Korang ada gewang tahyul? Berapa nilai gewang tahyul yang korang ada tu? Agak-agak boleh tak kalahkan atau sebaris dengan 10 gewang termahal dunia ni?
➡ No.10
Big Reidee Slant Face offshore trolling lure- $125
Gewang tundaan Big Reidee Hawaiian offshore berukuran 22.86 cm (9 in) ini adalah hasil buatan sendiri secara individu. Atas beberapa sebab ia tidak diteruskan pembuatannya.
➡ No.9
Lucky Lures EXOX Adult Northern hard swimbait — $134
Gewang swimbait padu sepanjang 35.56 cm (14 inci) ini dihasilkan dengan begitu kukuh bagi memperdaya ikan berstatus monster. Lucky Lures ini adalah gewang buatan Holland atau Belanda.
Gewang swimbait berukuran 30.48 cm atau 12 inci ini dihasilkan untuk ikan-ikan bass di Selatan California. Bayangkanlah sendiri betapa besarnya ikan bass di sana.
➡ No.7
Ads
Deps Slide Swimmer 250 swimbait — $180
Mungkin disebabkan kemampuan renangan yang senyap dan efisien membuatkan gewang renangan buatan Jepun ini begitu mahal.
Gewang sepanjang 25.4 cm (10 inci) ini disaluti getah lembut untuk memperdaya ikan agar terus menggigitnya.
➡ No. 6
Hammerhead C Cup SUS Abalone Special popper — $190
Tidak banyak infomasi tentang popper 15.4 cm (6 inci) buatan Jepun ini. Penghasilannya begitu sempurna sehingga ia habis di pasaran.
➡ No. 5
Gan Craft Jointed Claw Magnum 300 swimbait — $249
Ads
Gewang sambung (jointed) sepanjang 30.48 cm atau 12 inci ini direka cipta bagi menghasilkan renangan berbentuk hurus S, yang mana ia merupakan sesuatu yang belum pernah dihasilkan.
Dengan nilai hampir RM975, ia mungkin sepadan dengan usaha yang dilakukan.
Ada yang mengatakan, semakin panjang nama sesuatu gewang itu maka makin tinggilah harganya. Ia merujuk kepada gewang stickbait buatan tangan pakar gewang buatan tangan, Tosasan di Jepun.
Moutoukenmaru Minipenmaru ini dihasilkan dengan kayu yang ringan tetapi kukuh iaitu kayu Paulownia.
➡ No.3
Ads
Big Melosh Smoothie swimbait — $299
Barang mainan kaki pancing berstatus bangsawan ini dihasilkan satu persatu bergantung kepada pesanan.
Gewang swimbait sepanjang 30.4 cm (12 inci) ini rasanya lebih selamat berada di dalam bingkai gambar daripada berenang di dalam air.
➡ No. 2
Roman Made USA Mother swimbait — $436
Gewang swimbait Roman Made USA Mother ini sebelah adalah ciptaan Jepun. Ia dianggap ibu segala gewang crankbait yang ada berikutan kepaduannya.
Renangan dan ciptaannya begitu sinonim dengan ikan sehingga boleh mengelirukan pemangsa.
➡ No. 1
House of Solid Gold spoon — $600
Sesudu emas 24 karat ciptaan Amerika 3.175 cm meter ni sudah tentu mahal harganya kerana diperbuat daripada emas.
Namun ia dicipta khusus untuk pemancing yang benar-benar berani menggunakannya.
(sumber: sportfishingmagazine.com)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Seawal pagi kami berempat memulakan perjalanan menuju ke arah 180 darjah sebaik sahaja keluar dari muara Pulau Pintu Gedung. Biasanya kami akan menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat.
Alun menjadi semakin rendah apabila mula memasuki kawasan selat air dalam di kawasan laluan kapal. Jika alun berterusan, batalkan sahaja rancangan kerana aktiviti menotok akan terbantut disebabkan suasana yang amat tidak selesa.
Perjalanan akan mengambil masa selama 30 minit lagi untuk tiba di lokasi pertama. Kalau kekurangan umpan, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Kelang boleh disinggahi untuk apollo anak-anak ikan.
Dari lokasi yang pertama kami akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike.
Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan ialah memerhatikan kapal dagang yang bertali arus. Hari itu saya memilih untuk memancing di Paloh 2 iaitu laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Saya memilih untuk berhanyut di celah antara laluan kapal di mana sebelah kanan ialah haluan yang menghala ke utara dan sebelah kiri haluan kapal yang menghala ke selatan.
Kawasan ini dikenal pasti sedikit selamat kerana kapal-kapal ini jarang menggunakan laluan tengah.
Cuma yang dibimbangi ialah sampan hanyut ke arah laluan khas untuk kapal. Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, berulah peralatan digunakan.
Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas. Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal.
Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.
Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi. Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb.
Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup.
Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok. Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik.
Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekali gus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja.
Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga. Yang seronok menotok ialah cara sentapan dilakukan ikan. Oleh kerana umpan bergerak, ikan seperti marah dan menerkam dengan rakus.
Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut. Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.
Tentangan di awal sentapan cukup kuat dan ia berterusan hingga 1/3 dasar sebelum ikan demersal akan lumpuh apabila gelembung udara terhasil di mulutnya. Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain.
Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.
Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.
Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Jika tersangkut karang, pegang joran sehingga lurus, dapatkan koyan kosong segera belitkan beberapa lilitan talipancing pada koyan kosong. Tahan sehingga putus. Jangan gunakan joran.
Sampan yang sedang berhanyut membantu pemancing menarik hingga terlepas sangkut berkenaan. Sama ada perambut atau tali utama putus itu soal kedua kerana melepakan tali sangkut adalah perlu.
Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.
Rujuk balik kawasan berlaku strike tadi melalui bacaan sonar untuk mengesan struktur dasar. Pasti ada karang atau lubang dalam tempat ikan bersembunyi.
Kemudian ulang laluan yang sama sehingga laluan berkenaan tiada lagi sebarang tanda sentapan ikan. Panduan utama berhanyut di kawasan ini ialah aliran arus.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.
Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Kalau panik hilang arah terutama ketika kabus atau jerebu, tuju timur sehingga nampak pedoman darat. Yang mudah dikesan ialah bukit Jugra, Banting.
Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.
Ada masa kita pasti terserempak dengan bot Indon kecil yang disyaki membawa puluhan PATI melepasi sempadan. Yang kelihatan ialah tekong laut di bumbung bot, PATI berselindung macam ikan sardin di dalam kabin yang kecil.
Kalau boleh rujuk carta pasang surut air. Kunci penggera pada handphone waktu-waktu air dijadualkan bertukar arus.
Bila dah hampir masanya sentiasa standby atau pegang joran kerana waktu ini adalah paling produktif. Pastikan semua joran yang dilabuhkan, umpannya segar dan ditukar baru jika perlu.
Kadangkala seharian ikan berhanyut hasil hanya diperolehi dalam 10 hingga 30 minit sahaja ketika arus bertukar.
Waktu-waktu lain hanya dok termenung menunggu joran melentur sambil kena karau umpan yang sering kehabisan dikerjakan kumpulan ikan mengkerong.
Jika kena lubuk ikan jarang menolak umpan yang hanyut di depan mata masa arus lemah.
Biasanya waktu begini saya memilih untuk berhanyut berdekatan dengan lubuk potensi yang banyak sentapan sebelumnya.
Ini pernah terjadi di mana kesemua joran yang dilabuhkan mengena ikan. Yang mana satu ingin dikarau dahulu terpulanglah kepada pemancing itu sendiri.
Kalau pakai bangla suruh je bangla yang karau sambil perhatikan keputusannya. Nak kepuasan lebih, kayuh dengan kudrat tenaga tangan uatu pusing manual.
Jika trip menotok pulang dengan tangan kosong, baki umpan boleh digunakan untuk memancing di dalam sungai. Setidak-tidaknya ada ikan muara yang boleh menceriakan hati suram bak kata pepatah tiada enjin, dayung pun berguna.
Melihat dari sudut potensi perikanan rekreasi, tanyalah mana-mana pemancing, pasti akan dapat melihat potensi temoleh sebagai ikan pancingan sukan.
Dengan saiz, kekuatan dan betapa agresifnya ketika bertarung cukup menjadikan ikan ini sebagai salah satu ikan utama dalam lapangan pancing.
Memancing ikan temoleh boleh dikatakan agak sukar dalam habitat semula jadinya. Namun bagi kaki pancing, yang sukar itulah yang paling mahu dipancing, yang susah dapat itulah yang sampai terbawa-bawa bermimpi mahu memancingnya.
Bagi memancing temoleh, selain kesabaran yang tinggi, kekuatan fizikal juga diperlukan. Lebih-lebih lagi jika terkena temoleh bersaiz 10 kg ke atas. Larian dan pecutan agresifnya pasti menyebabkan pemancing berpeluh.
Umpan popular bagi memancing temoleh ialah kelapa sawit ‘sate’ yang dipotong atau dihiris.
Kelapa sawit yang dipotong akan dicucuk ke mata kail satu persatu sehingga ke tali perambut lebih kurang satu jengkal.
Terdapat juga pemancing yang menghiris sawit nipis-nipis, dan dicucuk pada 4 atau 5 bilah mata kail sehingga penuh.
Selain kelapa sawit, umpan pisang juga agak popular di sesetengah tempat. Terdapat 3 bilah mata kail di mana satu mata diikat pada hujung perambut dan satu mata lagi diikat dengan jarak lebih kurang 40 cm.
Sebilah mata kail lagi dibiarkan bebas antara kedua-dua mata kail tadi. Umpan pisang dipasang pada mata kail pertama sahaja iaitu paling bawah dan pisang dicangkukkan sehingga lebih kurang 15 cm pada perambut tadi.
Selain itu, ada juga kaki pancing yang menggunakan umpan sawit peram sebiji yang dicangkuk terus pada mata kail.
Namun ia memerlukan teknik ‘rasuah sawit’ terlebih dahulu untuk memujuk ikan ini memakan umpan.
Ada juga kaki pancing yang menggunakan teknik umpan dedak untuk memancing ikan ini, tetapi ia memerlukan kesabaran yang tinggi kerana ia juga perlu dipujuk dengan teknik rasuah terlebih dahulu.
Kesesuaian di antara sampan dengan enjin sangkut perlu di titik beratkan kerana padanan yang sesuai banyak mempengaruhi soal keselamatan, penjimatan bahan bakar dan penjimatan masa.
Berkata soal keselamatan, adalah tidak wajar bagi fiber 10 kaki di sumbatkan enjin sangkut 30 kuasa kuda.
Padanan begini boleh mengundang risiko walaupun bot masih mampu timbul di permukaan air namun bebanan enjin seberat 50 hingga 60 kilogram dan ditambah lagi dengan penumpang maka tampungan beban bot akan melebihi kapasti sebenar.
Semakin besar kuasa kuda pada sesebuah enjin sangkut semakin laju lah menyusuri air. Namun padanan yang sesuai perlu diambil kira tentang keselamatan dan penjimatan minyak.
Kelajuan yang boleh dicapai dengan padanan sebegini boleh mengundang padah apabila throttle di pulas habis kerana ia mampu mencecah 15knot dan apa saja boleh berlaku dengan kelajuan sedemikian di laut, tasik atau sungai.
Kemalangan seperti bot terbalik atau terlanggar kayu akan menjadi lebih tinggi berbanding dengan kelajuan mengikut keperluan sebenar.
Ini adalah anggaran mengikut kesesuaian tampungan sesebuah bot dan janaan tenaga penggerak enjin sangkut dalam satu-satu masa. Contoh di atas boleh diguna pakai kerana kebiasaannya bot direka hanya untuk menampung berat mengikut kapasiti jisim yang telah dikira secara tepat.
Saiz bot yang biasa dijual di pasaran adalah standard namun kita boleh menempah mengikut kehendak dan kesesuaian penggunaannya.
Kiraan di atas adalah untuk rekreasi memancing dan bukan bertujuan untuk perlumbaan sukan air.
Ada pemilik bot memasang enjin sangkut melebihi kapasiti sebenar bot untuk tujuan tertentu namun bagi kaki pancing perkara pertama yang perlu diambil kira adalah keselamatan dan selebihnya barulah melihat aspek kelajuan sesebuah bot.
Kuasa tinggi yang ada pada enjin bot mampu memberi kepuasan kepada pemandunya dan pemancing lain untuk beralih dari satu lubuk ke satu lubuk.
Enjin yang lebih berkuasa tinggi bagi bot yang lebih besar.
Selain itu, padanan kuasa yang ada pada enjin tersebut mampu menolak bot menyusuri laluan mengikut kehendak pemandunya dengan lancar dan dapat menjimatkan bahan bakar.
Apungan mengikut kapasiti akan mengurangkan tekanan kepada bot untuk bergerak dan ini akan menjadikan perjalanan akan menjadi cepat dan lebih menjimatkan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...