Tidak banyak yang diketahui tentang spesies ini. Begahak (Belodontichthys dinema) mempunyai bentuk badan yang unik seperti tapah dan lais. Ia terkenal sebagai hidangan bagi kaum Cina dan sentiasa mendapat permintaan yang tinggi.
Taburan lokasi spesies ini sering dikaitkan dengan di sepanjang Sungai Pahang di semenanjung selain di Sabah dan Sarawak serta Borneo. Tidak ada maklumat muktahir mengatakan wujudnya begahak di sungai-sungai lain di semenanjung.
Ia mendiami habitat sungai yang sederhana luas dan luas serta tinggal di kawasan yang berkedalaman tinggi serta pertengahan. Ia diketahui gemar memakan ikan-ikan kecil di permukaan sebagai diet utama.
Ads
TAPAH
Nama saintifik : Wallgo attu
Nama umum : Giant River Catfish, Wallgo, Lanchi
Nama tempatan : Tapah
Ads
Tapah merupakan antara spesies ikan air tawar gergasi. Ikan ini hidup di kawasan dasar sungai besar serta berlumpur. Spesies tapah juga terkenal dengan sifat pelahapnya dengan memakan ikan yang lebih kecil, krustasia dan moluska sebagai diet utama.
Ini menyebabkan ia mampu membesar mencecah sehingga 8 kaki panjang. Terdapat juga mitos yang terkenal ialah spesies ini mampu menyambar monyet atau kera yang bergayut dari permukaan air.
Selain itu, bandar Tapah di Perak juga mengambil nama sempena spesies ganas ini memandangkan ia sering muncul di kawasan sungai-sungai di Perak.
KENERAK
Nama saintifik : Bagarius bagarius
Ads
Nama umum : Devil catfish, Goonch
Nama tempatan : Kenerak, Hantu, Baung Bodoh, Baung Askar
Kenerak (Bagarius bagarius) atau baung kenerak antara spesies yang unik. Ia unik kerana warna badannya coklat kehijauan dan bertompok-tompok seakan pakaian askar. Selain itu, rupanya juga dikatakan agak menakutkan.
Namun begitu, Ia tetap menjadi buruan kerana sifat melawan serta rasanya yang sedap lantas mendapat permintaan yang tinggi. Kenerak biasanya mendiami kawasan yang berarus deras dan berjeram di celah-celah batu dan kayu.
Bagi saiz dewasa ia tinggal di kawasan yang dalam serta luas atau sederhana luas. Walaupun laporan dari luar negara menunjukkan kenerak bersaiz mega, namun di Malaysia, kenerak bersaiz belasan kilogram sudah semakin sukar ditemui melainkan saiz biasa.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pacu atau nama saintifiknya Colossoma macropomum merupakan spesies ikan air tawar yang mempunyai daya pecutan dan larian yang sangat deras dan kuat.
Pemecut deras ini cukup digemari di kalangan kaki pancing kerana keupayaannya larian derasnya yang mampu membuatkan kaki pancing mengeluarkan tenaga yang lebih untuk mengekangnya biarpun saiz yang biasa-biasa sahaja.
Di Malaysia, spesies ikan daripada keluarga Serrasalmidae ini bukanlah spesies natif di sini, namun hari ini, pacu boleh dipancing di merata-rata tempat.
Spesies dari susur galur piranha ini gemar memakan umpan dan melakukan pecutan deras secara tiba-tiba hinggakan membuat kaki pancing yang tidak bersedia akan terpinga-
pinga, lebih-lebih lagi andai hanya mampu melihat set pancing sendiri membuat terjunan tiruk ke dalam air.
Jarang sekali kedengaran spesies pacu dijadikan juadah yang enak di kalangan pemancing Malaysia, namun spesies yang berasal dari Amazon ini kerap dijadikan spesies target dek kerana kekuatan pecutannya.
Tanyalah mana-mana kaki pancing, pecutan menakjubkan si peragut akuatik ini pastinya menjadi sebab utama untuk pemancing menghulur umpan untuk diratah oleh spesies rakus ini.
TABURAN SPESIES
Spesies pacu boleh ditemui di kawasan natif mereka iaitu di Amerika Selatan. Spesies yang lebih dikenali dengan nama tambaqui di sana boleh ditemui dihampir kebanyakan
Lembah Amazon dan Lembah Orinoco. Kedua-dua lembah atau lembangan ini merangkumi negara seperti Colombia, Brazil, Peru dan Bolivia.
Begitu pun, hari ini spesies ini boleh ditemui di beberapa buah benua lain dengan status ikan alien yang mana spesies ini dibawa masuk dan diperkenalkan sama ada sengaja atau tidak sengaja di kawasan perairan lain terutama di negara Asia dan Asia Tenggara.
MORFOLOGI
Bagi morfologi spesies pacu, bentuk am spesies ini hampir menyerupai spesies ikan piranha malahan kadangkala sering kali disalah anggap sebagai spesies karnivor itu.
Bagi seekor ikan pacu, kebanyakannya lebih tinggi jika diukur badannya berbanding piranha selain mempunyai badan yang lebih menipis dan mampat secara lateralnya.
Bahagian matanya pula agak besar selain mempunyai bentuk yang sedikit melengkung sudutnya di bahagian belakang berbanding piranha.
Warna badannya pula biasanya berwarna kelabu hingga hitam bermula daripada bahagian atasnya dan beransur pudar apabila menghampiri kawasan bawah perut dan kepalanya menjadi warna putih atau merah.
Spesies ini juga mempunyai sirip adipos dan kesemua sirip berwarna hitam selain sirip pektoral yang agak kecil.
Selain itu, antara ciri-ciri utama seekor pacu yang sering kali diperkatakan oleh pemancing ialah bahagian giginya.
Pacu mempunyai set gigi yang agak unik berlainan daripada ikan lain. Set gigi pacu agak besar dan lebih menyerupai set gigi geraham milik manusia.
Gigi ini menjadi ancaman utama untuk memutuskan perambut lantas mengecewakan ramai pemancing.
Spesies pacu mempunyai daging yang padat dan hanya 10% daripadanya merupakan lemak.
Saiz normal ikan ini mampu mencapai panjang sehingga 1 meter dan berat 20 kg, tetapi dalam persekitaran tertentu mampu mencapai berat hingga 40 kg.
Rekod tangkapan pacu menggunakan pancing yang diiktiraf IGFA pula dipegang oleh Jorge Masullo de Aguiar dari Brazil dengan tangkapan seberat 32.4kg.
HABITAT DAN EKOLOGI
Bagi C. macropomum, secara biologi spesies ini lebih gemar bergerak secara solo. Habitat utama bagi pacu ialah alur sungai utama, kawasan tadahan banjir, empangan serta kawasan tasik.
Jika musim banjir, spesies ini akan bergerak ke kawasan yang mempunyai tumbuhan terutama bagi juvenil kerana kawasan ini lebih selamat daripada pemangsa serta mempunyai sumber makanan yang banyak.
Jadi, spesies ini cenderung untuk memilih kawasan habitat yang tak terlalu dalam, berarus perlahan dengan banyak tumbuhan akutatik di sekitarnya.
Pacu merupakan spesies ikan air tawar dan tidak toleran kepada saliniti yang tinggi. Saliniti melebihi 10ppt akan mengakibatkan ketidakseimbangan parameter hematologi seperti kadar pertukaran makanan, berat dan kadar tumbesaran.
Jika terdedah kepada salitini lebih 10ppt, kemungkinan besar spesies ini akan mati.
Begitu pun, pacu mempunyai kadar survival air tawar yang agak kuat selain mempunyai daya resistan yang tinggi terhadap penyakit.
Jika dalam persekitaran air yang mempunyai oksigen terlarut yang rendah, pacu mampu mengambil udara secara terus di permukaan.
DIET
Pacu merupakan spesies ikan maserba yang memakan apa sahaja. Namun, dalam ekologi semula jadi, pacu akan menjadikan zooplankton, serangga, siput dan tumbuhan akuatik yang mereput atau mati sebagai diet utama.
Pacu juga menjadikan buah-buahan dan biji benih daripada tumbuhan berdekatan sebagai dietnya.
KEPENTINGAN HUBUNGAN DENGAN MANUSIA
Di dalam sektor akuakultur, pacu atau tambaqui ini merupakan spesies yang agak penting di beberapa buah negara kerana keupayaannya hidup dalam persekitaran air yang rendah kualitinya selain daya resistan yang tinggi terhadap penyakit.
Spesis ini diternak secara komersil untuk dipasarkan secara sejuk beku atau segar. Antara negara yang mempunyai kepentingan ekonomi bagi spesies ini ialah Brazil dan Thailand.
TAKSONOMI
Kingdom : Animalia
Phylum : Chordata
Class : Actinopterygii
Order : Characiformes
Family : Serrasalmidae
Genus : Colossoma (C. H. Eigenmann & C. H. Kennedy, 1903)
Peminat sukan memancing di Malaysia wajib tahu dan kenal spesies ini. Spesies pemangsa air tawar ini bolehlah ditabalkan sebagai pemangsa teratas dalam rantaian makanan dan antara spesies air tawar yang kuat dan ganas.
Aksi ganas, kekuatan dan stamina ikan ini cukup membuatkan kaki pancing berpeluh untuk mendaratkannya.
Dengan bentuk kepala seperti ular yang besar, spesies Channa micropeltes atau giant snakehead merupakan spesies yang cukup sinonim dengan kebanyakan kaki pancing di Malaysia.
Tidak syak lagi sesiapa saja yang mempunyai hobi memancing atau mengilat ikan air tawar, pasti akan kenal dan sedia maklum akan kerakusan sang toman dalam pertarungan.
Secara global, ikan toman lebih dikenali sebagai giant snakehead. Tergolong dalam famili Channidae, sama sebagaimana haruan dan bujuk namun toman mampu membesar sehingga saiz trofi.
Ikan toman juga merupakan salah satu spesies natif atau spesies ikan asal di Malaysia.
Taburan spesies
Taburan ikan sangat meluas terutama di kawasan Asia Tenggara. Bagi kebanyakan lokasi di Asia Tenggara, ikan toman merupakan spesies natif kepada tempat ini.
Lembah Sungai Mekong dan Chao Phraya, Semenanjung Malaysia, Borneo dan Sumatera merupakan antara kawasan yang mempunyai taburan ikan toman.
Selain itu, ikan toman terdapat di Eropah dan Amerika Syarikat walaupun bukan merupakan spesies asal.
Oleh sebab kesan daripada aktiviti manusia yang memperkenalkan spesies ini ke perairan mereka, beberapa tempat dikatakan telah didominasi oleh spesies ini.
Antara kawasan tersebut termasuklah Wisconsin, Maryland dan Virginia.
Habitat dan ekologi
Ikan toman merupakan spesies yang hidup di persekitaran air tawar. Toman biasanya boleh dijumpai di sungai-sungai bertanah rendah, paya, tasik dan terusan.
Bagi toman juvenil, biasanya akan bergerak dan memburu makanan secara berkumpulan.
Bagi kebanyakan kaki di Malaysia, lokasi utama mencari toman ialah seperti tasik semula jadi, tasik buatan, sungai-sungai, lombong atau paya yang terbiar.
Toman juga gemar pada kawasan berarus perlahan dan dalam.
Morfologi dan biologi
Seperti ramai yang sedia maklum, anak-anak toman atau fri toman berwarna merah dan bergerak berkumpulan.
Pergerakan ini biasanya oleh sepasang induk toman atau lebih bagi mengelakkan anak-anak ini menjadi mangsa serangan kepada ikan atau pemangsa lain.
Selepas lebih kurang dua bulan, warnanya akan berubah menjadi oren dengan jalur hitam akan muncul pada garisan lateral.
Apabila semakin membesar, ikan toman akan kehilangan warna merah dan jalurnya akan pecah dan akan menghasilkan corak seakan batik pada badannya.
Warna merah pada badannya akan hilang dan akan menjadi warna biru kehitaman pada bahagian atas ikan ini.
Ikan toman merupakan spesies yang paling agresif berbanding 35 spesies snakehead yang lain. Spesies ini juga boleh membesar sehingga mencapai panjang lebih 2 meter dan berat mencecah 20 kg.
Selain mempunyai barisan gigi yang tajam seperti pisau, ia turut memiliki rahang yang sangat kuat. Paduan gigi dan rahang toman ini merupakan senjata yang menggerunkan.
Ikan toman biasanya memburu ikan yang lebih kecil daripadanya sebagai diet makanan utama.
Selain ikan, toman juga kadangkala menjadikan krustasia dan haiwan amfibia sebagai dietnya.
Apabila musim mengawan, ikan toman akan memilih kawasan yang mempunyai tumbuhan akuatik yang agak banyak sebagai tempat melepaskan telur.
Pemburu berkepala ular yang agresif
Ketika memburu mangsanya, toman akan membengkokkan dirinya seperti huruf S sebelum melakukan pecutan dengan menghentam mangsanya.
Mulutnya yang siap dengan barisan gigi tajam akan membaham mangsanya. Kekuatan rahangnya juga memberikan impak yang lebih kuat semasa membaham mangsanya.
Secara kasarnya, ikan toman boleh memberikan satu imaginasi yang agak menakutkan. Dengan sepasang rahang kuat dan dibarisi dengan gigi tajam serta berbadan tegap dan
padu, cukup memberikan impak sebagai pemangsa yang rakus. Apatah lagi dengan kepala berbentuk ular dan corak pada badannya menambahkan lagi kegerunan pada spesies ini.
Walaupun terkenal dengan kerakusan dan sifat agresifnya, ikan toman merupakan induk yang sangat baik.
Sepasang induk (kadangkala lebih) akan menjaga sarang tempat penetasan telur dan akan menjaga serta mengawasi anak yang baru menetas.
Induk ini akan menyerang dan bertindak lebih agresif ketika proses menjaga anak-anaknya.
Ia akan menjaga sehingga anak-anaknya cukup dewasa untuk hidup sendiri atau sehingga musim mengawan berikutnya.
Ikan belanak bukanlah satu nama asing bagi masyarakat kita. Apatah lagi bagi seorang pemancing. Selain menjadi ikan buruan, belanak juga popular sebagai ikan umpan.
Dalam erti kata lainnya, ikan belanak merupakan spesies penting industri perikanan. Ia diburu untuk sumber protein, dijadikan umpan memancing khususnya pancingan muara
dan kolam air masin, dan belanak bersaiz besar pula diburu oleh penggemar pancingan rekreasi.
Menurut kajian dalam sains perikanan, terdapat beberapa spesies ikan belanak dan ada di antaranya yang boleh membesar melebihi berat satu kilogram.
Dan sub-spesies belanak yang mampu membesar panjang ini boleh dipancing melalui teknik yang betul.
Terdapat dua kategori fizikal belanak dan dikenal pasti melalui lebar dan panjang badan. Belanak yang mempunyai badan lebih pendek tetapi lebar,
ia lebih dikenali sebagai kedera. Manakala saiznya tidak begitu besar berbanding belanak yang nipis tetapi panjang bentuk badannya.
Belanak yang memiliki badan panjang serta tegap umpama torpedo yang mampu membesar melebihi satu kilogram ini dikenali sebagai tamok.
Selain tamok, ia juga dikenali dengan nama puting damar, kedera, andeng dan belanak. Tamok atau nama umumnya squaretail mullet, merupakan ahli keluarga ikan Mullets dengan membawa nama saintifik Liza vaigiensis.
MORFOLOGI
Secara morfologi, ikan tamok mempunyai warna asas kekuningan di hujung ekor, sirip dorsal dan sirip pelvik.
Warna kuning juga kelihatan terserlah di bahagian atas badan yang di selaputi sisik keras.
Badan tamok dibarisi enam jalur kehitaman pada sisik tetapi warna putih kekuningan lebih mendominasi keseluruhan badannya.
Tamok adalah jenis ikan bergigi halus (atau tiada gigi sama sekali). Bahagian atas kepalanya lebar dan asas warna gelap.
Tamok mahu pun belanak amat peka pada keadaan sekeliling. Sifat pemalu dan takut pada kehadiran manusia lebih-lebih lagi di persekitaran air jernih.
Sebagaimana keluarga ikan belanak, tamok juga bermulut kecil dan tabiat makan secara mengutis. Ini boleh dilihat tabiat peri lakunya di kawasan tiang jeti atau jambatan yang kaya dengan sumber makanannya.
HABITAT
Tumpuan utama ikan tamok ialah kawasan muara sungai dengan tahap kemasinan tinggi. Ia lebih mudah ditemui di kawasan lagun, kawasan pinggir pantai berbatu nipis atau
karang tompok, kawasan dataran pasir dan benting pantai, kuala sungai serta kawasan bakau.
Lokasi tumpuan tamok ialah kawasan air cetek dan tempat-tempat yang memiliki alga dan rumpai laut yang banyak.
Selalunya bergerak dalam kumpulan kerana belanak mahupun tamok sering menjadi mangsa buruan ikan pelagik dan demersel.
Tamok banyak menghabiskan masa bermain dan bergerak di kawasan permukaan air.
Ia gemarkan persekitaran yang jernih airnya dan kebolehan tamok menyesuaikan diri atau menyamar agar seperti tidak kelihatan memberi kelebihan dari segi serangan dari ikan pemangsa terutama siakap, alu-alu dan lain-lain.
Ikan tamok juvernil mudah ditemui di kawasan bakau dan anak sungai. Ia akan keluar dari habitat ini apabila saiznya matang.
Tamok adalah ikan yang aktif pada siang hari dan waktu malam ketika perubahan arus. Pergerakan ikan tamok pula dipengaruhi oleh pasang surut dan waktu puncak ia aktif ialah
ketika air bunga pasang menjelang matahari mula terbernam, di mana ikan-ikan keluarga belanak akan bergerak berhampiran dengan gigi air.
Satu perkara sisi yang hebat tentang belanak dan tamok ini ialah kemampuan mereka membuat loncatan dan ini boleh dilihat apabila belanak diburu oleh ikan besar.
Dalam erti kata lain, sekiranya anda melihat kelibat ia melompat keluar dari air maka segeralah membuat persiapan untuk memburu spesies pemangsa pula.
Taksonomi:
Kingdom : Animalia
Phylum : Chordata
Subphylum : Vertebrata
Class : Actinopterygii
Order : Perciformes
Suborder : Mugiloidei
Family : Mugilidae
Genus : Liza
Species : Liza vaigiensis (Ellechelon vaigiensis, Quoy & Gaimard, 1825)
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...