SOALAN:
Boleh tak admin senaraikan gewang yang killer untuk ikan siakap?
JAWAPAN:
Sekiranya wujud gewang yang betul-betul killer khusus untuk sesuatu spesies ikan, sudah pastinya industri pembuatan gewang tidak akan berkembang pesat seperti sekarang.
Dan mungkin juga ikan siakap akan pupus umpama ditangkap menggunakan racun tuba atau bahan peledak.
Jikalau memang ada gewang yang betul-betul berkesan untuk siakap sekalipun, saya masih tidak berani untuk melabelnya sebagai killer.
Ini kerana sekiranya anda menggunakan gewang tersebut dan kumpau, ia akan menjejaskan reputasi saya pula.
Walau bagaimana pun saya boleh mencadangkan untuk anda memilih gewang berdasarkan pengalaman dan teori. Saya mencadangkan gewang jenis minnow.
Pilihlah gewang minnow jenis deep diver yang berbadan sedikit slim berbanding gewang crank.
Biasanya minnow untuk siakap bentuknya sedikit melengkung ke bawah seperti udang. Atau gewang minnow yang agak panjang melebihi 80mm.
Gewang minnow yang agak pipih tetapi panjang ini lebih menyerupai ikan belanak yang merupakan diet utama ikan siakap.
Contoh gewang yang banyak digunakan untuk casting siakap antaranya ialah Rapala barra, x-rap, Rapala Husky, Husky Jerk, Original Floating, Countdown, Shad rap, Nils Master Invisible, spearhead, Rebel Minnow dan lain-lain lagi.
Dalam pada pemilihan gewang perlu mengikut faktor keadaan dan warna air juga. Selain itu faktor warna gewang dan kesesuaian dengan faktor air perlu diambil kira juga.
Kesimpulannya, anda perlulah banyak melakukan r&d sendiri untuk mencari gewang yang betul-betul killer untuk siakap.