TUMPAT – Tidak menggunakan mata kail, hanya botol diperlukan untuk memancing ikan belanak di Laguna Pantai Sri Tujoh, malah selamat untuk kanak-kanak.
Umpannya pula tepung gandum atau tepung kanji yang dimasukkan ke dalam botol sebelum botol itu dilempar ke dalam air.
Katanya, botol itu seakan perangkap kerana ketika umpan gandum tumpah di permukaan air, ia menarik perhatian ikan belanak masuk dan terperangkap dalam botol.
“Lempar pancing beberapa saat saja ikan belanak dah masuk perangkap.
“Kalau musim, nak dapatkan enam kilogram dalam masa dua jam pun boleh,” katanya.
Ads
Selepas banjir Januari lalu, Laguna Pantai Sri Tujoh ini pernah menjadi tumpuan ramai bagaikan pesta mengail ikan belanak dengan botol.
Walau pun tidak sehebat dulu, Laguna Sri Tujoh ini tetap menjadi kunjungan kaki pancing ikan belanak.
Bagi Aziz Ibrahim, 51, dari Kampung Telaga Bata, masih ramai kaki pancing ikan belanak mengail di sini, walau ikan belanak agak kurang kali ini.
Ads
“Ramai yang tahu di sini lubuk ikan belanak. Musim ikan belanak antara bulan Oktober hingga Disember, lepas banjir banyak ikan belanak,” katanya.
Menurutnya, idea mengail menggunakan botol itu selepas melihat seorang lelaki dari Thailand guna kaedah sama di Laguna Pantai Sri Tujoh.
Ads
“Saya cuba sehari juga baru pandai, sekarang ini dah mahir mengail menggunakan botol,” katanya.
Menurutnya, botol plastik air minuman bergas dipotong dua kemudiannya diikat gabus di tepinya dan disangkut pada joran.
“Kemudiannya diletakkan gandum satu sudu ke dalam botol itu sebagai umpan dan campak ke dalam air, dalam beberapa saat sahaja ikan dah mengena,” katanya.
(Sumber: Sinar Harian)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Orang kata memancing di muara atau kuala sungai ni kurang syok! Iyelah, ikan yang biasa jadi sasaran pun dari saiz yang kecik-kecik, katanya la. Tapi itu hanyalah tanggapan orang yang tidak pernah mencuba sendiri.
Tahukah anda, ada masanya memancing di kuala sungai ini kadang-kadang syoknya lebih dari memancing di laut dalam mahupun kolam. Trip saya ke Kuala Lukut ini telah membuktikannya.
Perkenalan saya dengan Angah (tekong)di laman media sosial menjadi titik tolak kepada trip saya ke Kuala Lukut ini. Tiba saja tarikh yang dijanjikan, saya bersama dua lagi rakan terus menuju ke destinasi yang ditetapkan.
Pangkalan Nelayan Kampung Jimah Lama menjadi lokasi pertemuan kami dengan Angah dan kami terus sahaja menaiki bot yang dikemudikan Angah untuk menuju ke lokasi memancing di sekitar Sungai Jimah Lama dan Kuala Lukut.
Terus-terang saya katakan pada awalnya saya tidaklah begitu teruja memancing di kuala sungai ini. Mungkin kerana saya juga termakan kata-kata orang yang mengatakan memancing di Kuala Sungai Lukut ni tak best dan susah nak dapat ikan, tidak macam dulu.
Tapi itu semua berubah bila kami tiba sahaja di lokasi pertama untuk memancing. Entah mengapa bila melihat tekong Angah menjadi pembuka tirai menaikkan sembilang membuatkan keterujaan itu datang secara tiba-tiba. Iyelah, belum sampai seminit umpan dihulurkan sudah ada sambutan!
Selesai sahaja menyiapkan kelengkapan memancing kami pun terus melabuhkan umpan. Ya, memang benar! Begitu cepat untuk ikan di sini tertarik dengan umpun ruat dan sarang yang kami hidangkan. Satu demi satu sembilang bersaiz lengan budak kami naikkan sewaktu air mula menyusur surut.
Paez secara tiba-tiba menjadi pembakar semangat kami semua yang mulai hangat dipanah sang mentari apabila lenturan kuat joran yang diletakkan di hadapan bot berhasil menaikkan seekor gemang berskala sekilogram.
Tidak lama selepas itu, giliran Paez lagi menaikkan gemang yang kedua. Alamak, terbakar juga melihat aksi Paez yang berjaya memujuk 2 ekor sembilang bersaiz lengan budak sedangkan kami hanya puas melayan sembilang bersaiz lengan bayi.
Sesekali, ada juga kelibat sang blues-gang atau ikan belukang yang cukup gemar mencuri umpan yang kami hulurkan. Tiba sahaja kawanan blues-gang ini memang spesies ini saja yang kami naikkan. Melihat sahaja kawanan belukang bermaharajalela, tekong Angah terus mengarahkan kami semua menggulung tali untuk berpindah lubuk.
Apa yang menariknya turun memancing bersama tekong Angah ini, beliau begitu rajin berpindah lubuk jika suasana menjadi sepi. 15 minit menunggu, jika tiada sebarang getuan atau majoriti ikan pengacau yang membedal umpan, dia akan memberi isyarat akan berpindah.
Bagi kaki pancing, perkara sebeginilah yang disukai, rajin dan sentiasa berusaha mencari lubuk terbaik untuk pelanggan.
Apabila air mulai surut dan arus laju, ikan mulai kurang aktif menyambar umpan. Hanya ikan-ikan kecil seperti gerut-gerut dan mengkerong yang rajin mengintai umpan kami. Oleh yang demikian, kami mengambil keputusan untuk makan tengah hari dan berehat seketika di Jeti.
Sewaktu berehat ini dapat juga saya berbual panjang dengan tekong Angah mengenai ikan di Kuala Lukut ini. Menurutnya, ikan yang ada di sini memang tiada musim. Terutamanya sembilang, sentiasa sahaja ada. Cuma kena pandai sahaja mencari lubuk-lubuk permainannya. Jika kena pada lubuk, memang tak menang tangan.
Pengalaman dan kehandalan tekong Angah di Kuala Lukut ini memang tidak boleh disangkal lagi. Apa tidaknya, sejak kecil lagi beliau telah didedahkan dengan lubuk-lubuk yang ada di sini. Cuma apa yang merisaukan beliau ialah apabila melihat semakin banyak kawasan paya bakau dimusnahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Disebabkan itu, lubuk-lubuk permainan ikan di sini semakin berkurangan dan ini menjadikan hasil yang diperoleh juga semakin berkurangan jika hendak dibandingkan beberapa tahun dahulu.
Setelah berehat dan menjamah makanan tengah hari, kami menyambung semula aktiviti pancingan kami. Kali ini, kami cadangkan kepada tekong Angah, mencari spesies ikan sisik pula setelah puas memperoleh sembilang dan gemang pagi tadi. Untuk memburu ikan sisik, tekong Angah membawa kami ke kawasan berhampiran muka pantai yang dikatakan menjadi lubuk gerut-gerut.
Di lokasi ini, banyak kali juga joran kami digetu, tetapi kebanyakan dari gerut-gerut bersaiz kecil. Hanya Paez sahaja yang bertuah menaikkan seekor tetanda bersaiz tapak tangan. Melihat keadaan kurang memberangsangkan, kami berpindah lubuk lagi. Kali ini, kami masuk ke dalam kuala semula dan menuju ke lubuk kegemaran tekong Angah.
Sedang kami asyik bersembang, joran milik Basil tidak semena-mena di getu dan dengan pantasnya ikan membawa lari tali kailnya melawan arus.
“Sah ikan besar!”, kata Tekong Angah. Basil terus menyentap joran dan terus bergasak dengan spesies yang belum diketahui lagi.
Sayangnya, kesilapan kecil Basil untuk mengunci drag telah memberikan peluang kepada ikan tersebut melarikan diri ke reba di dalam sungai. Hampa juga kami melihatnya.
Menjelang petang, apabila air mulai pasang, kami menuju lagi ke lubuk kegemaran tekong Angah yang lain pula. Di sini, Basil yang hampa akibat rabut ikan besar tadi menjadi pemecah suasana apabila berjaya menaikkan tetanda bersaiz kasar.
Tidak lama selepas itu kami bersilih ganti melayan kawanan blues-gang yang semakin galak keluar mencari makanan sewaktu air jalan naik. Jadi stress juga dibuatnya! Tapi itu semua sementara sahaja apabila melihat joran Paez kembali diasak.
Kami menyangka ia datang daripada belukang bersaiz kasar, tetapi ia ternyata meleset apabila melihat kilauan perak di dalam air. Senangin! Dengan segera ikan tersebut dinaikkan ke dalam bot. Jelas terpancar kegembiraan di wajah Paez kerana beliau menjadi orang yang paling ong pada hari itu.
Menjelang lewat petang, sembilang kembali mendominasi tangkapan kami. Tapi sayangnya, sedang galak ikan makan, umpan kami pula kehabisan. Nak tak nak, kami terus menuju pulang ke jeti dan seterusnya kembali semula ke ibu kota untuk menghadapi realiti.
Seorang gadis yang dikenali sebagai Liu Pengpeng, yang juga merupakan seorang model berusia 26 tahun muncul sebagai selebriti media sosial selepas diistyhar ‘penjual ikan paling menggiurkan’.
Menurutnya, dia hanya membantu ibunya semasa waktu lapang di kedai makanan laut milik keluarganya di daerah Changhua, Taiwan.
Video dan foto aksi wanita cantik itu memotong dan menyiang ikan mendapat perhatian sehingga tular di beberapa platform media sosial terutamanya di Facebook, Instagram dan Whatsapp.
Menerusi akaun Facebooknya, Liu menyifatkan foto yang tular mengenainya sebagai sesuatu yang mengejutkan dan tidak disangka.
Menurut laporan media tempatan, keluarga model itu bertanggungjawab terhadap jawatan itu selama empat generasi.
Dalam kenyataannya kepada Daily Mail, Liu jujur, mengakui kejutannya terhadap reaksi rakyat, yang ‘luar biasa dan tidak dijangka’.
Kampung Kebeng merupakan sebuah kampung dalam gugusan kampung Belum Lama yang telah ditinggalkan setelah penduduknya diarah pindah oleh pihak kerajaan Malaya pada tahun 1947.
Setelah hutan Royal Belum ini diwartakan di bawah enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak pada tahun 2003, Kampung Kebeng ini bertukar wajah menjadi destinasi memancing khususnya bagi penggemar spesies ikan sungai pergunungan, kelah dan kejor.
Namun untuk ke Kampung Kebeng tidaklah semudah yang disangka kerana tiada sebarang pengangkutan melainkan perlu meredah denai hutan berbukit dan anak sungai berjeram sekitar 15 kilometer lengkap dengan permit dan juru pandu yang diiktiraf.
Aktiviti memancing di hulu Sungai Kejar ini telah lama diketahui oleh tiga orang ahli kelab perikanan rekreasi Aluminium Boat Casting atau Alucast.
Hanya setelah didorong oleh seorang lagi rakan ahli kelab yang akan menyertai trip bersama grup lain, barulah mereka bertiga berpeluang untuk turut serta.
Menyedari perihal laluan dan rintangan yang bakal dihadapi, sedikit sebanyak persiapan khususnya fizikal dilakukan sebelum menjayakan ekspedisi meredah hutan memburu kelah.
Ekspedisi selama lima hari empat malam hampir 30 orang peserta termasuk juru pandu dan porter bermula apabila berakhirnya perjalanan air di hilir Sungai Kejar.
Setelah menyelesaikan urusan permit di kem Sungai Kejar, perjalanan merentas kanopi hutan bermula dengan jalan berbatu tepi sungai yang mudah mencederakan otot jika tersilap langkah.
Begitu juga ketika meredah arus di sungai berbatu. Setelah melepas Sungai Ketir dan beberapa kawasan perkhemahan, ahli ekspedisi berehat dan bermalam dahulu di kawasan perkhemahan Kampung Kajang.
Mana-mana ahli ekspedisi yang masih bertenaga akan memulakan aktiviti memancing malam namun kebanyakannya melayan kepenatan dan mengumpul tenaga.
Keesokan paginya barulah kembali menyambung perjalanan sehingga tiba di Kampung Kebeng dengan trek perjalanan yang mampu membuatkan lidah terjelir hingga ke lutut.
Apa yang menarik, trek perjalanan yang digunakan merupakan trek yang sama digunakan oleh binatang liar dan kesan tapak-tapak kakinya boleh dilihat dengan jelas.
Di tapak perkhemahan Kampung Kebeng ini ahli-ahli ekspedisi akan berpecah menjadi kumpulan kecil bagi melakukan aktiviti memancing khususnya mencari spesies sasaran utama iaitu kelah merah.
Ada kumpulan yang mencuba di kawasan berhampiran tapak perkhemahan, ada yang mudik ke hulu dan juga yang turun ke hilir sungai.
Walaupun tidak banyak spesies kelah merah yang berjaya dijinakkan, namun pengalaman meredah hutan ini sangat berharga khususnya bagi tiga orang ahli Alucast dan sejurus selamat pulang dari ekspedisi sudah mula berkira-kira untuk melangkah lebih jauh lagi hingga ke hulu Sungai Merah.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...