21 Umpan Terbaik!!

Share

 

CUMIT

Jika di tengah laut, tiada umpan lain yang mampu menandingi cumit atau sotong jarum hidup bagi menjerat ikan-ikan gred A seperti ikan merah, jenahak, kerapu serta tenggiri.

Dalam trip bottom, cumit menjadi penanda kejayaan trip tersebut. Sekiranya berjaya memperoleh cumit dalam kuantiti yang mencukupi maka berpeluanglah untuk hasil pecah tong.

 

UMPUN-UMPUN

Umpan yang cukup sininom bagi pancingan pesisir pantai. Walaupun ia cukup popular bagi memancing gelama namun ikan daun baru, tebal pipi, tetanda dan jenahak turut sama boleh dipancing.

Dalam pancingan kelong atau rumah rakit, umpun-umpun merupakan umpan nombor satu yang wajib dibawa.

 

IKAN BELANAK

Boleh dianggap sebagai umpan terbaik bagi pancingan pantai atau pesisir. Sekiranya ingin memancing siakap, pari, kerapu atau jenahak maka jangan lupakan ikan belanak ini.

Selain digunakan sebagai umpan hidup, belanak juga boleh digunakan secara hirisan isi ikan. Isinya yang agak pejal dan kulit yang liat membolehkan ia bertahan dengan baik pada mata kail sehingga dimakan ikan.

 

IKAN TAMBAN

Umpan yang sangat berharga jika digunakan ketika ia masih hidup. Apa saja ikan pelagik atau pemangsa seperti tenggiri, talang, senangin atau jenahak jarang melihat saja umpan tamban melintas di depan matanya.

Malah ikan pemangsa bersaiz besar seperti ikan layaran turut menggemari aksi tamban hidup ini. Hirisan isinya juga sesuai digunakan sebagai umpan.

 

IKAN KEMBUNG

Ramai yang berasa sayang untuk menggunakan umpan ini ketika ia masih hidup. Tetapi jika inginkan strike dari layaran, tenggiri atau barracuda maka cangkuklah ikan kembung ini pada mata kail.

Selain digunakan sebagai umpan hidup, kembung juga boleh digunakan dalam keadaan segar dalam bentuk seekor mahupun secara hirisan. Keluarga ikan kembung yang lain seperti pelaling juga sangat efektif.

 

IKAN SELAYANG

Ikan selayang atau sardin merupakan antara umpan hidup yang popular di perairan Laut China Selatan. Ramai pemancing yang percaya jika memperolehnya hidup-hidup maka berpeluang cerah untuk mendapatkan ikan pemangsa.

Malah jika digunakan ketika ia masih segar ia turut berpeluang untuk memikat kerapu, merah, aruan tasik dan lain-lain lagi.

 

SOTONG KURITA

Boleh dikatakan umpan yang wajib ada bagi pancingan bottom di perairan Pelabuhan Klang. Namun di beberapa padang pancing yang berkongsi air yang sama (Selat Melaka), ia kurang digunakan kerana jarang mendapat sambutan dari pemangsa.

Sasaran tentu saja ikan jenahak, merah, kaci, kerapu, mahupun pari. Selain digunakan hidup-hidup, janggut atau jemarinya turut berkesan digunakan dalam keadaan segar.

 

UDANG LIPAN

Hanya pemancing dasar laut dalam saja yang biasa menggunakan umpan ini. Maka tidak hairan ramai juga pemancing tidak tahu udang jenis ini yang kurang isi boleh dijadikan umpan.

Ia sangat berkesan ketika ia masih hidup untuk menjerat kerapu, jenahak, merah, gerut-gerut serta pari terutamanya di perairan Selat Melaka.

 

KETAM NIPAH

Bila sebut saja umpan ketam atau ketam nipah pasti nama ikan ketarap atau bayan akan terkait dengan sendirinya. Namun ikan lain seperti kuku dan kerapu turut membaham umpan ini.

Namun saiz ketam yang digunakan perlulah bersaiz kecil. Jadi, tidaklah hairan sekiranya masih ramai pemancing yang belum pernah menggunakan ketam nipah sebagai umpan.

 

 

Published by
Amang