Dua jenis teknik memancing dipratikkan oleh nelayan masa kini ialah teknik umpan segar dan teknik bulu apollo.
Kedua-dua teknik ini memerlukan kemahiran serta pengamatan yang baik jika inginkan hasil yang lebih.
Teknik Umpan Segar
Pertama kali cuba memancing spesies ini, saya gagal untuk mendapatkan hasil yang positif berikutan jahil tentang teknik memasang umpan dengan betul. Sedangkan tekong asyik mengena.
Pada mulanya saya yakin dengan cara memasang umpan yang biasa diamalkan seperti kaedah memasang hirisan sotong, namun apabila memerhatikan dan diberi tunjuk ajar oleh tekong baru saya sedar perbezaan yang amat ketara.
Saya buat penilaian di mana kumpulan kami memancing menggunakan umpan dan saiz mata kail yang sama, tempat dan masa yang sama, tetapi keputusannya saya mendapat lebih dari 20 ekor berbanding 5 ekor yang memasang umpan dengan cara biasa.
Setelah yakin dan ulangi di lokasi yang berlainan, perbezaan hasil amat ketara walaupun tidak semua spesies yang bolot umpan adalah cermin.
Ia juga menjadi pilihan ikan karang dan pelagik yang tertarik dengan persembahan umpan tersebut.
Rahsianya ialah teknik yang betul mampu mengelakkan umpan berbelit dengan tali perambut utama.
Jika ini berlaku, seharian tunggu tiada cermin yang sudi dengan umpan anda.
Umpan segar paling digemari oleh ikan cermin ialah hirisan sotong, kembong (bukan pelaling), selayang dan selar.
Hirisan ikan segar ini mesti digabungkan dengan teknik memasang umpan yang betul agar ia dapat memberi persembahan yang optimum.
Biasanya hirisan ikan mati dihiris memanjang setiap sebelah bahagian. Hirisan ini kemudiannya dipotong memanjang dua atau 3 bahagian merujuk kepada saiz umpan dan mata kail itu sendiri.
Ada dua kaedah mengunakan umpan, pertama mengunakan bulu / benang hijau sebagai penarik dan satu lagi umpan sahaja tanpa benang hijau.
Keduanya boleh diterima pakai tetapi saya lebih gemar mengunakan teknik pertama. Selain itu anda boleh dapatkan apollo yang saiz di kedai bersaiz 20/40 paun tangsi berwarna putih.
Pastikan umpan dicangkuk bersesuaian dengan saiz mata kail Apollo.
Teknik apollo tali rafia
Tidak semua warna tali rafia menjadi tarikan ikan ini. Saya mengunakan benang hijau gelap untuk apollo biasa dan campur umpan.
Jika mengunakan tali rafia sahaja, warna pilihan ialah hijau muda/cerah dan yang berkilat.
Saya berpeluang menilai serta mengujinya ketika memancing di Pulau Redang. Duduk bersebelahan dengan tekong yang cukup berpengalaman memancing cermin dan jemuduk mengunakan tali rafia sahaja.
Saya memilih teknik benang hijau campur hirisan ikan selar serta selayang. Nampak gaya ikan cermin lebih berminat dengan tali rafia hijau di mana kadar ialah 7:3 berbanding saya yang pakai umpan.
Jika menggunakan teknik tali rafia ia hendaklah dihenjut lembut sebaik sahaja mencecah dasar dan beberapa detik kemudian ditarik laju ke atas.
Setengah ikan menyambar ketika ia mencecah dasar, ada yang menyambar ketika henjutan dibuat dan ada masa ia menyambar ketika dikarau ke atas.
Teknik ini memerlukan kerajinan seperti yang biasa kita amalkan ketika mencari umpan dengan apollo dan teknik jigging.
Selain tali rafia, bulu berwarna putih (bulu itik atau ayam putih) menjadi pilihan sebelum tali rafia mengambil alih tempat atas dasar ketahanan dan mudah diperolehi.
Bulu yang sama juga biasa digunakan untuk menjerat cencaru dan gerepoh.