Umpan udang yang lumrah dan cepat diterpa udang ialah perumpun – jenis sarang, bakau, pantai dan nipah. Cacing tanah sama ada cacing gila atau jenis biasa. Anak udang sungai atau udang beras hidup/mati, remis, isi kerang, lala – guna bahagian yang keras.
Isi ikan dihiris halus memanjang mengikut saiz mata kail. Isi udang galah – potong mengikut saiz mata kail. Udang pasar tidak kira apa jenis, anak ikan longkang hidup atau mati kedua-duanya boleh. Pilihan lain – jantung/hati ayam tapi hanya sesuai untuk pancing di kolam.
Saiz umpan yang dipasang pada mata kail jangan terlalu besar kerana ini akan melambatkan proses udang menelan mata. Potong atau hiris umpan biar sepadan dengan saiz mata kail yang digunakan. Saiz mata kail udang dan jenis bergantung kepada jenis batang pancing.
Memancing udang galah tiada musim tertentu sama ada di kawasan hulu sungai dan pedalaman termasuk lombong, tasik dan kolam. Bagaimanapun musim kering (tiada hujan sebelumnya) adalah masa terbaik memancing udang galah.
Selain daripada itu waktu malam lebih mudah mengendap udang galah berbanding siang kerana kawasan persekitaran air jernih dan udang galah jarang keluar merayau siang hari bagi mengelak diterkam pemangsa.
Perlu diingatkan jika lokasi yang dikunjungi jauh dari kawasan pembangunan seperti hulu sungai pedalaman umpamanya, langkah keselamatan perlu diambil perhatian memandangkan malam hari terlalu banyak bahaya. Jika wujud keadaan kurang selamat dinasihatkan lebih baik tidak usah memancing di kawasan terbabit.
Bagi muara sungai musim udang galah hadir selepas beberapa hari sebaik saja hujan berhenti. Kebiasaannya air hujan akan keluar ke laut melalui sungai turut membawa bersama udang galah. Ketika ini udang galah akan berkeliaran di kawasan muara yang ketika itu airnya tawar.
Udang galah akan mudik semula ke hulu sungai apabila muara sungai kembali payau atau masin. Secara ringkasnya musim udang adalah sepanjang tahun kecuali di muara hanya selepas musim hujan atau ketika muara sungai tawar airnya.
Perambut udang galah kebiasaannya ialah menggunakan tangsi 6 paun hingga 12 paun. Ini sudah memadai dengan berat udang itu sendiri. Kekuatan 12 paun boleh menampung dan mengangkat beban maksimum 5.5kilogram sudah terlalu besar untuk udang galah sungai yang purata 50gram hingga 500 gram.
Panjang perambut seeloknya 15 sentimeter atau lebih kurang sejengkal jari orang dewasa. Jenis tangsi biarlah yang lembut supaya udang galah tidak begitu ‘terasa’ beban ketika mengunyah umpan.
Mata kail udang banyak jenis dan saiz mengikut tempat, jenis lapangan pancing dan saiz udang. Saya biasanya menggunakan mata kail no 6 hingga no 8 kerana saiz ini paling sesuai. Banyak jenis dan saiz mata udang yang boleh ditemui di pasaran tempatan.