Bagi pemancing air tawar, masing-masing mempunyai ikan sasaran bergantung kepada kecenderungan teknik memancing. Ada yang sanggup berhabis wang dan tinggal di hutan semata-mata mahu mendapatkan spesies yang dicari.

 

Negara kita sendiri kaya dengan spesies ikan air tawar yang bernilai, tidak kira daripada segi harga pasaran, nilai kekuatan pertarungan ataupun kepuasan tersendiri saat menaikkan spesies yang sukar dipancing.

Kami menyenaraikan 15 spesies ikan air tawar yang menjadi sasaran rata-rata pemancing di Malaysia.

 

PATIN

Nama saintifik: Pangasius pangasius, P. sutchi, P. nasutus, P. gigas

Nama umum: Shark catfish, River catfish

Nama tempatan: Patin, Mekong, Patin buah, Patin muncung

 

 

Ikan patin merupakan spesies yang terkenal tidak kira sebagai hidangan atau pertarungan bagi pemancing di Malaysia. Patin liar boleh dijumpai di lombong atau sungai. Spesies ini sinonim dengan bandar Temerloh di Pahang sebagai hidangan dan bernilai tinggi.

 

Terdapat tiga spesies yang direkodkan berasal dari semenanjung iaitu patin buah (Pangasius nasutus), patin juara (P. micronemus) dan patin muncung (Helicophagus waandersii). Patin liar mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding patin sangkar atau ternak.

 

Bagi pemancing pula, selain patin liar, patin Mekong (Pangasionodon gigas) yang merupakan spesies berasal dari Thailand paling memberi kepuasan dalam pertarungan.

Selain itu, patin juga menjadi spesies penting dalam sektor akuakultur kerana mudah diternak. Sehingga kini terdapat lebih kurang 30 spesies dari tiga genus berbeza bagi ikan dari keluarga Pangasiidae ini.

 

 

Tip memancing

Patin liar yang bersaiz besar biasanya mendiami lubuk-lubuk yang dalam di dalam sungai atau lombong. Ia bersifat omnivor dengan diet utama seperti cacing, lundi serangga, buah-buahan, ikan kecil dan udang.

 

Bagi pancingan di kolam, biasanya penggunaan roti, pellet dan dedak bersama perisa pandan atau strawberi sangat popular. Pelbagai resipi umpan untuk patin boleh didapati sekarang. Rajinkan bertanya kepada otai-otai kolam atau cuba adunan resipi sendiri untuk memikat sesies ini.

 

BAUNG

Nama saintifik: Mystus nemurus

Nama umum: Malaysian river catfish

Nama tempatan: Baung

 

 

Ikan baung merupakan antara spesies air tawar yang berasal dari Malaysia. Baung dikatakan mempunyai potensi besar dalam bidang akuakultur untuk diternak.

Selain rasa yang agak lazat, baung juga menjadi spesies popular bagi pemancing. Secara morfologinya, baung mempunyai dua pasang barbel atau misai dibahagian kepalanya.

 

Habitat baung biasanya di sungai-sungai atau tasik yang besar. Selain itu, ia bersifat pemakan dasar yang memakan pelbagai jenis makanan termasuk invertebrata benthic, krustasia, ikan, udang dan serangga sebagai diet utamanya.

 

 

Tip memancing

Waktu yang paling sesuai untuk memancing baung ialah pada waktu malam dengan teknik pancingan dasar. Antara umpan popular bagi menjerat baung di kalangan pemancing ialah cacing, perut atau kulit ayam, anak ikan dan umpan tapa.

Teknik pancingan asas sahaja sudah mencukupi untuk memancing baung dan kalau kena lubuknya, tak menang tangan nak melayan.

Selain pancingan dasar, ikan baung juga boleh dipancing dengan teknik mengilat dan trolling. Gewang yang berkesan untuk baung ialah gewang selaman dalam dengan karauan perlahan.

 

BELIDA

Nama saintifik : Notopterus notopterus, Chitala chitala

Nama umum : Feather back, Knifefishes

Nama tempatan : Belida, Belido, Lopis

 

 

Walaupun dalam genus atau genera berbeza, belida (Notopterus notopterus) dan belida bintik (Chitala chitala) masih tergolong dalam keluarga yang sama iaitu Notopteridae.

Spesies ini amat cantik dan bentuk badannya pula amat unik. Badannya pipih dengan saiz kepala yang kecil dan ekornya melengkung ke atas menghasilkan bentuk seakan sabit atau pisau. Habitat belida biasanya di sungai-sungai besar, tasik serta lombong.

 

Belida bersaiz kecil juga hidup di paya dan tali air yang bersambung dengan sungai. Antara lokasi taburan spesies belida ialah di kawasan Chenderoh, Bersia, Kenering, Sungai Kelantan, Tasik Kenyir dan banyak lagi.

 

Spesies belida bersifat nokturnal dan aktif pada waktu malam. Ia bersifat pemangsa dengan diet utamanya ialah udang dan ikan kecil. Belida lebih dikenali sebagai game-fish bagi pemancing kerana kekuatannya, namun begitu ia mempunyai potensi baik dalam sektor ikan hiasan.

 

 

Tip memancing

Belida biasanya mendiami lubuk tertentu dan gemarkan kawasan banyak reba dan kayu-kayuan. Bagi pancingan dasar, umpan yang paling sesuai pastilah umpan hidup walaupun ada yang pernah mendaratkan belida berumpankan sawit.

 

Anda boleh mencuba anak sepat, anak keli, seluang, udang atau ikan emas dan pastikan perambut agak panjang bagi umpan anda lebih bebas menggoda dengan gaya renangannya. Bagi pengilat, anda boleh mencuba gewang selaman dalam bersaiz kecil dengan padanan warna berkilau.