Trip kali ini, bolehlah saya anggap sebagai trip reunion kami, selepas kejayaan trip menduga perairan pulau tioman tahun lalu. Kali ini, persediaan boleh dianggap lain macam sedikit, dimana ramai di kalangan kami sudah menaik taraf peralatan masing-masing, gara-gara tidak mahu dibuli dengan teruk oleh penghuni di bawah air seperti trip lepas.

 

Organizer trip dikendalikan oleh Mahfiz yang disertai oleh saya, Awie, Haji Musa, Azhar, PEN dan Mamak (pemancing baru). Meskipun terpaksa meredah hampir 120km dari Johor Bahru ke Mersing, semangat jitu ingin memancing tak pernah luput dalam jiwa rohani kami.

 

BERLEPAS KE ARENA PERANG

 

Sekitar jam 2.45 petang kami telah bersiap dengan kelengkapan fizikal termasuk stok makan minum, ubat-ubatan, pakaian memancing serta pakaian bersih untuk solat. Akibat gagal mendapatkan stok umpan udang hidup, kami bertawakal dengan umpan udang, sotong dan ikan selayang yang dibeli dari pasar.

 

Kami berlepas dari jeti dan menuju ke lokasi hotspot pertama untuk mencari sotong dan umpan hidup. Masing-masing bersiap dengan senjata candat. Tip daripada Haji Musa dan Pak Mat Siren iaitu menggunakan mata candat berwarna merah fluorescent + putih dan oren fluorescent + putih menjadi pilihan kami. Selain itu, teknik ikatan jarak 1 kaki bagi setiap satu mata candat juga dipraktikkan bagi mendapatkan lenggok yang cun dalam air.

 

Senjata pilihan kami berupa rod 20-30lb dengan padanan kekili saiz 4000-6000, perambut candat 20lb-30lb yang halus dan ladung yang bersesuaian dengan kelajuan semasa air. Pak Mat Siren dengan teknik ‘ambor’ custom made ditetapkan untuk mencandat. Masing-masing mencabar sesama sendiri untuk memberikan suasana yang lebih meriah di atas bot.

 

SESI AWAL MELAYAN CANDAT

 

Awie berjaya memecah kebuntuan dengan seekor sotong skala satu kaki lebih dan sempat merasa hadiah rembesan air hitam sotong di kakinya. Kemudian Hj. Musa pula menaikkan lesen sotongnya pada petang itu sebelum seekor demi seekor dinaikkan oleh setiap ahli kumpulan kami. Seketika kemudian, Tekong Rosli tangkas menyauk begitu banyak sotong jarum yang tiba-tiba bermain-main di permukaan. Ini sudah bagus, bekalan umpan hidup datang menyerah diri.

 

Pak Mat Siren menyediakan hidangan sotong segar masak sambal,ikan goreng dan nasi putih serta kopi ‘O’ sebagai makan malam. Memang umpphhh!

 

Ads

Kami melabuhkan umpan masing-masing setelah perut kenyang. Dalam suasana sunyi dan mengantuk mula datang akibat kekenyangan, kami dikejutkan dengan lendutan rod Awie yang menaikkan seekor baby jemuduk bersaiz 1-2kg yang membaham umpan kepala sotong. Mahfiz pula tenang menyusul dengan seekor jemuduk bersaiz 3kg sebelum giliran Abang Rosli dengan jemuduk bersaiz 2kg.

 

Malam makin larut, henjutan semakin kurang dan masing-masing pula semakin habis tenaga. Orang baru, Mamak pula sudah terlentang akibat mabuk laut. Setakat ini, Awie gah mendahului dengan hasil terbanyak. Bagi mendapatkan rehat secukupnya dan mengumpul tenaga untuk pertarungan esok, kami mengambil keputusan untuk tidur sambil meninggalkan otai-otai yang masih gagah meneruskan aksi malam itu.

 

SERANGAN JEMUDUK MACAM PELURU

 

Hari kedua bermula setelah dapat rehat secukupnya. Saya mendapat berita yang Mahfiz berjaya menjinakkan seekor cobia seberat 8kg seawal jam 2 pagi tadi. Masing-masing yang masih mamai mula bersemangat dan melabuhkan umpan masing-masing.

 

Rupa-rupanya serangan sebenar bermula sekitar jam 6 pagi. Saya yang baru bangun terpaksa bertarung dalam mamai selama 10 minit setelah rod saya tunduk minta diangkat. Rupanya umpan sotong jarum yang saya labuhkan membuka selera seekor jemuduk batik seberat 6.5kg. Seterusnya giliran Mahfiz menaikkan seekor tenggiri sesat biarpun ’foul hook’ kerana tersangkut pada insangnya. Kemudian, masing-masing bergilir menaikkan jemuduk.

 

Serangan jemuduk ini semakin rancak ketika matahari semakin memancarkan cahaya paginya sekitar jam 7 pagi. Mahfiz, Mamak dan Awie mendapat triple hook-up akibat serangan jemuduk skala 5-6kg. Tekong bot iaitu Abang Rosli tidak menang tangan membantu menggancu ikan naik ke atas bot. Kemudiannya double hook-up pula untuk saya dan Mamak.

 

Ads

Serangan bertali arus jemuduk awal pagi itu bukan setakat triple tetapi quadruplet hook-up iaitu empat joran dihenjut serentak! Sudahnya, Bro Pen, Awie, Hj. Musa dan Mahfiz masing-masing senyum melayan henjutan serentak yang jarang-jarang berlaku ini. Jemuduk dan spesies lain bergelimpangan di atas bot kerana tidak sempat meletakkannya di dalam tong ikan. Suasana di atas bot pula sudah macam pesta!

 

Sekitar jam 10 pagi, kami menuju ke Chalet Kampung Mukut untuk berehat. Hidangan tenggiri goreng kunyit dan tenggiri asam pedas menjadi santapan sambil sibuk bercerita tentang aksi serangan pagi tadi.

 

Selepas Asar, kami dibawa ke unjam untuk melayan sotong. Mahfiz, Hj. Musa, Bro Pen, Awie, Pak Mat Siren dan Abang Rosli asyik melayan candat sementara Mamak, Azhar dan saya pula rancak melayan kerisi merah, selayang, kembong, merah dan kerapu saiz sedap-sedap makan dan juga untuk dibuat umpan. Maklumlah, bekalan umpan hidup hampir kehabisan akibat serangan jemuduk pagi tadi. Pada malamnya, tidak banyak henjutan berlaku namun kami berjaya juga menaikkan beberapa ekor cupak saiz kecil dan cobia.

 

PESTA JEMUDUK HARI TERAKHIR

 

Pagi hari terakhir, rod Hj. Musa yang mula-mula menunduk laju akibat disergah mangsa dari dasar. Seekor jemuduk bintik 6kg membuatkan dia tersenyum puas selepas seketika mengerah kudrat. Abang Rosli pula tidak mahu mengalah dan menunjukkan jemuduk 4kg yang baru ditewaskannya.

 

”Dia dah serang dah!” Jerit Abang Rosli menandakan serangan jemuduk dah bermula. Memang betul, masing-masing sibuk beraksi melayan jemuduk selepas itu. Kali ini aksi quadruplet hook-up sekali lagi berlaku dan Mamak, Awie, Mahfiz dan saya pantas beraksi walaupun bersimpang siur rod akibat menahan asakan sang jemuduk.

Ads

 

Dalam rancak beraksi, tiba-tiba rod Sidewinder saya yang dilayan oleh Abang Rosli pecah di bahagian pemegang kekilinya menyebabkan kekili jatuh ke lantai bot. Dengan pantas otai-otai seperti Mahfiz, Hj. Musa, Awie, Azhar dan Bro Pen bertindak menyelamatkan keadaan dengan melilit tali utama ke pemegang rod bot bagi memberikan kelegaan masa untuk mengalihkan kekili kepada rod Abu Garcia 10-30lb kepunyaan Mamak. Saya yang pengalaman masih setahun jagung hanya mampu tergamam dari tadi, mujur ada otai-otai ini yang tenang membantu. Akhirnya jemuduk 6kg yang menyentap kekili Sedona tadi berjaya dinaikkan.

 

Serangan hari terakhir juga begitu rancak sekali. Double hook-up kerap kali berlaku. Kesemua ahli trip sudah ada lesen jemuduk dalam trip ini. Lebih manis, double hook-up menjadi aksi penutup serangan jemuduk trip ini. Mahfiz dan saya melayan dengan santai dan hasilnya baby jemuduk dinaikkan.

 

”Saiz baby buat singgang, asam pedas atau kari pun sedap,” saya berseloroh sambil ketawa. Setelah berkemas serba sedikit, Abang Rosli mula menghalakan bot menuju ke jeti menandakan trip sudah pun tiba di penghujungnya.

 

REZEKI PERAIRAN PULAU TIOMAN

 

Seperti kebiasaan setiap trip, kami sempat mengambil gambar kenangan pasukan perang kami bersama hasil sepanjang trip. Lebih 100 ekor jemuduk atau 80% daripada keseluruhan hasil kami didominasi spesies ini pada berat skala 2-7kg. Spesies lain pula ialah tenggiri, kekacang, barracuda, cobia dan hampir 60 ekor sotong hasil candat.

 

Masing-masing berpuas hati dengan rezeki hasil trip kali ini. Mamak yang baru mencuba pancingan laut sudah booking awal-awal tempatnya untuk trip akan datang. Dah kena ’karen’ laut agaknya. Setiap ahli trip masing-masing mendapat 3 tong jemuduk berserta spesies-spesies lain setiap seorang untuk dibawa pulang.

 

“Kita ni dah macam iklan Fisherman’s Friend dah oi, gantung ikan kat bahu je,” jerit saya berseloroh sambil ketawa ketika berjalan ke kedai untuk membeli tong bagi mengisi ikan yang berlebihan. Sekitar jam 2 petang, kami bersiap untuk pulang ke destinasi masing-masing bersama rezeki trip dari perairan Pulau Tioman kali ini. Alhamdulillah, kami bersyukur kepada Ilahi kerana rezeki hasil trip kami kali ini menjadikan trip ini sukses!

(Oleh : Mahmudin Bin Md Sharom)

 

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI