IKAN SUMPIT
Nama saintifik: Toxotes Jaculator
Nama global: Banded archerfish
Nama tempatan: Sumpit-sumpit, ikan sumpit
Ikan sumpit mempunyai badan yang nipis seakan ikan sepat dan bahagian kepalanya lebih tirus. Sifat unik ikan ini ialah memburu mangsa seperti seranga kecil yang terbang di permukaan air dengan memancutkan air melalui mulutnya seakan-akan aksi menyumpit.
PECAH PERIUK
Nama saintifik: Lobotes surinamensis
Nama global: Tripetail fish
Nama tempatan: Pecah periuk
Selain kekuatannya, nama ikan ini juga cukup unik. Pecah periuk mungkin mendapat nama daripada sifat luarannya yang berwarna hitam dan kelihatan agak hodoh. Selain itu ikan ini juga sering berada di kawasan timbunan sampah atau batang pokok yang hanyut.
IKAN KARIM
Nama saintifik: Trichopsis vittata
Nama global: Croaking gourami
Nama tempatan: Ikan karim, sempilai
Ikan karim biasanya boleh ditemui di parit atau tali air. Nama spesies ini merupakan antara nama unik juga kerana perkataan karim biasanya digunakan bagi nama orang. Asal bagaimana spesies ini mendapat nama karim sukar dijelaskan. Misteri juga nama ikan ni.
IKAN AYAM
Nama saintifik: Abalistes stellaris
Nama global: Starry triggerfish
Nama tempatan: Ikan ayam, jebong
Ikan jebong atau juga dikenali sebagai ikan ayam. Uniknya nama ikan ayam ini terhasil kerana rasa isinya ketika hidangan. Jika dijadikan hidangan makan, ikan ini mempunyai rasa yang sedap seakan-akan rasa daging ayam. Sedap hingga menjilat jari!
BELUKOR PASIR
Nama saintifik: Glossogobius giuris
Nama global: Golden tank goby
Nama tempatan: Belodok, belukor
Nama belukor pasir juga kurang jelas asalnya. Mungkin bagi sesetengah tempat spesies ini digelar dengan nama lain. Walaupun maksud nama belukor itu kurang jelas, namun yang pasti kerana sifatnya yang gemar mendiami kawasan berpasir menjadikannya digelar ikan belukor pasir.
IKAN NYOK-NYOK
Nama saintifik: Caranx ignobilis
Nama global: Giant trevally
Nama tempatan: Gerepoh, nyok-nyok
Ikan ini kalau disebut GT atau gerepoh pasti ramai yang kenal. Namun selain itu, spesies ini juga turut dikenali sebagai ikan nyok-nyok. Kenapa ikan ini digelar ikan nyok-nyok agak kurang jelas. Mungkin kerana bunyi atau mempunyai maksud tertentu di sesetengah kawasan.
IKAN SEKILAU
Nama santifik: Betta sp. / Betta pugnax
Nama global: Fighting fish
Nama tempatan: Ikan laga, sekilau
Spesies ini seperti diketahui ramai mempunyai peminat tersendiri kerana kecantikan warnanya. Sesetengah pendapat mengatakan nama sekilau diambil kerana warnanya yang berkilauan. Bagi nama pelaga pula mungkin kerana ikan ini sering dilagakan sesama spesies mereka.
IKAN MENGKERONG
Nama saintifik: Jarbua teropon
Nama global: Target fish, crescent bass, crescent perch
Nama tempatan: Mengkerong
Nama ikan mengkerong atau kerong agak pelik dan unik. Sebab dan kemungkinan diberi nama mengkerong juga agak kabur. Adakah warna atau sifat lainnya ada kena mengena dengan mengkarung? Namun yang pasti ikan ini menduduki carta tinggi kategori ikan pengacau umpan.