BERIKUT DISENARAIKAN 16 SPESIES IKAN SUKAN (GAMEFISH) AIR MASIN YANG POPULAR YANG TERDAPAT DI PERAIRAN NEGARA KITA.
IA DISENARAIKAN SECARA RAWAK TANPA MENGAMBIL KIRA KEKUATAN ATAU KEPOPULARANNYA.
9. TENGGIRI
Nama saintifik : Scomberomorus commerson
Nama umum : Barred Spanish mackerel, Narrow-barred Spanish mackerel
Nama tempatan : Tenggiri, Tenggiri batang
Persekitaran biasa bagi spesies tenggiri ialah pelagik-neritik iaitu zon perairan berhampiran pantai dengan kedalaman tidak melebihi 200M. Dengan bentuknya seakan torpedo, ia mempunyai daya pecutan yang tinggi dan merupakan pemangsa yang ganas.
Tenggiri merupakan ikan yang bermigrasi antara lautan atau oceanodromous.
Tenggiri akan berlegar di kawasan perairan dengan tahap saliniti rendah dan keadaan air yang agak keruh. Spesies ini biasanya bergerak solo ketika memburu ikan-ikan kecil di perairan cetek dan bercerun. Diet utamanya ialah ikan kecil, udang dan sotong.
10. AJI-AJI
Nama saintifik : Seriola dumerili
Nama umum : Greater amberjack
Nama tempatan : Aji-aji, Aji-aji jalur kuning
Aji-aji merupakan antara spesies yang terkenal di kalangan pemancing ikan sukan kerana ketangkasan dan kekuatannya. Spesies ini mendiami kawasan perairan yang mempunyai terumbu karang.
Ia juga ikan yang bermigrasi dan bersifat oceanodromous. Warna badannya perang kebiruan dan berwarna perak keputihan pada bahagian bawah.
Biasanya aji-aji berlegar di kawasan karang yang dalam dan jarang berada dekat dengan kawasan pesisir.
Spesies aji-aji juvenil sentiasa berlegar pada tumbuhan akuatik dan biasanya berenang berkumpulan. Pun begitu, terdapat juga yang berenang secara solo.
11. EBEK
Nama saintifik : Alectis ciliaris
Nama umum : African pompano, Threadfin trevally, Pennantfish
Nama tempatan : Ebek, Rambai ebek, Cermin
Spesies ebek gemar berlegar di kawasan terumbu dan biasanya dijumpai di kawasan dengan kedalaman 60-100M. Badannya nipis dan berwarna perak bercahaya kebiruan serta kehadiran bintik hitam pada operkulumnya.
Bagi ebek juvenil pula terdapat unjuran filamen yang panjang.
Mendiami kawasan pelagik-neritik dan ebek dewasa juga kadang-kadang berlegar di bahagian dasar. Diet utamanya pula terdiri daripada krustasia bergerak perlahan namun ikan kecil dan ketam juga menjadi buruannya.
12. TALANG
Nama saintifik : Scomberoides commersonnianus
Nama umum : Queenfish, Talang Queenfish, Leatherskin
Nama tempatan : Talang, Talang lima jari, Bekalang
Tergolong dalam keluarga Carangidae iaitu bagi jenis Jack dan pompanos, ikan talang juga antara spesies ikan sukan yang ada di Malaysia.
Talang biasanya bergerak dalam kumpulan kecil dan mendiami kawasan pantai berhampiran terumbu dan pesisir kepulauan. Diet utamanya terdiri daripada ikan kecil organisma di kawasan terumbu.
Talang berwarna kehijauan gelap di bahagian dorsal dan perak di bawah. Talang bersifat amphidromous, iaitu bermigrasi dari laut ke sungai namun bukan untuk mengawan tetapi berlaku pada fasa tertentu kitaran hidupnya.
13. SAGAI
Nama saintifik : Ulua mentalis
Nama umum : Longrakered trevally, Cale-cale trevally
Nama tempatan : Sagai, Cermin, Sagai mulut hitam
Sagai hidup di perairan iklim tropika di mana kawasan marin yang mempunyai terumbu karang. Warna badan atasnya agak hijau kebiruan manakala bahagian bawahnya pula berwarna perak bercahaya.
Ukuran panjang sagai biasanya sekitar 60 cm dari kepala ke ekor, namun ia mampu mencecah sehingga 100 cm.
Sagai biasanya boleh dijumpai di kawasan perairan pantai. Bagi anak atau juvenil spesies sagai, biasanya menjadikan krustasia bentik atau dasar sebagai dietnya manakala bagi sagai dewasa, ikan kecil serta krustasia menjadi hidangan utamanya ketika memburu.
14. SUSU
Nama saintifik : Chanos chanos
Nama umum : Milkfish, Bangus
Nama tempatan : Susu, Nenen
Ikan susu biasanya mendiami persekitaran benthopelagic, iaitu di kawasan pertengahan hingga ke dasar. Ianya juga mempunyai kadar toleransi saliniti yang tinggi dan mampu hidup di air payau.
Spesies mempunyai bentuk badan memanjang, bermulut kecil dan tidak bergigi. Juvenil akan membesar di sungai dan kembali ke laut setelah dewasa.
Ikan susu bergerak berkumpulan di kawasan terumbu dan diet utama ikan ini ialah cyanobacteria, alga, invertebrata bentik serta telur dan larva ikan pelagik. Ikan susu terkenal sebagai ikan sukan terutama di kalangan penggiat fly-fishing.
15. SIAKAP
Nama saintifik : Lates calcarifer
Nama umum : Barramundi, Asian seabass
Nama tempatan : Siakap, Kakap, Kakap/Siakap putih
Siakap atau nama saintifiknya Lates calcarifer merupakan antara spesies yang popular di kalangan pemancing serata dunia. Siakap merupakan spesies catadromous iaitu kebanyakan masanya mendiami kawasan sungai namun berhijrah ke kawasan laut untuk mengawan.
Spesies ini biasanya mendiami kawasan air payau terutama kuala-kuala sungai. Bersifat pemangsa, siakap gemar menyerang anak-anak ikan dan udang yang merupakan diet utamanya.
Kuasa tentangannya pula tidak mengecewakan dan ia dikatakan agak bijak untuk dijerat di samping berupaya memutuskan perambut dan tali utama menggunakan operculum di pipinya yang tajam.
16. BULAN
Nama saintifik : Megalops cyprinoides
Nama umum : Indo-Pacific tarpon, Tarpon, The Silver King
Nama tempatan : Bulan, Bulan-bulan
Spesies Megalops cyprinoides ini mampu hidup dalam keadaan perairan air payau disebabkan kadar toleransi salinitinya yang tinggi. Spesies ini hidup di bahagian benthopelagic dan bersifat amphidromous.
Bulan dewasa biasanya ditemui di lautan manakala juvenil pula membesar di muara atau sungai berbakau.
Ikan ini berwarna perak bercahaya. Spesies ini menjadikan krustasia dan ikan kecil sebagai diet utamanya.
Bulan mempunyai sisik dan rahang yang kuat dan gemar membuat aksi lompatan akrobatik ketika bertarung untuk melepaskan dirinya daripada tancapan mata kail. Ia juga merupakan antara spesies ikan sukan yang popular.