Diperairan negara kita sama ada air masin atau air tawar terdapat pelbagai spesies ikan dengan rupa dan bentuk tersendiri.
Setiap ikan itu ada kelebihan atau keistimewaan tersendiri bagi melindungi diri dari pemangsa lain.
Salah satunya ialah memiliki duri bersengat yang bukan sahaja membahaya kepada hidupan di air tetapi juga kepada manusia di darat.
1. PARI
Nama saintifik : Dasyatis spp
Nama umum : Stingray
Ikan pari merupakan ikan yang berbentuk leper dan sering berada pada dasar badan air. Ketika mengendalikan ikan pari, perhatian harus diberikan kepada bahagian ekornya.
Duri sengatan ikan pari yang terletak di sebalik ekornya sangat berbisa dan mampu memberikan kecederaan teruk. Sesetengah kes sengatan pari mampu membawa kepada kematian.
2.KETUKA
Nama saintifik : Himantura imbricata
Nama umum : Scaly whipray
Ikan ketuka mempunyai bentuk badan yang hampir sama dengan ikan pari. Namun saiz ikan ketuka lebih kecil dan ikan ketuka lebih mendiami kawasan berair payau.
Ikan ketuka juga mempunyai sengatnya di sebalik ekornya seperti pari. Sengat ikan ini mampu mendatangkan kecederaan yang teruk jika tidak dirawat.
3.IKAN DEBAM / DEBAM JALUR
Nama saintifik : Acanthurus lineatus
Nama umum : Lined Surgeonfish
Debam jalur merupakan ikan yang bersifat kewilayahan dan menghuni kawasan berbatu karang. Spesies ini biasanya berassa dalam kumpulan yang banyak.
Debam jalur juga merupakan spesies yang sentiasa berenang dan sering dijadikan sebagai ikan hiasan. Pada bahagian kaudal atau ekornya, terdapat duri yang agak berbisa dan mampu mendatangkan kecederaan jika terkena pada anggota badan.
4.TALANG
Nama saintifik : Scomberoides tol
Nama umum : Needlescaled queenfish
Ikan talang lampai dewasa biasanya berlegar di permukaan air dalam kawanan kecil. Ikan ini akan memburu ikan kecil sebagai makanannya.
Terdapat duri pada sirip dorsal dan sirip analnya yang sesetengahnya mempunyai toksin yang berbisa.
5.LOLONG BARA / SEBEKAH KARANG
Nama saintifik : Sargocentron cornutum
Nama umum : Threespot squirrelfish
Ikan lolong bara hidup di kawasan yang kaya dengan terumbu karang sehingga kepada kedalaman sedalam 40 meter.
Selalunya spesies ini bersembunyi di kawasan berbatu dan terlindung. Spesies ini biasanya menjadikan waktu malam sebagai masa memburu makanannya seperti udang dan ketam bentik.
Pada bahagian operkulumnya, terdapat duri yang berbisa dan mampu mencederakan jika terkena sengatannya.
6.BANDARAYA / IKAN CUCI CERMIN
Nama saintifik : Pterygoplichthys disjunctivus (Weber, 1991)
Nama umum : Vermiculated sailfin catfish
Ikan bandaraya merupakan ikan yang tidak dikehendaki tetapi turut mempunyai pelindungan duri dari pemangsa.
Ia jelas menunjukkan ikan ini turut menjadi mangsa kepada ikan lain walaupun pada pandangan mata manusia ia adalah ikan yang menjijikkan kerana memakan benda-benda kotor.
Sebagaimana ahli keluarga catfish lain, duri tajamnya itu tetap menyakitkan jika tercucuk padanya.
7.IKAN LEMBU / IKAN HELIKOPTER
Nama saintifik : Tripodichthys blochii (Bleeker, 1852)
Nama umum : Long-tail Tripodfish
Walaupun dinamakan ikan lembu (tidak dapat dipastikan dari mana datangnya nama lembu), saiz ikan ini tidaklah sebagaimana saiz lembu itu sendiri.
Ikan ini mampu membesar panjang sehingga 15cm sahaja. Objek seperti tanduk di atas kepalanya (mungkin dapat nama sempena tanduk lembu) ini merupakan senjata utama
ikan ini mempertahankan diri. Tidak pasti sama ada ia berbisa atau tidak tetapi tetap menyakitkan juga kalau terkena.
8.IKAN LIMBAT/ KELI LIMBAT
Nama saintifik: Clarias nieuhofii
Nama umum: Slender walking catfish
Ikan limbat atau keli limbat ini biasanya lebih besar berbanding keli kampung. Habitat utama ikan ini di kawasan berpaya dan berlumpur termasuk tali air dan sawah padi.
Ikan limbat mudah dibezakan kerana warna berlainan berbanding keli biasa. Biasanya badan keli limbat mempunyai bintik-bintik kuning.
Terdapat juga limbat yang berwarna kuning sepenuhnya. Dan ia juga mempunyai duri bersengat sebagaimana ikan keli.
9.SEMBILANG
Nama saintifik : Plotosus canius
Nama umum : Gray-eel catfish
Ikan sembilang terkenal bagi kebanyakan kaki pancing yang gemar memancing pesisir pantai. Bentuknya badannya tidak bersisik dan licin.
Selain itu, ikan sembilang juga mempunyai rasa yang agak sedap. Ketika mengendalikan spesies ini, kita perlu berhati-hati dengan sengat atau duri pada bahagian dorsal dan juga sepasang duri pektoralnya.
Sengatan sembilang agak berbisa dan mampu mendatangkan rasa berdenyut dan sakit berterusan jika tidak dirawat segera.
BAUNG
Nama saintifik : Mystus nemurus
Nama umum : River catfish
Ikan baung sentiasa menjadi antara spesies kegemaran bagi pemancing air tawar. Selain sesuai dijadikan hidangan, memancing baung juga mempunyai tarikan tersendiri.
Ikan baung juga mempunyai duri yang tajam dan mampu mencederakan jika tidak berhati-hati. Duri sengat ikan baung terletak pada sirip dorsal dan juga sirip pektoralnya.