3 candat utama dan kegunaannya!!

Share

 

Terdapat pelbagai candat atau umpan tiruan / peralatan untuk memancing sotong di negara kita. Namun, disebalik pelbagai jenis dan jenama itu terdapat pula beberapa candat utama atau asas yang perlu ada setiap kali ingin turun mencandat sotong.

 

Candat Twist

Candat twist biasanya diperbuat daripada timah sebagai pemberat. Ia juga dilekatkan dengan matakail yang bersisir pada bahagian bawahnya.

Biasanya ia dilengkapi dengan lapan atau lebih matakail yang berfungsi sebagai penyangkut sotong.

 

Badannya dibaluti dengan kain yang biasanya berwarna putih/merah, putih/hijau dan putih/biru.

Cara menggunakannya ialah dengan menyambung terus pada perkakas terminal atau dicangkuk pada kili yang diikat langsung dari tali utama.

 

 

Tidak perlu mengunakan perambut. Apabila candat diturunkan, lakukan aksi menarik dan menghulur ke dalam air yang disuluh lampu kalimantang.

Sotong akan tertarik dengan pergerakan candat yang disangka makanan dan menyambarnya.

 

Ketika itu, terus menyentap tali dan sotong akan terlekat pada mata kail berkenaan. Candat twist sesuai untuk sotong torok, ketupat dan sotong jarum.

Candat twist juga sesuai digunakan untuk sotong mengabang dan sotong katak apabila berada di kawasan unjam atau tukun sahaja.

 

Candat umpan

Candat umpan berbentuk panjang yang diperbuat daripada dawai logam keras sebesar lidi dan bersisir dengan matakail pada bahagian bawahnya.

Ia juga dilengkapi dengan lapan atau lebih matakail yang biasa dibuat sendiri. Ada juga candat ini yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan yang mempunyai dua sisir matakail.

 

Cara mengunakannya ialah mencucuk ikan sebagai umpan. Ikan akan dicucuk dari ekor sehingga ke dalam mulut ikan itu dan disangkut mengunakan cili dari atas kepala

memasuki lubang candat dan seterusnya disangkut sekali lagi memasuki bawah kepala ikan sebelum menuntup cili itu.

 

Ada satu lagi kaedah dengan menggunakan dawai yang diikat daripada perambut dan dicucuk sama dengan kaedah menggunakan cili dan dibelit dawai tersebut sebagai pengikatnya.

 

Seterusnya candat tadi boleh digunakan dengan batu hidup atau tandukyang memerlukan perambut antara tiga hingga lima meter panjang.

Masa mengunakan candat umpan, kita digalakkan untuk melabuhkan dua atau tiga candat ini dengan kedalaman air, bermakna satu didasar, kedua ditengah-tengah air dan satu lagi berada di permuakaan air.

 

Untuk permukaan air, pemberat tidak perlu digunakan dan seelok-eloknya menggunakan pelampung.

Ikan tamban, selayang, dan ikan kacang sangat sesuai untuk dijadikan sebagai umpan. Saiz ikan hendaklah tidak melebihi panjang candat tersebut.

 

Candat Udang

 

Candat udang telah diperkenalkan dan digunakan secara umum, berkemungkinan lebih belasan tahun lepas lalu.

Candat ini sangat sesuai digunakan untuk mencandat sotong mengabang. Dengan bentuk yang solid dan dapat mengimbangi badan di dalam air memberi kelebihan candat ini menarik perhatian sotong.

 

Cara mengguna hampir sama dengan candat umpan yang memerlukan tanduk untuk dihulurkan hingga ke dasar.

Kebiasaannya dua atau tiga kaki dari dasar laut. Untuk memancing sotong mengabang secara landbase pula ia tidak perlu menggunakan tanduk dan batu ladung.

Ia boleh diikat terus sebagaimana mengilat menggunakan gewang.

 

Published by
Amang