Cuaca panas yang melanda negara baru-baru ini sangat memeritkan bagi sesetengah orang.
Tidak kira apa saja jenis pancingan, bagi mereka yang tidak tahan panas akan berfikir banyak kali untuk turun memancing.
Tetapi bagi kami, penggemar tegar pancingan mengilat atau casting, amat menanti-nantikan ketibaan kemarau di Sungai Pahang.
Ini kerana musim kemarau di Sungai Pahang amat sinonim dengan musim mengilat si gigi jarang… apa lagi kalau bukan ikan begahak.
Kehadiran begahak sememangnya dinantikan ketika musim kemarau. Ini kerana ketika musim kemarau paras air sungai yang menyusut dan faktor air sungai yang semakin jernih, menyenangkan bagi aktiviti mengilat ikan begahak.
Air yang terlalu cetek ini agak berbahaya untuk memancing menggunakan sampan atau bot kerana kedalaman dasar sungai sukar untuk dijangka dan risiko untuk enjin dimasuki pasir adalah tinggi.
Satu-satunya cara untuk memburu begahak adalah dengan mengilat dari tebing atau landbase casting.
Melalui teknik landbase casting ini membolehkan lebih ramai pengilat mencuba nasib tanpa perlu mengeluarkan belanja untuk menyewa bot.
Keghairahan mengilat begahak ini bukan saja pengilat setempat, ia turut dirasai rakan-rakan dari luar Pahang dan terpanggil untuk mencuba nasib memburu lesen atau memperbaharui lesen begahak ini.
Sebagai anak jati Sungai Pahang, khidmat saya sebagai guide sering ditagih oleh rakan-rakan dari Kuala Lumpur, Terengganu, Johor malah dari negara jiran (Singapura) yang
ingin turut bersama mencuba nasib mengilat spisies yang tiada di negeri lain selain Pahang DM.
Pada kebiasaannya saya memburu begahak dengan menggunakan bot. Penggunaan bot lebih efektif untuk memburu begahak kerana dapat meliputi kawasan yang lebih luas.
Namun disebabkan faktor air sungai yang cetek, maka saya akan bawa rakan-rakan mengilat secara menebing di beberapa spot berpotensi di sepanjang Sungai Pahang tidak jauh dari bandar Maran.
Sedikit tip untuk landbase casting ini, lazimnya saya akan cari spot air dalam, dasar berstruktuk lubang atau lekuk atau kawasan kuala anak sungai.
Lazimnya peratus strike diterima di spot air yang dalam. Bagi mengilat ikan begahak, set yang kami gunakan adalah dari medium light-medium, 5-10lb hingga ke 6-15lb.
Untuk memperoleh strike, kami terpaksa menahan terik panas matahari. Ini kerana ikan begahak aktif ketika matahari tegak di atas kepala.
Saya sendiri sudah banyak kali menerima strike pada waktu begini.
Selain perlu bertahan dipanggang terik matahari (ada juga rakan kami yang terpaksa lari berteduh kerana tidak tahan dgn cuaca panas), dugaan ketika casting yang perlu dihadapi
ialah gewang tersangkut pukat, diganggu nelayan, angin kencang dan terpaksa bersaing dengan pemburu yang lebih cemerkap iaitu sang memerang.