BAUNG ASKAR
Nama saintifik: Bagarius bagarius
Nama global: Dwarf goonch, devil catfish
Nama tempatan: Kenerak, baung askar
Ikan kenerak juga dikenali sebagai ikan baung askar bagi sesetengah tempat. Nama baung askar merujuk kepada warna atau corak pada badannya yang berwarna samaran hijau seakan-akan warna yang sinonim dengan uniform askar.
IKAN PATUNG
Nama saintifik: Pristolepis fasciatus
Nama global: Malaysian leaffish
Nama tempatan: Ikan patung, kepar
Ikan patung atau ikan kepar merupakan spesies seakan-akan puyu. Ikan patung mungkin diberi nama kerana kebolehan ikan ini statik dalam air seakan-akan patung. Selain itu, nama Kampung Sungai Kepar di Perak juga mengikut asal-usulnya mengatakan diambil nama sempena ikan kepar.
IKAN PARANG
Nama saintifik: Macrochirichtys macrochirus
Nama global: Long pectoral-fin minnow
Nama tempatan: Ikan parang, parang-parang, cabuk
Ikan parang mempunyai bentuk badan yang lebih panjang dan berwarna perak. Bentuk badannya ini seolah-olah sebilah parang yang tajam dan berkilat memungkinkan spesies ini digelar ikan parang.
IKAN SETAN
Nama saintifik: Lepidocybium flavobrunneum
Nama global: Escolar
Nama tempatan: Ikan setan, eskolar
Ikan escolar atau juga digelar ikan setan di sesetengah tempat merupakan ikan air masin. Spesies ini digelar ikan setan oleh sesetengah kaki pancing kerana warna badannya kehitaman ditambah matanya yang cukup menggerunkan. Mendiami perairan dalam dan kawasan terumbu karang di Sabah dan Sarawak.
IKAN SEBELAH
Nama saintifik: Pseudarhambus spp
Nama global: Flounders
Nama tempatan: Sisa nabi, ikan sebelah
Spesies ini unik bukan pada namanya sahaja tetapi juga bentuk badannya. Jika dilihat pada bentuk badannya, tidak sukar mengagak kenapa ikan ini digelar ikan sebelah. Ikan yang nipis ini kelihatan seolah-olah mempunyai separuh atau sebelah saja badannya.
IKAN TEBAL SISIK
Nama saintifik: Puntius binonatus
Nama global: Spotted barb
Nama tempatan: Tebal sisik
Nama ikan tebal sisik juga cukup unik jika difikirkan. Ikan dari genus Puntius ini merupakan ikan bersisik dan berwarna perak berkilau. Tidak mustahil nama tebal sisik diambil sempena sifat sisiknya yang tebal.
IKAN KEKEK
Nama saintifik: Leiognathus fasciatus
Nama global: Ponyfish, slipmouth
Nama tempatan: Ikan kekek
Asal datangnya nama ikan kekek ini kurang jelas. Malah maksud kekek itu sendiri pun kurang jelas sama ada loghat atau mempunyai maksud sebenar. Namun, namanya tetap unik dan cukup popular kerana nama ikan kekek ini ada dalam salah satu lirik lagu rakyat.
IKAN UJI RASHID
Nama saintifik: Selar boops
Nama global: Oxeye scad
Nama tempatan: Ikan lolong, ikan Uji Rashid
Nama ikan ini pun begitu unik sehingga mendapat gelaran nama Uji Rashid iaitu penyanyi dan pelakon. Kisahnya ialah kerana Uji Rashid mempunyai mata yang besar ketika zaman popularnya. Dek kerana itu, dia juga digelar ikan lolong yang juga mempunyai mata besar.