Belida, Belido, Lopis

 

 

Walaupun dalam genus atau genera berbeza, belida sungai (Notopterus notopterus) dan belida bintik (Chitala chitala) masih tergolong dalam keluarga yang sama iaitu Notopteridae.

 

Spesies ini amat cantik dan bentuk badannya pula amat unik. Badannya pipih dengan saiz kepala yang kecil dan ekornya melengkung ke atas menghasilkan bentuk seakan sabit atau pisau. Habitat belida biasanya di sungai-sungai besar, tasik serta lombong.

 

Belida bersaiz kecil juga hidup di paya dan tali air yang bersambung dengan sungai. Antara lokasi taburan spesies belida ialah di kawasan Chenderoh, Bersia, Kenering, Sungai Kelantan, Tasik Kenyir dan banyak lagi.

 

Spesies belida bersifat nokturnal dan aktif pada waktu malam. Ia bersifat pemangsa dengan diet utamanya udang dan ikan kecil. Belida lebih dikenali sebagai game-fish bagi pemancing kerana kekuatannya, namun begitu ia mempunyai potensi baik dalam sektor ikan hiasan.

 

 

Published by
Amang