Ada beberapa aspek yang perlu diketahui bagi sesiapa saja yang ingin memancing udang galah dari tebing sungai atau biasa disebut menebing saja. Walaupun tidak banyak berbeza dengan pancingan dari atas sampan namun pancingan dari tebing ini lebih mencabar.
Umpan Pilihan
Umpan-umpan popular yang biasa digunakan adalah umpun-umpun nipah dan udang beras. Umpun-umpun nipah sebaiknya yang bersaiz kecil, yang hanya betul-betul muat mata kail. Umpun-umpun yang bersaiz besar hanya akan merugikan kerana kerap mengundang anak-anak ikan mencurinya. Umpun-umpun ini adalah umpan universal untuk semua saiz udang galah.
Udang beras pula amat digemari oleh udang galah yang berskala besar, malangnya udang beras ini lebih sukar untuk didapati. Walau bagaimana ada ketika udang galah bersaiz kecil turut mengena dengan umpan ini.
Satu perkara yang perlu diambil kira dengan teliti ialah ketika memasang umpan pada mata kail. Pastikan umpan kemas dan muat betul-betul mengikut bentuk mata kail, pastikan hujung mata kail sentiasa tajam dan keluar sedikit dari umpan.
Jika menggunakan udang beras pastikan anda mencangkuk umpan dari ekor dan hujung mata kail keluar dari kepalanya.
Setting peralatan
Pemilihan perambut pula mengikut keadaan aliran air, kawasan yang mudah sangkut, mudah dimakan udang galah dan saiz udang galah yang hendak dicari. Tali perambut maksimum berkekuatan 20lb.
Pemberat bersaiz #5 dan #6. Mata kail berbentuk sabit bersaiz #1 hingga #6. Batu ladung hidup pada tali utama, disambung dengan swivel atau snap swivel.
Panjang perambut mata kail anggaran sejengkal sehingga 1 kaki (perlu diperhati perambut mana yang lebih berkesan) dengan maksimum dua mata kail.
Perambut sejengkal dan satu mata kail lebih sesuai digunakan pada setiap jenis aliran air, terutamanya sewaktu air sedang beralih surut.
Lokasi di mana udang galah kerap galak memakan umpan adalah di kawasan di mana terdapat aliran air yang membentuk teluk, di kawasan bertebing yang dalam, dasar berlurah dan berbonggol dan di kawasan yang mempunyai bangkar tenggelam.
Udang galah mempunyai pelagai cara memakan umpan, ada yang ganas, ada yang lemah lembut dan ada yang makan secara diam. Cara terbaik adalah dengan kerap memeriksa pancing anda. Berikan perhatian kepada setiap joran yang ada. Anda juga harus selalu bertukar tempat sekiranya udang galah tidak ramah di satu-satu kawasan.
Antara lokasi terbaik memancing ebek di kebanyakan perairan Terengganu, Pulau Tenggol, Kemaman, Pekan selain pesisir pantai dan benteng berbatu. Waktu sesuai untuk memburu ebek dikatakan sekitar bulan April hingga Ogos setiap tahun.
Lubuk terbaik untuk memburu ebek ialah di kawasan yang mempunyai struktur seperti batu atau karang kerana ebek gemar berlegar di kawasan seperti ini.
Walaupun tidak mempunyai nilai yang tinggi sebagai hidangan makanan, kemampuan dan kekuatan dalam pertarungan cukup memberikan kepuasan kepada kaki pancing lebih-lebih lagi ebek bersaiz besar.
Ebek sebenarnya cukup agresif dan boleh mendatangkan kehampaan kepada kaki pancing andai memandang enteng kemampuan ikan yang mempunyai badan berkilat ini. Sejurus memakan umpan atau menyedari kail berada di mulutnya, ebek akan bertukar menjadi sangat agresif dengan tiba-tiba.
Spesies ini akan mengguna kekuatannya pada awal pertarungan dengan melakukan rontaan kiri kanan dalam usaha melepaskan kail sambil memecut laju. Jika pemancing dapat bertenang dan berjaya menahan asakan awal spesies ini, peratus untuk menaikkan ikan ini semakin tinggi kerana daya juang ebek semakin berkurang apabila semakin lama pertarungan berlangsung. Mungkin kerana sifatnya yang gemar melakukan serangan pada awal pertarungan.
Umpan Alami
Secara tradisional, kebanyakan pemancing menggunakan teknik pancingan dasar ketika memancing spesies ini.
Pancingan dasar spesies ini tidak tertumpu di lautan sahaja, malah sering dipraktikkan oleh pemancing pantai, pancingan di benteng pemecah ombak, di kelong dan pancingan muara dari tebing.
Bagi penggunaan umpan untuk kaedah ini, penggunaan udang merupakan antara yang paling popular di kalangan pemancing. Penggunaan udang kopek sering mampu menaikkan ebek juvenil di kawasan yang lebih hampir dengan daratan.
Penggunaan udang hidup juga sangat efektif untuk pancingan dasar dan pemancing boleh cuba menggunakan teknik ikatan yang memberikan udang tersebut ruang di pertengahan air, bukan berada betul-betul di dasar perairan.
Selain daripada penggunaan umpan udang hidup, pilihan kedua ialah anda menggunakan umpan sotong.
Anda boleh mencuba menggunakan umpan sotong cumit atau sotong mati yang dikelar agar kelihatan melambai ketika di dalam air. Umpan sotong juga efektif kerana ebek memang menjadikan sotong antara diet utama makanannya.
Selain kedua-dua umpan yang disebutkan di atas, pilihan lain untuk anda ialah umpan ikan seperti tamban.
Umpan ikan tamban juga boleh dijamah oleh ebek terutama yang bersaiz besar biarpun kekerapan henjutan mungkin sedikit kurang berbanding sotong dan udang. Namun bak kata orang, tak ada rotan, akar pun jadilah.
Bagi penggunaan umpan tiruan pula, menjerat spesies ebek popular dengan menggunakan teknik light jigging. Ramai pemancing konvensional di kalangan kaki jigging gemar memburu ikan ini menggunakan unjunan besi yang dikatakan cukup untuk memberikan kepuasan.
Oleh kerana ikan ebek mempunyai mulut yang agak kecil, unjunan jig ringan atau light jigging antara kaedah terbaik untuk mendaratkan ikan ini. Jig pada skala keberatan 15g-60g cukup sesuai untuk unjunan mencari ebek.
Untuk kaedah jigging, apabila strike berlaku, pemancing perlu lebih cermat mengawal keadaan dengan tidak terlalu kasar kerana bimbang rabut oleh kerana rahang ebek dikatakan agak lembut.
Selain unjunan besi, penggunaan soft plastic juga berkesan untuk menggoda spesies ebek. Soft plastic yang sedikit panjang dikatakan lebih efektif kerana alunan ekor melambai saat digayakan lebih menggoda untuk ebek membahamnya.
Penggunaan soft plastic dan mini jig juga boleh dipraktikkan di lokasi seperti rumah rakit atau kelong dengan sedikit variasi penggayaan berlainan. Apa pun, kilatan badan ebek yang berkilat dan bentuk bersegi seperti berlian tetap mampu mendatangkan kepuasan kepada kaki pancing.
Biasanya saya gunakan gewang selaman sehingga 3 kaki supaya dapat mengetuk pintu rumah MJ. Ini telah terbukti keberkesanannya.
Perlulah diingatkan agar mata tiga asal gewang ditukarkan kepada jenis yang lebih kukuh kerana kudrat biasa MJ mampu meluruskan mata tiga.
Saya suka gunakan keluaran VMC yang setakat ini masih terbukti keutuhannya pada mulut ikan.
Jika khuatir mata tiga terkangkang, gunalah mata tunggal atau single hook, tambahan pula ia kalis sangkut ketika tarikan gewang beroperasi.
Penggunaan mata tunggal ini telah saya uji dan terbukti keberkesannya dalam memastikan MJ tidak terlucut, sedangkan kes rabut selalu terjadi jika menggunakan mata tiga.
Bagi mendapatkan MJ, apa yang paling mudah ialah mengenal pasti terlebih dahulu kawasan berstruktur yang ditenggelami air.
Itulah sebabnya saya lebih suka mengilat ketika air surut. Reba mudah dilihat dan memudahkan kita melontar gewang dengan lebih baik.
Dan yang paling penting, di kawasan inilah MJ bersembunyi, lebih-lebih lagi pada waktu matahari terik.
Ketika air pasang penuh pula, spot yang paling popular ialah tepian tebing sungai saja. Arus yang laju membawa MJ ke tepian sungai. Lebih-lebih lagi kebanyakan anak-anak ikan akan berada di tepi tebing pada waktu air pasang.
Ketika mengilat, rajin-rajinlah melihat kawasan sungai. Kenal pastilah kawasan-kawasan yang terdapatnya sambaran ke atas anak-anak ikan.
Spot ini adalah spot ketiga yang pasti untuk kita memerangkap MJ. Kebiasannya selepas menyambar anak-anak ikan, MJ masih lagi berada di kawasan tersebut.
Lontaran pertama gewang yang tepat kebiasaannya akan membawa naik seekor MJ bersaiz sederhana.
Spot di bawah jambatan pun jangan diketepikan, kawasan bertiang ini biasanya sangat berpotensi.
Waktu paling elok yang saya cadangkan untuk menjerat MJ ialah pada waktu air surut habis.
Logik saya berpegang pada waktu ini ialah kerana kebanyakan MJ dan juga kerapu yang saya peroleh tumpas pada waktu ini.
Kebanyakan MJ tidak akan pergi jauh pada waktu air surut. Jadi, bila ia tak ke mana-mana, mudahlah kita mendapatkannya.
Berlainan pula ketika air pasang penuh yang menyukarkan kita mengesan MJ. Kebanyakan MJ kurang diperoleh pada waktu air pasang penuh.
Satu sebab yang penting adalah kerana arus yang deras menyebabkan MJ akan berlindung di kawasan tepian sungai atau tebing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...