Bagi pemancing air tawar, masing-masing mempunyai ikan sasaran bergantung kepada kecenderungan teknik memancing. Ada yang sanggup berhabis wang dan tinggal di hutan semata-mata mahu mendapatkan spesies yang dicari.

 

Negara kita sendiri kaya dengan spesies ikan air tawar yang bernilai, tidak kira daripada segi harga pasaran, nilai kekuatan pertarungan ataupun kepuasan tersendiri saat menaikkan spesies yang sukar dipancing.

Kami menyenaraikan 15 spesies ikan air tawar yang menjadi sasaran rata-rata pemancing di Malaysia.

 

TOMAN

Nama saintifik : Channa micropeltes

Nama umum : Giant snakehead, giant mudfish

Nama tempatan : Toman

 

 

Spesies toman boleh dikatakan spesies ikan sukan air tawar yang wajib dibanggakan oleh pemancing Malaysia. Keupayaan dan kehebatannya dalam pertarungan serta sifat ganasnya menjadikan toman spesies yang didambakan tanpa jemu.

Toman dengan mudah boleh mencapai saiz sepanjang satu meter. Setiap kawanan anak toman yang masih merah biasanya dijaga oleh sepasang induk sehinggalah mereka membesar dan pecah jalur di badannya.

Ia sangat sensitif dan agresif terutama ketika menjaga kawanan anak-anaknya. Diet utama bagi pemangsa karnivor ini ialah ikan dan udang. Habitat toman biasanya di kawasan tasik di mana terdapat sambungan sumber aliran sungai.

Ikan toman wajar diangkat sebagai ikon game-fish untuk spesies tempatan di negara. Sayangnya, tidak ramai pihak yang melihat situasi ini dan hanya tahu membasmi spesies toman daripada habitat tertentu.

 

 

Tip memancing

Pancingan dasar dengan menggunakan umpan hidup seperti anak ikan keli, anak sebarau, katak atau anak ikan kap. Gunakan perambut yang lebih kasar kerana kombinasi daya libas dan giginya yang tajam mampu memutuskan tali.

Bagi kaki mengilat, spesies wajib ini menjadi sasaran. Pelbagai jenis gewang termasuk soft plastic boleh digunakan dengan kombinasi teknik yang sesuai seperti twitch, jerk, popping dan sebagainya bagi persembahan gewang.

Apa yang pasti, jika terjumpa toman bawa anak, mungkin lebih mudah gewang anda disambarnya.

 

TENGAS

Nama saintifik : Neolissochilus hexagonolepis

Nama umum : Copper mahseer

Nama tempatan : Tengas, kejor

 

 

Rupa bentuknya hampir menyerupai spesies kelah, namun jika diteliti lebih dekat, spesies tengas atau kejor (Neolissochilus hexagonolepis) tidak mempunyai cuping median bibir yang tebal seperti mana kelah pada bahagian mandibel atau rahang bawahnya.

Tengas merupakan spesies omnivor dan diet utama ialah serangga, buah-buah hutan dan krustasia. Habitat tengas mudah dijumpai di kawasan sungai pergunungan dan hulu sungai.

Oleh kerana ia memerlukan habitat air yang beroksigen tinggi, kawasan badan air yang mengalir deras dan berbatu seperti jeram merupakan habitat sesuai baginya. Spesies ini juga mempunyai nilai yang tinggi baik sebagai hidangan mahupun ikan sukan memancing.

 

 

Tip memancing

Penggunaan umpan sawit masak atau sawit peram amat popular selain daripada penggunaan cacing, cengkerik, buah neram, buah ara, ubi kayu atau isi ikan sebagai umpan.

Gunakan mata kail bersaiz kecil. Jika anda gunakan sawit sebiji, gunakan 6 hingga 9 mata kecil dan lilit dan cangkukkan pada biji sawit tadi.

Bagi teknik mengilat tengas di kawasan sungai pergunungan, penggunaan sesudu berkilat dengan skema warna emas dan perak masih menjadi pilihan utama.

 

SEBARAU

Nama saintifik : Hampala macrolepidota

Nama umum : Hampala barb, Jungle perch

Nama tempatan : Sebarau, Badong (saiz besar)

 

 

Spesies ini mendapat jolokan ‘serigala’ bagi sesetengah kaki pancing mengilat akibat pecutannya yang laju, lincah dan agresif malah mampu meluruskan mata kail.

Sebarau (Hampala macrolepidota) merupakan spesies sasaran paling utama bagi mana-mana kaki pancing terutama pengilat di Malaysia.

Sebarau biasanya memilih kawasan berarus deras dan berbatu atau di celah-celahan tunggul atau kayu sebagai tempat bersembunyi dan mencari makanan.

 

Ia mudah dikenali dengan melihat jalur hitam menegak di badannya yang berkilau. Jalur ini akan hilang apabila sebarau membesar sekitar 3 kg, dan tatkala inilah ia digelar badong.

Sebarau akan naik ke hulu untuk senyawakan telur apabila tiba musimnya. Di Malaysia, Tasik Kenyir dan Royal Belum antara lokasi terbaik memburu sebarau pada setiap hujung tahun. Dalam keseronokkan memburunya, perlu sematkan konsep bag limit.

 

 

Tip memancing

Untuk pancingan dasar, umpan hidup seperti anak ikan sesuai untuk memancing sebarau. Namun begitu, penggunaan cengkerik dan cacing juga boleh. Namun bagi pemancing tegar, menggunakan gewang, sesudu adalah terbaik untuk mendapatkan spesies ini.

Musim monsun, awal pagi dan lewat senja adalah waktu terbaik untuk casting. Manakala pilihan gewang dan sesudu perlu pelbagai mengikut lokasi dan cuaca, kerana sebarau mendiami hampir semua lokasi sungai dan tasik di negara ini.