Sebagai seorang pemancing terutamanya yang menggemari pancingan di laut lepas, kemungkinan berhadapan dengan ribut adalah lebih tinggi.
Ribut yang yang datang secara tiba-tiba biasanya membahayakan pemancing yang memancing dengan menggunakan bot-bot kecil.
Oleh yang demikian adalah penting bagi kaki pancing untuk mengetahui jangka masa ribut akan tiba di mana lokasi yang sedang memancing.
Kenapa perlu tau jangka masa ribut akan sampai? Sebenarnya ia penting untuk membolehkan anda membuat keputusan sama ada untuk berlindung di pulau atau kembali ke jeti.
Berdasarkan pengalaman para nelayan, dengan melihat kedudukan awan di kaki langit, tempoh waktu kedatangan ribu boleh diandaikan.
Ads
Sekiranya anda melihatkan kedudukan awan hitam separas dengan laut, ia bermakna ribut masih jauh dan memakan masa yang panjang sebelum tiba di lokasi anda memancing.
Dalam keadaan begitu, biasanya anda masih mempunyai masa yang cukup untuk bergerak kembali ke jeti.
Tetapi, jika awam hitam kelihatan berada pada paras sejengkal atau lebih daripada paras laut, ribut berkenaan sudah begitu hampir dengan anda.
Ads
Oleh yang demikian, bersegeralah menamatkan sesi memancing kerana ribut bakal tiba dalam tempoh kurang dari satu jam.
Kemudian segera cari tempat berlindung atau kembali ke jeti.
Sekiranya anda memancing dengan menggunakan bot kecil dengan kelajuan rendah, anda haruslah berwaspada sekiranya berlaku kejadian ribut.
Oleh yang demikian, sebaiknya sentiasalah memerhati keadaan di langit selain memerhati joran anda.
Suatu ketika dahulu, perairan Sedili sememangnya cukup gah dengan pancingan tenggiri. Malah, sehingga ke hari ini pun masih ramai yang memburu tenggiri di perairan Sedili.
Namun, kebelakangan ini dikatakan tarikan terhadap pancingan tenggiri di perairan ini semakin menurun.
Ada sumber yang mengatakan populasi tenggiri ini perairan semakin menurun sekaligus menyebabkan kurangnya pemancing memancingnya di sini.
Namun ada sumber juga yang mengatakan populasinya tidak berkurang, sebaliknya ia semakin culas dan licik untuk dipancing.
Atas sebab itulah pemancing seperti berputus asa untuk memancingnya dan tidak lagi berkunjung ke Sedili.
Betul ke ikan tenggiri di perairan Sedili ini semakin licik? Mari kita tengok apa kata Umpanian berkenaan perkara ini.
Apa kata Umpanian:
“Ini hasil tenggiri Tioman… 14kg je min. Sebenarnya bukan kat Sedili je tenggiri licik, kat mana-mana pun sama.
Contoh kat Tioman ni, ada unjam tenggirinya tak makan jig atau pintail, ada unjam tenggirinya tak makan umpan-hidup saiz kecil, ada unjam tenggirinya memilih jenis ikan yang diguna sebagai umpan hidup.
Tenggiri sebenarnya memiliki kebolehan untuk menanggalkan mata kail dari bibirnya. Caranya adalah dengan menggelengkan kepalanya ke kanan atau kiri dengan cepat dan kuat.
Satu lagi, tenggiri punya `senjata’ pada ekornya yang dapat memutuskan perambut serta tali utama.
Ramai yang ingat gigi tenggiri je yang potong perambut, orang tak tau tentang senjata keduanya ni.”
– HSHM HUSAIN
“Licik memang licik tenggiri ni kat memana pun. Tapi yang saya pasti sangat, tenggiri Sedili paling sedap jika dimakan. Ia sangat berbeza dengan tenggiri di perairan Yan, Kedah dan lain-lain tempat. “
– PAK MAUN FAMILIA
“Lebih 2 tahun kumpau main tenggiri area Sedili. Lepas balik dari trip terakhir, keluar berita perairan Sedili kena ceroboh. Jawabnya makin cerah la harapan untuk kumpau bagi trip yang akan datang. “
– MAXWELL MIRIN
“Azlan JR Zainal… betul le apa lu cakap tenggiri Sedili ni licik dan sensitif. Syabas anak muda… Hahaha! Sampai sudahlah jawabnya tak dapat lesen tenggiri Sedili ni. Adoiiii!”
– AZRIN ZAINAL
“ Setuju min! Tapi kalau paling cerdik pada saya… tengiri tuas Yan. Sesiapa yang biasa main dua area ni boleh tau perbezaannya. Admin pernah try ke kedua-dua port ni? Kehkehkeh. “
– KAMARULEZ ASTRADA
“Pada saya sama je mana-mana pun… yang lucut tu la paling cerdik dan paling besar. Kurang-kurang pun besar bas saiz dia.”
Sebagai pemancing yang beretika, kita seharusnya tahu peranan dalam menjaga sumber alam khususnya sumber perikanan itu sendiri. Panduan yang diberikan sedikit sebanyak berkongsi peranan dan tanggungjawab yang boleh dilakukan bagi seorang pemancing. Gunakan panduan mudah ini untuk dikongsi bersama pemancing lain.
TIDAK MEMBUANG SAMPAH
Panduan mudah ini sering dipandang remeh, namun ia merupakan asas dan perkara paling mudah untuk dilakukan. Jika anda pergi memancing di hutan atau di mana-mana, pastikan anda membawa pulang sampah atau menanamnya. Jangan sesekali membiarkan sampah merata-rata terutama jenis plastik dan polimer. Begitu juga dengan botol minuman berkaca, jangan sesekali membuangnya terus ke dalam air dan membiarkannya tenggelam kerana ia lebih memburukkan keadaan dasar sungai.
TIDAK MEMBAZIR IKAN
Anda tidak perlu untuk menangkap secara berlebihan jika untuk dijadikan makanan. Jika ingin membawa pulang, amalkan konsep bag limit. Malah, ikan yang bersaiz kecil dan tidak sesuai dimakan, lebih wajar untuk dilepaskan kembali. Cukup sekadar bergambar sebelum dilepaskan untuk dijadikan kenangan. Sesetengah spesies mengalami ancaman kepupusan. Mungkin bagi sesetengah tempat atau kawasan masih banyak, namun ia perlu dilihat secara menyeluruh kerana mungkin ia telah sukar didapati bagi kawasan lain pula.
TAHU DAN PRAKTIKKAN PERATURAN MEMANCING
Peraturan dan etika memancing wujud untuk memelihara ikan dan sumbernya agar kita terus dapat menikmati dan berkongsi keseronokan memancing. Tiada sebab untuk anda memancing secara semberono tanpa mengikut etika dan peraturan memancing. Keseronokan memancing perlu seiring dengan etika dan peraturan terhadap sumber dan ikan itu sendiri.
LAPORKAN KEGIATAN TIDAK BERMORAL
Setiap pemancing perlu melaporkan sebarang kegiatan tidak bermoral terhadap sumber. Pemusnahan sumber seperti kegiatan menuba, bom ikan, penggunaan elektrik dan lain-lain perlu dicegah bersama-sama. Walaupun di Malaysia, pemancing tidak diiktiraf, tidak ada salahnya jika kita pemancing, mengambil peranan ini terlebih dahulu untuk melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan. Siapa tahu suatu hari nanti, kerajaan melihat pentingnya peranan pemancing, mungkin akan ada ‘Jabatan Pemancing’ untuk kita berhubung terus untuk sebarang masalah.
LINDUNGI KAWASAN SEKITAR PERAIRAN
Jangan sesekali memusnahkan atau menokok tambah kecantikan asli sesuatu kawasan. Kita sering melihat lakaran atau torehan nama pada batu atau pokok di hutan kononnya sebagai kenangan abstrak pernah ke sana. Ia tidak patut berlaku malah sebenarnya perbuatan ini lebih mencacatkan persekitaran dan nilainya. Biarkan pokok-pokok atau bunga-bunga tumbuh meliar dan jangan sesekali memetik atau merosakkannya.
SENTIASA BELAJAR MAKLUMAT DAN TEKNIK BARU
Seorang pemancing yang bagus akan sentiasa terus belajar untuk menambahkan ilmu dalam memancing. Ini termasuk meningkatkan teknik memancing, meluaskan ilmu tentang sifat ikan dan sentiasa tahu jika apa yang pemancing lakukan boleh mendatangkan akibat buruk kepada sumber. Dengan ini, anda mampu menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan bukan sebahagian daripada punca masalah. Anda tidak perlu untuk terus tahu tentang segalanya, namun anda mampu untuk belajar sesuatu daripada setiap trip yang anda lalui.
BERKONGSI ILMU
Setiap pemancing perlu berkongsi tentang kesedaran dan ilmu dengan pemancing lain. Malah ia mampu menarik perhatian bagi individu lain untuk terjun ke dunia memancing. Berkongsi ilmu sebegini lebih mendatangkan manfaat berbanding hanya kita yang tahu dan praktikkannya.
MENYERTAI PROGRAM KESEDARAN
Program kesedaran sumber penting dan amat digalakkan untuk kita turut sedikit sebanyak menyertai atau menyumbang ke arah program sebegini. Di negara kita, terdapat beberapa badan bukan kerajaan yang khusus untuk pemancing seperti PeMM, Onag, kelab, forum-forum dan lain-lain yang mempunyai program ke arah kesedaran sumber.
Hutan simpan Ulu Pering diselimuti oleh kepekatan malam tanpa ditemani oleh cahaya bulan. Hanya bunyi unggas dan cengkerik yang menghidupkan malam di hutan simpan ini. Bersatu bersama nyanyian arus sungai yang mengalir laju dicelah-celah bongkah batu besar yang berceratuk di tebing dan tengah sungai.
Aku menggeliat seketika. Badan yang letih dan mata yang mengantuk, membuatkan aku terasa tubuh seperti mahu melayang-layang. Perjalanan ke sini tadi mengambil masa hampir empat jam lamanya. Tiga jam perjalanan berkereta dan sejam berjalan kaki meredah belukar lalang setinggi pinggang orang dewasa.
Kalau diikutkan badan memang penat tetapi apabila aku melihat Zahim dan Zahirudin masih segar melayan joran masing-masing yang agak galak dimakan ikan, aku kuatkan semangat untuk mencontohi kerajinan mereka berdua. Manalah tahu kalau-kalau malam ini aku mendapat ikan kelisa yang menjadi idamanku.
Aku mula memancing. Di tepi khemah berbentuk A itu, Zairi dan Mazin masih rancak berbual sambil menghirup kopi panas. Aku tidak tahu apa topik yang mereka bualkan kerana kebisingan arus sungai yang bagaikan tiada berpenghujung.
Malam semakin larut. Mataku terasa semakin berat. Aku benar-benar mengantuk kini. Akhirnya aku mengalah. Malam itu aku cuma mendapat dua ekor ikan baung seberat 500 gram. Umpan yang aku gunakan bagai tidak dapat memikat hati penghuni di dasar sungai untuk memakannya. Aku mengerling ke arah Zahim dan Zahirudin. Mereka masih lagi setia menjadi penunggu di tebing sungai.
Zairi dan Mazin juga masih lagi rancak berbual. Kali ini aku dapat menangkap topik perbualan mereka. Semuanya berkisar tentang bola dan jualan rumah yang semakin mencecah tinggi di Kuala Lumpur. Aku berjalan masuk ke khemah. Merebahkan badan di atas kanvas biru yang dijadikan alas perbaringan. Bantalku hanyalah beg galas yang berisi pakaian dan sehelai kain pelikat. Tidak sampai beberapa minit, aku sudah terlena.
Ketika tidur itulah, aku didatangi oleh dua orang wanita yang sungguh cantik. Mereka memanggil daripada sebelah kanan pokok balak tinggi yang menjulang berhampiran khemah yang aku dirikan. Aku katakan mereka cantik kerana seumur hidupku dua puluh tiga tahun ini, inilah kali pertama aku memandang wanita yang paras rupanya bagaikan bidadari.
Kulit mereka putih, alis mata melentik dan terbentuk indah, hidung mancung. Bibir pula kemerah-merahan. Mata mereka sangat indah bagaikan bulan yang bersinar penuh. Jujur aku katakan, aku sudah jatuh cinta pada mereka berdua!
“Saudara Fazrul, dari tadi kami asyik memandang saudara. Sejak saudara melalui perkampungan kami siang tadi. Saudara tak seperti sahabat saudara yang lain. Kami suka melihat saudara solat dan berwirid selepas itu. Suara saudara membaca surah Al Fatihah sungguh mendayu-dayu dan menarik perhatian kami untuk bersahabat dengan saudara. Sudikah saudara menjadikan kami berdua sahabat?” tanya seorang wanita cantik itu sambil tersenyum padaku. Ya Allah, mereka tahu namaku rupanya.
“Siapakah saudari berdua?” suaraku akhirnya terkeluar setelah rasa terkejutku hilang. “Nama saya Putri Khaisara. Ini pula adinda saya, namanya Putri Kasturi. Kami sebenarnya merupakan anak penghulu yang menjaga perkampungan di sini,” jawab salah seorang puteri itu sambil tersenyum dan menampakkan susunan giginya yang putih dan bersih.
Otak warasku sempat juga berfikir. Mana ada perkampungan di dalam hutan simpan yang tebal ini. setakat perkampungan orang asli itu mungkin ada tetapi daripada paras rupa dan pakaian kebaya yang mereka pakai, aku percaya kedua-dua beradik ini datang daripada keturunan orang yang berada. Siapakah mereka yang sebenarnya?
Kami terus berbual-bual hinggalah bunyi kokokan ayam jantan kedengaran bersahut-sahutan. Ini menandakan waktu subuh hampir masuk. Sebelum mereka minta diri untuk beredar, aku memaklumkan kepada mereka keinginan hatiku untuk memancing ikan idamanku iaitu kelisa atau kelah emas. Mereka berdua hanya ketawa sambil mengatakan itu perkara yang sangat mudah!
Aku hanya tersedar apabila dering handphone yang telah aku set berbunyi. Berat sungguh untuk aku membuka kelopak mata. Peristiwa yang aku alami tadi aku anggap hanyalah satu mainan mimpi yang berlaku akibat badan letih dan tidur di dalam hutan yang asing bagiku.
Selesai solat subuh dan berwirid, aku menyambung aktiviti memancing dengan misiku untuk memburu kelisa atau ikan kelah. Dan tanpa diduga, pagi itu sesuatu yang luar biasa berlaku. Setiap kali aku melabuhkan joran, pasti kelah idaman akan tersungkur pada mata kailku.
Peristiwa itu membuatkan rakan-rakanku terasa amat pelik. Hanya aku daripada kami berlima yang berjaya mendaratkan kelah sebesar lengan lelaki dewasa. Mereka berempat hanya mendapat ikan yang ‘biasa biasa’ saja seperti baung dan sebarau.
Sehingga kini, aku masih lagi ‘bersahabat’ dengan kedua orang puteri yang jelita itu. Kini aku faham. Mereka sebenarnya berasal daripada perkampungan bunian Islam yang ada di situ.
Mungkin kerana kami berlima berniat baik dan mengerjakan suruhan Allah dengan taat seperti bersolat lima waktu, maka kami tidaklah diganggu dengan peristiwa yang aneh atau menakutkan. Hingga kini, setiap kali aku memancing di sini, ikan kelas gred A pasti menjadi kepunyaanku dan peristiwa ini kekal rahsia yang tidak diketahui oleh sesiapa!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...