Hampir semua teknik memancing ikan berparuh ini ialah dii permukaan dan pertengahan air.
Belum pernah berlaku ikan layaran ini dipancing melalui teknik dasar kecuali memperolehnya secara tidak sengaja di lokasi perairan cetek.
Trolling (menunda)
Menunda atau trolling disifatkan cara mudah menjinakkan layaran dan diamalkan secara meluas di luar negara seperti Australia.
Bot bergerak dengan kelajuan 4 hingga 10 knot, jika menggunakan gewang replika ikan, kelajuan di bawah 8 knot adalah disarankan.
Jika bot mampu memecut melebihi 10 knot makan gewang skirt adalah disyorkan.
Namun teknik trolling ini agak kurang dipratikkan oleh pemancing tempatan atas beberapa faktor.
Walaupun ada pemancing yang mengaplikasikannya namun peratusannya amatlah rendah.
Ads
Drifting atau berhanyut
Cara ini paling digemari dan paling banyak diaplikasi oleh pemancing terutamanya berada di kawasan unjam atau karang luas.
Teknik hanyut dikaitkan dengan penggunaan umpan hidup dan dibiarkan bebas berenang tanpa pemberat.
Namun teknik hanyut dengan menggunakan pelampung terutamanya belon dan botol mineral lebih banyak diamalkannya.
Sekiranya arus agak laju makan pemberat kecil bersama belon sering dipraktikkan.
Ads
Hanyut berladung
Teknik ini pada asasnya bukanlah memancing layaran, sebaliknya menyasarkan ikan tenggiri tetapi turut diambil oleh layaran.
Caranya hampir sama dengan teknik drifting, di mana umpan hidup yang dilayang atau dihanyutkan bersama batu ladung kecil sebagai pemberat.
Tujuannya adalah untuk menenggelamkan umpan sehingga satu pertiga permukaan atau setengah kedalaman air.
Ads
Peralatan
Sekiranya berhasrat untuk merasai pertarungan dengan layaran dengan kepuasan optimum, maka gunalah peralatan kelas pertengahan.
Disaran menggunakan kekili kelas siri 5000 yang mampu memuatkan tali sulam 30-40 lb sepanjang 300 meter. Manakala perambut berkuatan 50 lb sudah memadai.
Walaupun layaran berupaya melakukan pecutan deras dan mampu menghela tali dari kekili sehingga 100 meter dalam sekelip mata, namun ia bukanlah spesies yang mampu
mengheret tempoh pertarungan yang panjang. Pertarungan yang berlarutan akan meningkatkan tekanan dan memendekkan jangka hayatnya.
Penggunaan mata kail lingkar yang mudah reput di dalam air masin amatlah digalakkan.
Biarpun mata kail J lebih efisien dari segi peratusan hook up, namun mata kail lingkar lebih bersifat mesra kepada ikan kerana ia menyebabkan ikan tertelan mata kail.
Mata kail saiz 3/0 hingga 7/0 adalah disarankan. Walau bagaimana pun pemilihan saiz mata kail bergantung juga pada saiz umpan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Untuk ke Hulu Tembeling, ada dua cara sama ada mudik melalui Kuala Tahan atau mudik dari Kuala Tembeling. Sekarang jalan berturap sedang rancak pembinaannya. Sedikit masa lagi perjalanan menjadi lebih lancar serta menjimatkan masa dengan menaiki kenderaan dari Kuala Tahan terus ke Kampung Mat Daling.
Bila sebut Hulu Tembeling atau Taman Negara, bagi pemancing khususnya peminat sungai pergunungan pasti terbayangkan kelah serta saudaranya kejor dan tengas. Tidak terkecuali sebarau dan abangnya badong serta ikan legenda di sini, temalian atau temoleh dan juga tapah monster. Terpahat niat di hati menunduk dan memangkunya di pinggir sungai sambil tersenyum bergambar. Akan tetapi trip kali berlainan pula agendanya.
Sekitar jam 11.00 pagi kami sampai ke Rumah Rakit Haji Nan yang terletak di kawasan yang dikenali sebagai Tempan. Rakan-rakan yang sampai satu jam lebih awal daripada saya kelihatan asyik melayan pancing masing-masing. Setelah berehat seketika, saya mengepal umpan dedak yang telah digaul kelapa sawit masam yang disediakan Haji Nan.
Patin lawang, kerai kunyit, jelawat, kelabau dan tengalan di antara spesies yang kebiasaannya dipancing sekitar rumah rakit ini. Mata bom yang dilengkapi gelung spring bersama beberapa bentuk mata kail digunakan agar dedak tidak mudah pecah dihakiskan arus. Bagi yang ingin mendapatkan udang galah, umpan anak udang dipertaruhkan.
Tengah syok melayan pancing, Haji Nan memanggil saya ke perahu untuk menahan tajur. Umpan anak keli yang dibawa, dimasukkan ke dalam baldi. Haji mengemudi bot manakala saya memasang umpan anak keli ke mata tajur. Tali tajur yang putus kerana mengena ikan yang besar diganti tali serta mata kail baru. Belida, patin, tapah, baung serta temoleh antara yang berkemungkinan besar terpedaya dengan umpan ikan hidup yang dipasang.
Hidangan ikan segar dari ‘ladang’ serta sayur kampung memang berpeluh dahi dibuatnya. Setakat dua pinggan selamba je!
“Jangan malu-malu. Tiga pinggan kalau di sini biasa…” kata Haji Nan apabila ada rakan yang ‘malu-malu kucing’ hendak menambah.
Setelah selesai makan tengah hari kami berehat seketika menghilangkan penat perjalanan. Sesi pancingan pada sebelah petang, Haji Nan menghantar kami menggunakan bot fiber untuk memancing di lubuk kegemarannya. Beberapa ekor ikan berjaya dipancing. Lewat petang, Haji menjemput kami pulang ke rumah rakit.
Belum pun sempat kaki melangkah ke lantai rumah rakit, rakan memberitahu seekor baung yang besar telah mengena tajur tapi sayang episod duka menjelma apabila tali putus setelah bergeser dengan tongkah kayu hanyut. Nasib kau lah baung. Kalau tidak gulai tempoyak pastinya.
Acara pancingan diteruskan pada sebelah malam. Sambil bersembang bersulamkan kopi ‘o’ panas, joran yang dikepit loceng di hujungnya setia menanti mangsa. Apabila mata mula terasa ‘kelat’, kekili dikarau dan perambut ditukar.
Sebiji sawit ranum yang secukup rasa masamnya dicangkuk ke mata kail dan dilepaskan ke dasar. Selepas membaca ayat kursyi dan mengucap, kepala direbahkan ke bantal. Sebelum mata dipejam masih sempat berharap agar ada penghuni Sungai Tembeling yang akan menggegarkan loceng tatkala sunyi dinihari. Kalau tidak kelah, patin buah pun jadilah!
Hari terakhir di sini kami masih lagi memancing pada sebelah pagi. Kami akan bertolak pulang lebih awal dari jadual asal (makan tengahari lebih awal) kerana ada tetamu dari sebuah jabatan kerajaan yang akan ‘datang makan’.
Bagi sesiapa yang ingin berkunjung bolehlah merancang satu trip bersama keluarga atau rakan pancing. Haji Nan yang menghubungi penulis memberitahu beberapa ekor patin buah berjaya dia perolehi.
Stok ikan sungai hidup yang disimpan di dalam sangkar di rumah rakit yang mencecah nilai ribuan ringgit menanti anda. Tanya selera, tepuk saja poket. Di samping melayan strike, sesekali menikmati hidangan ikan sungai di atas sungai, apa salahnya. Berpeluh dahi weh!
Trip pancingan bottom yang dirancang sekian lama menjadi nyata. Lapan orang pemancing yang akan menyertai trip ini sudah pun bersedia.
Bateri untuk kegunaan mesin elektrik sudah dicas penuh. Batu ladung besar penumbuk pun dibawa. Sambil menunggu rakan yang belum sampai, kami ngeteh dulu.
Bila sudah cukup komplot, kami terus bertolak dalam pukul 12.30 pagi dan subuh kami sampai di jeti Mersing.
Kami menggunakan khidmat Tekong Azahar. Selesai barang keperluan dan peralatan tempur dimasukkan ke atas bot, maka bot menyusur kuala menuju ke perairan Pulau Aur.
Macam biasa, siapa yang asyik menguap dari tadi mengambil tempat di dalam dek bot untuk melelapkan mata.
Yang lain menyiapkan perambut dan sebagainya sebelum sampai ke port memancing. 4 jam perjalanan, tekong singgah di unjam pertama untuk mencari ikan umpan.
APOLLO LUMAYAN
Acara apollo cukup meriah. Selar, tamban, selar kuning dan anak kembung menghiasi mata apollo setiap kali dinaikkan. Satu tong ikan acara apollo kami perolehi.
Lebih dari cukup untuk dibuat umpan nanti. Selebihnya boleh dibawa balik, goreng! Tekong Azahar tidak mematikan enjin bot sepanjang kami ‘mengapollo’ anak-anak ikan.
Teknik berhanyut ini nampaknya lebih menjadi. Berpuas hati dengan umpan yang diperoleh, kami menuju ke spot pertama.
TAMBAK YANG BERLAMBAK
Labuhan pertama, kami diserang gerombolan ikan tambak. Tidak menang tangan kami melayan. Kekili elektrik menjerit di depan dan di belakang bot. Tekong tersenyum.
Walaupun pun kepala terasa pening-pening lalat (nak mabuk la tu) tetapi hilang kerana keasyikan melayan tambak. Sesekali kaci menyapa umpan.
Tidak ketinggalan jenahak juga sudi menjadi penghuni tong Coleman yang kami bawa. Jebong atau ikan ayam yang enak turut sama menyelit.
Berhenti sejenak menarik ikan apabila kami menerima isyarat daripada tekong, masa untuk ‘orang’ pulak makan. Masakan Tekong Azahar memang ‘terangkat’.
Ya lah.. segar dari ladang katakan. Misi bottom diteruskan selepas makan malam di mana tambak terus mendominasi tangkapan.
Hari kedua kami memancing sambit bot berhanyut. Nampaknya anak-anak kerapu saiz hidangan pula mengambil bahagian.
Perambut dua mata sering menghasilkan double strike. Ikan merah dan ibu kerisi juga turut memenuhi carta tangkapan kami.
Suasana atas bot menjadi riuh-rendah apabila kami diterpa sekumpulan dorado@ belitung. Kelam-kabut kami melayan pancing masing-masing.
Aksi lompatan demi lompatan sang belitung disambut dengan sorak gembira. Berpesta belitung kami pagi tersebut.
Berbelas-belas ekor belitung sempat dilayan dengan set light casting yang ‘sengaja’ dibawa. Pemancing yang tidak standby, tengok saja lah..
BONUS TENGKUJUH
Seekor selar segar dicangkuk ke mata kail dan dilontar jauh oleh Borhan@Kilat. Sebaik sahaja mencecah air, umpan terus direntap ganas dan kekili berlagu nyaring.
Joran Expert Graphite yang baru dibeli dan ditukar cincinnya dipadankan dengan kekili Bossna 4000, melentur habis.
Tali 30lb sepanjang 200 meter nampaknya surut hanya beberapa saat. Pecutan awal yang penuh bertenaga tidak boleh berbuat apa-apa.
Satu lompatan akrobatik yang cantik menampakkan si pencuri umpan. Mersuji yang punya angkara. Apa lagi… bersorak lah kami satu bot. Kilat hanya dapat menahan joran 8 kaki yang melendut-lendut.
Lantas Tekong Azahar mengarahkan semua menaikkan pancing dan tekong segera mengejar ke arah ikan tersebut. Tiba-tiba ikan berpatah balik ke arah belakang.
Tekong membuat U-turn. Drama kejar mengejar masih berlangsung. 25 minit ‘berperang’ jari mula terasa kebas lantas Kilat menghulur joran kepada Jeff untuk meneruskan pertarungan.
Mersuji dalam anggaran 50kg selamat dinaikkan ke lantai bot setelah 5 orang melayannya secara bergilir-gilir. Terima kasih banyak kepada tekong yang bertindak pantas.
Kerjasama daripada pemancing lain juga adalah antara faktor yang membantu. Kalau buat ‘dono’ sahaja sudah pasti meletup tali atau terbarailah mesin.
Harapan untuk menatap wajah dan ‘memeluk’ mersuji tinggal harapan sahaja lah.
Keceriaan jelas terpancar di wajah geng D’Senu Anglers dan sudah tentu lah yang empunya lesen, si Kilat.
Menurut Azahar selama lebih 10 tahun dia menjadi tekong di sini, telah banyak kali mersuji membaham umpan pemancing tetapi tidak berjaya menaikkan ikan tersebut.
Setelah selesai sesi bergambar dengan mersuji berkenaan, bot dihalakan ke jeti Pulau Aur.
Kami mengambil peluang berehat di atas pulau setelah letih bertarung dengan ‘balak laut’ tadi,mandi,solat dan semestinya ngeteh. Ya lah..sudah dua hari tidak ‘pekena’ teh tarik.
SANGKUT PULAK
Sewaktu perjalanan balik , enjin bot mati secara tiba-tiba. Beberapa kali cubaan menghidupkan semula enjin gagal. Tiupan angin kencang menghanyutkan bot kami sehingga hampir 2 km . Menggelabah juga kami dibuatnya.
Akhirnya tekong terjun ke dalam air untuk memeriksa bahagian bawah bot pula. Rupa-rupanya kipas sudah terbelit tali hanyut.
Itulah sebabnya sebarang sampah atau apa sahaja yang tidak diperlukan lagi semestinya dibuang di tempat yang sepatutnya.
Jangan main campak sahaja sesuka hati. Kitalah yang sepatutnya menjaga kelestarian lautan kita. Betul tak bang..?
Dengan susah-payah tekong berjaya merungkai tali yang membelit kipas. Enjin dihidupkan dan bot meredah ombak menuju ke Jeti Mersing. Kami semua berpuas hati dengan trip ini.
Walaupun cuaca kurang elok dan alun yang membadai terutama pada sebelah malam angin monsun sering mengganas.
Disamping tangkapan bonus ikan mersuji, hasil ‘pecah tong’ yang dibawa balik pastinya dua bulan kami tidak perlu ke pasar mencari lauk.
Pengalaman saya berkunjung ke daerah kecil Matu-Daro yang terletak di dalam bahagian Mukah, Sarawak cukup mengujakan. Ini kerana, rakan saya ini membawa saya ke wilayah di mana terletaknya port yang saya simpulkan ia sebagai kandang bujuk. Ikan bujuknya cukup banyak, sehingga nak cari haruan pun susah!
Komplot bermula sebaik sahaja saya, Lai Malie dan Ruzain tiba dari Mukah yang mengambil masa hampir 2 jam perjalanan untuk tiba ke Matu Daro ini. Mujurlah semasa tiba di Batang (Sungai) Igan, feri ‘ngam-ngam’ sampai dan kereta kami tidak perlu tunggu lama untuk menyeberang ke sana.
Sebaik tiba di Dewan Serbaguna Kampung Tian, Matu, kami kemudiannya bergerak menaiki kereta ke lokasi. Konsep pencarian spesies ikan berkepala ular ini amat mudah. Hanya memancing di pinggir jalan raya menuju ke Daro sambil secara ‘Touch n Go’, iaitu beralih tempat ke hadapan jika tiada mendapat sambutan.
Ada beberapa perkara yang merangsang keterujaan pada diri saya ketika di sana. Setiap kali berhenti di satu-satu lokasi, mendapatkan strike cukup mudah. Sudahlah tepi jalan raya, keluar sahaja dari kereta, lontarkan umpan di parit sebelah kiri dan kanan jalan, karau beberapa kali dan strike! Paling best pakai apa sahaja umpan tipu semua bujuk kat sini hentam. Amboi senangnya kata saya!
Menariknya lagi, bujuk adalah spesies snakehead yang paling banyak dinaikkan, sesekali runtu yang akan mengena dan kemudian barulah haruan. Wah… Memang seronok sangatlah. Jauh bezanya jika dibandingkan trip saya mencari snakehead di semenanjung.
Menurut Lai Malie, Matu-Daro adalah antara daerah paling banyak spesies snakehead ini, berbanding di kawasan-kawasan lain di Sarawak. Terdapat beberapa faktor mengapa di daerah kecil ini populasi spesies snakeheadnya amat banyak berbanding di kawasan lain.
Pertama, masyarakat Melanau di sini memang tidak makan langsung sebarang ikan berkepala ular ini, mereka hanya makan ikan laut, kerana ikan laut murah dan mudah diperolehi memandangkan penempatan di sini berdekatan dengan laut.
Kedua, faktor geografi Matu-Daro yang dikelilingi kebun, hutan pokok sagu dan banyak dikelilingi oleh sungai, parit dan tiada aktiviti pertanian yang ekstrem menggunakan racun perosak menyebabkan ikan di sini membiak dengan baik.
Dan ketiga adalah, tidak ada kaki pancing yang ekstrem memancing spesies-spesies ini. Jika ada pun boleh dibilang dengan jari. Bujuk, runtu, haruan di sini juga masih belum kenal apa itu gewang.
Bagi geng-geng Matu-Daro Anglers sendiri pun mereka sebenarnya lebih gemar casting dan mencari ‘Mak Janda’ (gelaran popular untuk siakap merah atau mangrove jack), siakap putih, bulan yang banyak menghuni sistem-sistem sungai muara di sini serta trip ke laut.
Ujar Mann Levi’s yang berasal dari daerah ini, memang sukar nak tengok orang Melanau makan ikan darat, kecuali orang Iban ataupun pekerja-pekerja kontrak ladang, buruh asing yang mengeluarkan dan membersihkan batang-batang pokok sagu.
Jika mereka memancing pun, hanyalah memancing ikan puyu menggunakan batang buluh menggunakan umpan cacing. Jika bujuk, runtu atau haruan yang mengena, ikan tersebut akan dilepaskan kembali. Bahkan tidak kurang juga yang melemparkannya ke darat kerana faktor ‘geram’ kerana asyik ikan ni sahaja yang mencuri umpan.
Patutlah ikan-ikan di sini hidup aman tenteram, rupa-rupanya tiada gangguan. Warna air sungai, paritnya yang gelap kehitaman tetapi bersih (air tanah gambut) antara faktor, mengapa bujuk, haruan ataupun runtu yang banyak kami perolehi bentuk yang sihat dan warna yang menarik.
Sepanjang trip sehari tersebut, saya perhatikan kadar sambaran bujuk, haruan ataupun runtu yang lebih kasar lebih mencakup di kawasan yang bereba seperti ranting-ranting pokok yang tumbang dan samai di kawasan teduh, terutama di bawah dahan-dahan pokok yang menimbuni tepi tebing.
Rakan-rakan di sini menggelarnya ‘tikam tebing’ dan juga ‘kamikaze’ iaitu istilah gewang mesti dilontar tepat ke lubuk berpotensi di celah-celah dahan pokok yang merimbun hampir di gigi air. Jadi, kes tersangkut memang tinggi kerana bukan mudah untuk menghantar tepat gewang ke kawasan tersebut.
Mujurlah sebelum datang ke sini, mereka sudah pesan awal-awal bawa banyak-banyak froggie (katak getah), katak rambutan (katak kayu/ buyun), soft plastic dan sebagainya sebagai insurans.
Banyaknya tangkapan bujuk di sini juga membuatkan kami ada kalanya tidak bergerak dan lama di satu-satu tempat. Kesemua tangkapan dilepaskan kembali.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...