Setelah siap segala bekalan berkhemah serta makanan, jam 10 pagi kami memulakan perjalanan merentas hutan serta sungai menuju ke lubuk sasaran yang memakan masa dua setengah jam perjalanan kaki.
Setelah beberapa kali berhenti rehat kami tiba ke destinasi jam 1 petang. Saya mengambil kesempatan berehat sebentar sambil melihat keadaan sekeliling yang amat
mempersonakan dengan keindahan alam ciptaan Ilahi, kejernihan air sungai serta kesejukannya bak air baru keluar dari peti sejuk.
Setelah hilang penat, kami membersihkan kawasan serta membuat persiapan memasang khemah dan tempat memasak. Kemudian kami terus memulakan aktiviti memancing.
Kelihatan Haidir melintas sungai untuk mencari port yang baik dengan bertenggek di atas pokok dekat dengan cenuram berhampiran lubuk.
Berumpankan cacing yang digali di situ, selang 10 minit Haidir berjaya memperoleh seekor baung akar lebih kurang seberat 300gram.
Sebahagian dari kami berpecah menuju ke lubuk lain yang memakan masa lebih kurang 15 minit berjalan kaki.
Jam menunjukkan hampir 4.00 petang, saya membersihkan diri bersama Mazli dan Rosli. Selesai menunaikan solat jamak saya mengambil kamera digital dan merakamkan gambar Rosli yang sedang mandi.
Ingatkan nak bergurau saja akan tetapi alangkah terkejutnya saya apabila melihat di dalam LCD kamera kelihatan satu makhluk Allah seperti bentuk bola putih dengan urat-
urat kecil berjuntaian sedang melayang menuju ke arah Rosli, sedangkan pada pandangan mata kasar ketika saya merakamkan gambar tidak ternampak sebarang objek pun melintas di hadapan saya.
Tak mungkin kamera saya menghadapi masalah kerana satu rakaman sebelum dan selepas foto tersebut tiada pula tertera imej tersebut.
Setelah bertafakur sebentar, saya faham apa yang telah termaktub di dalam Al-Quran bahawa bukan manusia saja makhluk Allah, terdapat juga syaitan dan jin, mungkin kami berada dalam kawasannya dan dijodohkan ia ingin menunjukkan sifatnya kepada saya.
Lantas saya memohon kepada Allah agar melindungi kami dari segala bencana kerana tujuan kami hanyalah untuk memancing ikan.
Hampir jam 6 petang barulah kumpulan kami yang menuju ke lubuk lain pulang dengan membawa hasil tangkapan beberapa ekor tengas, baung dan juga terbul.
Nasi dimasak untuk makan malam berlaukkan hasil pancingan ikan tadi. Makan dalam hutan ni tak ada kuah pun tak apa, asalkan ada kicap, cili api serta bawang dan asam
limau dan memadai. Lebih-lebih lagi ikan tadi digoreng atau pun dipanggang, 3 pinggan nasi pun boleh habis sekali jalan!
Selepas Maghrib kami meneruskan pancingan. Berbekalkan joran aksi ringan serta tali tangsi 10lb barulah terasa puas melayan tarikan ikan dan hasilnya kami memperoleh lebih
kurang 20 ekor baung akar seberat 100 hingga 500gm, tengas kecil dan beberapa ekor ikan lain.
Walaupun kunjungan saya kali ini tidak mendapat rentapan ikan yang bersaiz besar seperti kunjungan sebelumnya, namun saya puas dengan hasil tangkapan yang boleh dikatakan agak lumayan juga.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan