Apa yang sebenarnya menggembirakan kaki pancing khususnya pemancing laut dalam. Adakah kerana hasil tangkapan? Tekong Power? Bot selesa? Ahli komplot? Atau suasana memancing?
Untuk menghasilkan trip memancing yang seronok, kesemua perkara tersebut harus memainkan peranan masing-masing.
TEKONG
Tekong boleh dinobatkan sebagai watak utama yang memainkan peranan penting jaya atau gagalnya sesuatu ekspedisi memancing.
Mereka adalah pengendali utama ke sasaran untuk pemancing menebus harga yang dibayar untuk permainan tarik tangsi.
Adalah menjadi hak pemancing (kecuali semasa pertandingan) memilih tekong yang terbaik untuk mereka. Tepuk dada tanya selera.
Perlukah tekong yang dipilih dipersalahkan jika trip itu gagal? Pastikan tekong sudah bersedia untuk membawa anda ke padang pancing, bukan masa itulah sibuk nak uruskan
bot, atau memberi laluan pemancing tersadai di jeti menunggu beberapa jam sebelum tekong memulakan perjalanan.
Ataupun alasan bot tidak dapat keluar kerana air surut. Tersadai di pangkalan sedangkan semua ini sudah diberitahu terlebih awal.
Lazimnya kebanyakan tekong adalah nelayan / bekas nelayan yang memiliki pengalaman di laut serta masak dengan perairan setempat.
Atas faktor ini hampir separuh darinya adalah veteran dengan istilah lain berumur atau otai. Atas faktor ini juga ramai yang segan untuk mengarahkan tekong berpindah jika hasil negatif, lebih-lebih lagi tekong sedang syok berdengkur di kabin bot.
Masih ramai tekong yang bagus di luar sana sedia menanti golongan pemancing yang inginkan khidmat mereka.
Tapi ada juga yang ‘menyimpan’ tekong untuk kegunaan sendiri dan tidak ingin berkongsi maklumat tekong dengan pemancing lain.
Begitu pun kelemahan ketara ialah kebanyakan bot tidak didaftarkan sebagai bot pelancong dan undang-undang sedia ada bot berkenaan tidak dibenarkan membawa penumpang / pemancing.
Yang pastinya ramai tekong bagus adalah nelayan sepenuh masa. Tekong yang biasa membawa golongan pemancing adalah terbaik kerana mereka sudah masak dengan pelbagai kerenah golongan pancing laut.
Tekong juga boleh dijadikan bahan rujukan atau ‘guru sementara’ di atas bot. Selain teknik memancing, jenis ikan, musim atau cuaca dan pergerakan air boleh dirujuk pada tekong.
Rumusan penting
- kepakaran tekong mengetahui lubuk.
- kerjasama yang diberikan.
- saiz dan keadaan bot yang ditawarkan.
- lokasi.
- kerenah atau perangai tekong.
VESEL / BOT PANCING
Bot berlesen adalah kurang berbanding bot tidak berlesen. Yang dimaksudkan bot tidak berlesen adalah bot didaftarkan sebagai bot nelayan bukan bot pelancong (membawa penumpang). Hanya ketika pertandingan sahaja bot nelayan dibenarkan membawa pemancing atas kerjasama pihak perikanan dan marin.
Jika di luar waktu tersebut undang-undang melarang bot nelayan membawa pemancing. Hairan juga kenapa tidak boleh sewa ketika bukan waktu pertandingan.
Hanya pihak berkuasa boleh menghuraikan fenomena ini tapi kita masih gemar menggunakan khidmat bot jenis ini kerana yakin dengan kemampuan tekong serta kosnya jauh lebih murah.
Rumusan penting
- saiz dan kapasiti.
- kemudahan seperti tandas, ruangan penyimpan barang, rod holder, dapur.
- harga yang ditawarkan.
- masa untuk sampai ke lokasi atau jarak lokasi serta perjalanan ke jeti terbabit.
- pemandu bot atau tekong itu sendiri.
- tangkapan atau hasil.
baca juga Panduan Packing Barang Pancing Trip Luar Negeri
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan